Ebby Saiful

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Ebby Saifullah Ali atau lebih dikenali sebagai Ebby Saiful (lahir 3 Jun 1959) merupakan seorang pelakon, penyanyi, komposer, pemuzik dan pengarah drama TV yang popular Malaysia dan Singapura pada era 1980an.

Ebby Saiful
Kelahiran
Ebby Saifullah Ali

(1959-06-03) 3 Jun 1959 (umur 64)
PekerjaanPelakon, penyanyi, komposer, pengarah drama TV, pemuzik
Tahun aktif1963–kini
PasanganMarini Ahmad
Anak-anak2
IbuNorsiah Yem
BapaAli Ahmad

Pembabitan awal[sunting | sunting sumber]

Ebby yang dilahirkan pada 3 Jun 1959 merupakan anak kepada komposer Ali Ahmad dan aktres Norsiah Yem.[1] Beliau juga cucu kepada aktor Yem Jaafar dan aktres Minah Yem. Beliau merupakan bapa kepada Erin Adrina Salsatila dan Endra Edrian Saifullah dan suami kepada, Marini Ahmad. Ebby memulakan 'kariernya' sebagai pelakon ketika berusia sembilan tahun dalam filem Asmara Kirana yang diterbitkan pada 1968. Pun begitu, sebenarnya beliau sudah mula berlakon ketika umur tiga tahun sebagai pelakon ekstra kanak-kanak dalam filem Raja Bersiong (versi Hitam Putih) pada awal 1960an. Pengarah Nas Achnas menawarkan watak Jantan dalam filem Asmara Kirana bersama aktor terkenal Ed Osmera. Walaupun filem berkenaan dikatakan telah menampilkan bakat lakonannya, Ebby tidak berminat untuk terus menjadi pelakon kanak-kanak/remaja kerana lebih meminati bidang muzik seperti yang diwarisi daripada bapanya.

Bidang lakonan[sunting | sunting sumber]

Penampilannya dalam drama purba Demang Lebar Daun bersama Idris Hashim telah membuatkannya meninggalkan bidang muzik dan nyanyian. Drama purba arahan Hasiah Ariffin untuk RTM benar-benar membuka pintu hatinya untuk berlakon semula. Bermula daripada drama itulah, Ebby terus ditawarkan berlakon dalam filem Ali Setan (1986) diikuti Marah-Marah Sayang, Balik Kampung, Hantu Siang, Suara Kekasih, Pak Tam Duda, Sumpahan Mahsuri, Rentak Desa dan filem terakhirnya Azizah The Legend (1993).

Filem beliau yang paling diingati adalah Ali Setan. Memegang watak sebagai Latif, kawan baik kepada Ali Setan lakonan Azmil Mustapha, Ebby berjaya mencuri hati para peminat filem ketika itu. Sebagai siswa sebuah universiti, lakonan benar-benar mewarnai filem arahan Tan Sri Jins Shamsuddin itu.[2]

Bidang muzik[sunting | sunting sumber]

Apabila berusia 19 tahun, beliau bersama rakan-rakan seusia menubuhkan kumpulan The Beez kemudian dikenali New Breed. Mereka bermain muzik di Hotel Merlin selama tujuh tahun mulai 1978. Bakatnya sebagai pemuzik bukan sahaja menjadi sumber rezeki Ebby, malah ia memberi peluang kepada Ebby menjadi artis rakaman apabila dia muncul dengan dua album dibawah syarikat rakaman SRC iaitu Pahlawan Cangkul (1980) dan Untuk Anita (1983). Kemudian Ebby muncul dengan album ketiganya Kisah Cinta. Album tersebut yang mengandungi lagu hits Bila Bunga Berguguran diterbitkan dibawah syarikat Polygram pada tahun 1986.

Selain berlakon, Ebby juga berbakat mencipta lagu. Ini terbukti kesemua lagu untuk filem Marah-Marah Sayang dicipta olehnya. Bukan itu sahaja, malah lagu ciptaannya Bunga-Bunga Berguguran yang pernah mencipta populariti aktres yang juga penyanyi Fauziah Ahmad Daud dalam filem Suara Kekasih. Selain mencipta lagu untuk filem, Ebby juga turut mencipta lagu untuk penyanyi lain antaranya, Flora Santos dengan lagu Melodi Kasih. Ebby juga sering mencipta lagu tema untuk drama arahannya antaranya Dengan Nama Tuhan untuk drama Antoganis.

Bidang pengarahan[sunting | sunting sumber]

Sementara Sumpahan Mahsuri yang diterbitkan oleh syarikat milik Almarhum Tunku Abdul Rahman pada tahun 1989, menonjolkan sisi Ebby sebagai penolong pengarah. Filem yang diarahkan oleh Datuk Jamil Sulong, bukan sahaja meletakkan isterinya, Datin Rosnani Jamil sebagai penolong pengarah, malah Ebby turut dilantik sebagai penolong pengarah kedua. Penggambaran filem itu memakan masa lebih sebulan. Berkampung di Kedah dan Langkawi sepanjang penggambaran memberi banyak pengalaman dan pendekatan kepadanya dalam bidang pengarahan. Sejak itulah, Ebby meneruskan kerjayanya sebagai penolong pengarah apabila Anwardi Jamil menawarkannya juga jawatan. Biarpun sinonim dengan produksi drama-drama dan filem bergenre purbakala, Ebby juga diberi peluang pada tahun 1990 apabila Anwardi mengarah drama komedi Gado-Gado dan melantiknya sebagai penolong pengarah. Bermula dengan Gado-Gado terbitan Double Vision, kemudian Anwardi memberi peluang mengarah drama bersiri purba Melaka sebanyak 13 episod dan 13 episod lagi diarahkan oleh Jamil.

Sejak itulah, Ebby mula mengorak langkah sebagai pengarah drama tanpa menoleh ke belakang dan sehingga kini lebih daripada 100 drama telah diarahkannya. Menurut Ebby, pengalaman sekian lama sebagai pengarah drama, sedikit demi sedikit menggamit hatinya untuk mengarah filem juga namun sehingga kini beliau belum mendapat kesempatan tersebut.

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Filem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Catatan
1963 Raja Bersiong Putera Johan Filem pertama
1971 Asmara Kirana Jantan
1981 Setinggan
1985 Ali Setan Latiff
1986 Balik Kampung Ebby
Ali Setan 2 Latiff
Hantu Siang
Suara Kekasih Amir
1987 Marah-Marah Sayang Roslan
1989 Pak Tam Duda Isa
Sumpahan Mahsuri Deramang Juga sebagai penolong pengarah
1991 Rentak Desa Baba
Jaket Biru Murad
1993 Azizah The Legend Abu

Drama[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1970 Intan Atan TV1
1973 Demang Lebar Daun
1985 Haryati bergandingan dengan Uji Rashid
Drama Minggu Ini: Upih Pinang Seludang Kelapa
1990 Gado-Gado TV3
2000 Maria Mariana The Series Remy

Telefilem[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Watak Saluran TV Catatan
1989 Lembah Maut TV3
1992 Yazan TV1
1993 Antara Dua Bayang TV3
2017 Siapa Dia Sebenarnya Juga sebagai pengarah

Televisyen[sunting | sunting sumber]

Tahun Tajuk Peranan Saluran TV
2020 The Masked Singer Malaysia (musim 1) Peserta sebagai Rimau Astro Warna

Diskografi[sunting | sunting sumber]

  • Pahlawan Cangkul (1980)
  • Untuk Anita (1983)
  • Kisah Cinta (1986)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Ibu tepuk bahu Ebby sebelum meninggal". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-11. Dicapai pada 2018-10-10.
  2. ^ "Ebby Saiful terkilan sikap TV". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-10-11. Dicapai pada 2018-10-10.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]