Formasi Machinchang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Formasi Machinchang ialah sejenis formasi batuan berusia Kambria hingga Ordovisi Awal yang tertua di Langkawi dan di Malaysia.

Asal-usul Nama[sunting | sunting sumber]

Formasi batuan ini diberi nama Machinchang oleh Jones bersempena nama Pergunungan Machinchang di barat laut Pulau Langkawi di mana batuan formasi ini banyak tersingkap[1].

Taburan[sunting | sunting sumber]

Formasi batuan ini membentuk keseluruhan Pergunungan Machinchang dan tersingkap sedikit di Teluk Kubang Badak dan sebahagian Pulau Rebak Besar. Sebahagian jujukan batu pasir formasi ini yang bersentuhan dengan Granit Sawar telah termetamorf menjadi kuartzit yang membentuk Gunung Machinchang.

Korelasi[sunting | sunting sumber]

Formasi ini dikorelasikan dengan Formasi Jerai yang terdapat di sekitar Gunung Jerai, Kedah. Formasi ini berkorelasi baik dengan Formasi Tarutao di Pulau Tarutao, Thailand yang terletak di utara Langkawi.

Formasi Machinchang turut dikorelasikan merangkumi batuan Lapisan Payar di Kepulauan Payar[2].

Formasi Machinchang dilapisi secara baik oleh Formasi Setul yang berusia Ordovisi Awal hingga Devon Awal dan tersingkap jelas di Teluk Kubang Badak.

Komposisi Batuan[sunting | sunting sumber]

Formasi Machinchang umumnya terdiri daripada batu pasir berbutiran halus hingga sederhana dengan kehadiran sedikit batu pasir berbutiran kasar, konglomerat dan syal di beberapa pelapisan.

Jumlah ketebalan keseluruhan formasi batuan ini ialah 2830 meter[3].

Lee (1983) mengelaskan Formasi Machinchang kepada 3 ahli[4], manakala MT-JGSC (2015) mengelaskan formasi ini kepada 4 ahli[5];

Bil. Pengelasan oleh Lee (1983) Pengelasan oleh MT-JGSC (2015)
Ahli Ciri-ciri Ahli Ciri-ciri
1 Ahli Bawah Batuan umumnya berciri areno-argilit. Ahli Hulor Batu pasir berlempung berbutiran halus, batu pasir berbutiran halus dan batu lodak berwarna kelabu. Batuan sabak, filit dan batu lodak bermika berwarna kelabu-perang kehijauan melapisi bahagian terbawah.
2 Ahli Tengah Fasies batu pasir berbutiran kasar dan konglomerat. Ahli Anak Datai Batu pasir berlapisan sederhana hingga tebal dengan pelapisan batu pasir berpebel dan konglomerat. Batuan tuf berbutiran kasar terdapat di Pulau Anak Datai.
3 Fasies nipis batu pasir berlapisan ombak dengan kehadiran pebel di beberapa bahagian pelapisan. Ahli Chinchin Lapisan Temurun Batu pasir dan batu lodak kelabu hingga ungu cerah dengan kehadiran pelapisan tuf asid berbutiran halus berwarna ungu dan hijau dan argilit gelap bertuf.
4 Fasies sederhana hingga tebal batu pasir berbutiran halus dan batu lodak berlapisan lurus. Lapisan Tengkorak Batu pasir berbutiran halus berlapisan sederhana hingga tebal, batuan asid tuf berbutiran sangat halus dan batu lumpur bertuf. Struktur sekunder pelapisan silang, "load cast", bola dan bantal serta nendat wujud.
5 Ahli Atas Batuan umumnya berciri areno-argilit. Ahli Jemuruk Pelapisan selari batu pasir berbutiran halus hingga kasar, batu lodak dan abtu lumpur dengan sedikit lapisan batu lumpur bertuf. Lapisan batu kapur - batu lumpur terdapat di Teluk Sabong.

Kajian terhadap Formasi Machinchang turut mengelaskannya kepada tujuh unit batuan[6];

Bil Unit Batuan (paling bawah ke atas) Lokaliti
1 Syal dominan dengan sedikit lapisan batu pasir berbutiran halus yang nipis. Teluk Datai
2 Selang lapis syal - batu pasir berbutiran sederhana yang bergred menghalus ke atas. Teluk Datai
3 Batu pasir dominan dengan laminasi selari dan lapisan silang bersudut rendah. Tanjung Hulur
4 Batu pasir berklas dengan lapisan silang planar dan palungan. Teluk Chinchin

Pondok Nibong

Pulau Anak Datai

5 Batu pasir berbutiran kasar, berlapisan tebal dan berlapisan silang. Air Terjun Temurun

Pasir Tengkorak

Pulau Anak Datai

6 Batu pasir dominan berfosil kesan. Pulau Jemuruk
7 Selang lapis nipis batu pasir - batu kapur. Tanjung Sabung

Penentuan Usia Batuan[sunting | sunting sumber]

Penentuan usia Formasi Machinchang adalah berdasarkan penemuan fosil dari jenis brakiopod, trilobit dan iknofosil (fosil kesan) pada singkapan Ahli Tengah formasi tersebut di Tanjung Buta dan Pulau Jemuruk. Kedua-dua jenis fosil ini hanya hidup pada usia Kambria Atas [7].

Fosil dan Fosil Kesan[sunting | sunting sumber]

Terdapat 14 jenis spesies fosil dan iknofosil yang ditemui pada singkapan Formasi Machinchang yang berusia Kambria Atas [8].

Bil Jenis Fosil Spesies Usia
1 Trilobit
  • Saukia sp.
  • Saukiodes sp.
  • Acontheus sp.
  • Eosaukia sp.
Kambria Atas
2 Brakiopod Eoorthis sp. Kambria Atas
3 Iknofosil (fosil kesan)
  • Phycodes pedum Seilacher
  • Teichichnus stellatum Baldwin
  • Palaeophycus sp.
  • Chondrites sp.
  • Palaeodictyon sp.
  • Arenicolites sp.
  • Plantolites sp.
  • Thallasinoides sp.
  • Skolithos sp.
Kambria Atas

Sekitaran Pengendapan[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan kepaca ciri fasies sedimen, struktur sedimen dan rekod fosil yang ditemui, Formasi Machinchang ditafsirkan terendap di sekitaran delta, laut cetek dan lagun.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jones,C.R., Lower Paleozoic rocks of Malay Peninsula: A.A.P.G. Bull.52, 1259-1278, 1968
  2. ^ Jones, C.R., Geology and mineral resources of Perlis, North Kedah and the Langkawi Islands, Memoir 17, Jabatan Penyiasatan Kajibumi Malaysia, 1978
  3. ^ Lee,C.P., Stratigraphy Of The Tarutao And Machinchang Formations, Workshop On Stratigraphic Correlation Of Thailand And Malaysia, 1983
  4. ^ Lee,C.P., Stratigraphy Of The Tarutao And Machinchang Formations, Workshop On Stratigraphic Correlation Of Thailand And Malaysia, 1983
  5. ^ The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee, MT-JGSC, Geological Conservation and Geological Tourism in Langkawi - Tarutao Islands, Geological Papers Volume 13, 2015
  6. ^ Kamal Roslan Mohamed, Stratigrafi Malaysia, Stratigrafi Semenanjung Malaysia, Geologi Kepulauan Langkawi, Universiti Kebangsaan Malaysia
  7. ^ Lee,C.P., Stratigraphy Of The Tarutao And Machinchang Formations, Workshop On Stratigraphic Correlation Of Thailand And Malaysia, 1983
  8. ^ Mohd Shaffeea Leman, Fossils of Machinchang Formation (summary), Kumpulan Warisan Geologi Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia