Formasi Tangga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Formasi Tangga ialah sejenis formasi batuan berusia Pleistosen tak konsolidat yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Asal-usul Nama[sunting | sunting sumber]

Formasi batuan ini diberi nama Tangga bersempena nama lokasi di mana ia tersingkap iaitu di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Batuan Formasi Tangga pada asalnya disekalikan dalam Lapisan Arang Bukit Arang oleh Jones (1981). Kajian perbezaan ciri kurang konsolidat yang terdapat pada unit ini oleh MT-JGSC (2009) mengelaskannya sebagai endapan yang lebih muda yang berkemungkinan berusia Pleistosen.

Taburan[sunting | sunting sumber]

Selain Bukit Tangga, formasi batuan ini turut tersingkap secara setempat di kawasan ladang tebu FELDA Chuping dan sekitar Bukit Kayu Hitam.

Korelasi[sunting | sunting sumber]

MT-JGSC (2009) menselaraskan Formasi Tangga dengan Formasi Hat Yai yang mempunyai litologi yang sama.

MT-JGSC (2009) juga menyatakan kemungkinan formasi ini boleh diselaraskan dengan Lapisan Bongkah berdasarkan ciri-ciri pelapisan bongkah-bongkah batuan.

Litologi[sunting | sunting sumber]

Formasi Tangga terdiri daripada endapan separa hingga tak konsolidat berupa lempung berpasir, pasir, kerikil dan lapisan-lapisan bongkah. Pelapisan mempunyai ciri sedikit miring dan berselang-seli litologi yang berbeza yang tersusun secara buruk.

Bongkah-bongkah tersimen dengan matriks berpasir atau berlempung bersama sedikit kekanta pasir. Terdapat juga bongkah yang tersimen dengan oksida dan hidroksida logam sekunder. Bongkah-bongkah ini dicirikan sebagai terluluhawa akibat tindakan air, berbentuk bulat dan berdiameter sehingga 1.5 meter serta berasal daripada batu pasir, telerang kuarza dan sedikit batu lodak, syal, rijang dan konglomerat.

Struktur Sedimen[sunting | sunting sumber]

Terdapat ciri-ciri struktur sedimen seperti alur-raya, pelapisan arus dan penyisipan klasta dan longgokan kerikil pada formasi batuan ini.

Sekitaran Pengendapan[sunting | sunting sumber]

Formasi Tangga mempunyai ciri-ciri terbentuk dalam sekitaran sistem fluvial di mana arus sungai kadangkala cukup kuat untuk mengangkut endapan sedimen berbutiran sangat kasar.

Aktiviti tektonik kemudiannya mengakibatkan pengangkatan lembangan banjir sebagai baki tinggi atas paras sungai baru.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Jones, C.R., 1981. Geology and mineral resources of the Perlis, North Kedah and the Langkawi Islands. Geological Survey Department West Malaysia Memoir, 17, 257p.
  2. The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee (MT-JGSC), 2009. Geology of the Bukit Batu Putih - Satun transect area along the Malaysia - Thailand border. Minerals and Geoscience Department Malaysia.