Ekonomi Argentina

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Banco de la Nación Argentina

Argentina adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber semula jadi, kadar literasi yang tinggi, sektor pertanian yang maju serta industri yang pelbagai. Argentina kini dianggap sebagai sebuah negara pendapat sederhana tinggi.

Malangnya, sejak akhir 1980-an negara ini telah menimbun hutang luaran yang tinggi, inflasi sehingga 200% sebulan, dan pengeluaran yang merudum. Dalam mengatasi krisis ekonomi tersebut, kerajaan telah mengambil langkah-langkah seperti liberalisasi perdagangan, pembatalan kawal selia dan pengswastaan. Pada 1991, kerajaan telah melaksanakan reformasi kewangan yang radikal dengan menambatkan peso kepada Dolar Amerika Syarikat dan menghadkan pertumbuhan kewangan 'to monetary reserve' secara undang-undang.

Walaupun pada mulanya ia berjaya dengan penurunan kadar inflasi dan pertumbuhan GDP yang semakin pulih, krisis ekonomi yang melanda Mexico, Asia, Rusia dan Brazil pada 1999 telah mengeruhkan keadaan ekonomi negaranya.

Keadaan ekonominya semakin meruncing pada 2001 dengan "widening of spreads" pada Bon Argentina, pengeluaran secara besar-besaran daripada bank serta kejatuhan keyakinan pengguna dan para pelabur. Usaha kerajaan untuk mencapai defisit sifar, menstabilisasikan sistem perbankan, dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi tidak mampu membendung masalah ekonomi yang semakin meningkat itu. Pada 21 Disember, Presiden De La Rua telah disingkirkan akibat rusuhan rakyat kelas pertengahan dan Kongres melantik Eduardo Duhalde sebagai ketua negara sementara. Duhalde kemudiannya bertemu dengan pegawai IMF untuk mendapat pinjaman tambahan $20 bilion. Tambatan peso kepada dolar telah digugurkan pada Januari 2002, dan peso telah diapung dari dolar pada Februari yang mengakibatkan majoriti rakyatnya kehilangan kesemua simpanan hidup mereka sewaktu kejatuhan ekonomi 2001 (pada 2002 KDNK adalah negatif 11%, inflasi mencecah 41% dan lebih 37% penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan).

Pada 23 Disember, 2001, presiden sementara Adolfo Rodriguez Saa telah mengisytiharkan suatu moratorium hutang atau debt moratorium di Argentina.

Menurut pakar agronomi Alberto Lapolla, yang telah banyak menulis tentang transformasi Argentina daripada sebuah negara bijian kepada "republik soya," 450,000 rakyatnya mati kebuluran di antara 1990 dan 2003. Berdasarkan kajian Institut d'études sur l'État et la participation (IDEP), beliau menambah bahawa setiap hari 55 kanak-kanak, 35 dewasa dan 15 warga tua di negara ini mati akibat penyakit yang berkaitan dengan kebuluran.

Namun demikian pada Januari 2004, keadaan ekonomi telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan disebabkan pertumbuhan dalaman yang memberangsangkan pada tahun 2003. Pembaikpulihan ekonomi negara dijangka berterusan untuk beberapa tahun yang akan datang dengan kadar pertumbuhan dalaman yang konstan. Walaupun begitu, sewaktu perjumpaan tahunan yang dihadiri ahli Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)/Bank Dunia, ketua-ketua IMF, Kesatuan Eropah, Kumpulan Tujuh negara industri dan Institut Kewangan Antarabangsa (IIF) yang diadakan pada 1-2 Oktober, Presiden Néstor Kirchner telah diberi amaran untuk segera menstrukturkan semula hutang negara, menambah belanjawan lebihannya untuk membayar lebih banyak hutangnya serta mengenakan reformasi struktur untuk membuktikan kepada komuniti kewangan sedunia bahawa Argentina layak menerima pinjaman serta pelaburan daripada mereka.