Formasi Arang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Formasi Arang ialah sejenis formasi batuan berusia Oligosen hingga Miosen yang terdapat di negeri Perlis dan Kedah, Malaysia.

Sejarah Pengkajian[sunting | sunting sumber]

Kajian terawal mengenai batuan yang tersingkap di Bukit Arang ini dilakukan oleh Scrivenor (1913) dan dinamakan sebagai Lapisan Arang Bukit Arang.

Jone (1981) meletakkan usia lapisan ini sebagai Tertiar.

Kajian ke atas lapisan batuan ini turut dilakukan oleh Aw (1982).

Kajian geofizik secara graviti oleh Abd Rahim Harun dan Ho (2001) berjaya memperincikan 2 zon utama yang mempunyai Lapisan Arang Bukit Arang iaitu di sekitar Bukit Arang dan sekitar Bukit Kayu Hitam yang menganjur ke Thailand.

Kajian oleh MT-JGSC (2009) menaiktaraf Lapisan Arang Bukit Arang kepada 2 formasi batuan yang berbeza, iaitu Formasi Arang dan Formasi Tangga berdasarkan ciri-ciri litologi yang berbeza.

Taburan[sunting | sunting sumber]

Formasi Arang tersingkap di timur negeri Perlis terutama di kawasan Bukit Arang yang dilitupi tanaman tebu.

Korelasi[sunting | sunting sumber]

Scrivenor (1913) menselaraskan Lapisan Arang Bukit Arang sebagai setara dengan Lintapan Arang Batu Arang di Selangor sebagai berusia Tertiar yang sama.

MT-JGSC (2009) menselaraskan Formasi Arang dengan Formasi Sa Dao yang tersingkap di selatan Thailand.

Sempadan antara Formasi Arang dengan Formasi Tangga tidak dapat ditentukan kerana kekurangan singkapan yang jelas (MT-JGSC, 2009).

Litologi[sunting | sunting sumber]

Formasi ini terdiri daripada batu lumpur, batu pasir dan lapisan konglomerat nipis. Batu lumpur dan batu pasir telah terubah kepada tanih berlaterit akibat proses luluhawa.

Ketebalan formasi ini ditafsirkan melebihi 130 meter.

Kewujudan lipit batu arang yang nipis sekitar 15 cm telah dilaporkan oleh Jones (1981).

Kewujudan lipit batu arang dalam Formasi Sa Dao, Thailand wujud pada kedalaman 100 meter. (MT-JGSC, 2009)

Struktur[sunting | sunting sumber]

Hasil kajian graviti oleh Abd Rahim Harun dan Ho (2001) menunjukkan Formasi Arang tertumpu di 2 kawasan yang berbeza iaitu di Bukit Arang dan Bukit Kayu Hitam sebelum melebar ke bahagian Thailand.

Menurut MT-JGSC (2009), pentafsiran di Bukit Arang menggambarkan wujudnya sesar yang terangkum oleh 2 sesar gelinciran miring yang berarang utara - selatan sama seperti yang ditunjukkan pada Formasi Layang-Layang di Johor (Vijayan, 1990).

Penentuan Usia[sunting | sunting sumber]

Penentuan usia oleh Aw (1982) dianggar sebagai Neogen Akhir atau Kuaterner berdasarkan fosil gastropod Steophyra sp. dan Pseudovivipara sp.

Penemuan fosil tumbuhan berupa kayu angiosperma dan gastropod Nassarius sp. dalam Formasi Sa Dao meletakkan Formasi Arang dalam usia Oligosen hingga Miosen (MT-JGSC, 2009).

Sekitaran Pengendapan[sunting | sunting sumber]

Kewujudan lipit arang batu, gastropod dan lapisan-lapisan lempung halus yang berlengkok menggambarkan sekitaran pengendapan lakustrin sama ada air tawar atau air segar (MT-JGSC, 2009).

Jones (1981) mentafsirkan endapan yang wujud mempunyai ciri-ciri fluvio-delta dan lakustrin.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Abd. Rahim Harun and Ho C.S., 2001. Gravity survey to delineate the Tertiary Basins in North Kedah and Perlis. Minerals and Geoscience Department Malaysia. Report No. GF 08/01. (Unpublished)
  2. Aw, P.C., 1982. Coal investigation within the Tertiary sediments in Chuping , Perlis, adjacent to the Thai-Malaysian border. Report Geological Survey Malaysia. (Unpublished)
  3. Jones, C.R., 1981. Geology and mineral resources of the Perlis, North Kedah and the Langkawi Islands. Geological Survey Department West Malaysia Memoir, 17, 257p.
  4. Scrivenor, J.B., 1913. Economic Geology of Perlis. Unpublished report for Perlis Government.
  5. The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee (MT-JGSC), 2009. Geology of the Bukit Batu Putih - Satun transect area along the Malaysia - Thailand border. Minerals and Geoscience Department Malaysia.
  6. Vijayan, V.R., 1990. Gravity survey of the Layang-layang Tertiary Basin in Johor, Peninsular Malaysia – A preliminary report. Bulletin Geological Society Malaysia, 26, 55-70.