Formasi Gerik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Formasi Gerik merupakan sebuah formasi batuan berusia Perm Tengah yang terdapat di Semenanjung Malaysia.

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Formasi Gerik asalnya merupakan Tuf Lawin dan Tuf Grik yang menjadi sebahagian daripada Kumpulan Baling yang berusia Ordovisi hingga Devon, tetapi telah dikeluarkan dan dinaiktaraf sebagai satu formasi batuan berikutan penemuan fosil yang menunjukkan usia Perm.

Nama formasi batuan ini diambil bersempena Pekan Gerik di Hulu Perak, Perak di mana batuan ini banyak ditemui.

Taburan[sunting | sunting sumber]

Formasi Gerik banyak bertaburan di sekitar Gerik terutama pada potongan jalanraya di Kampung Batu 2.

Komposisi Batuan[sunting | sunting sumber]

Formasi Gerik terdiri daripada batuan tuf riolit dan riodasit yang dominan dan berlapisan baik, selang lapis batu kapur dan syal berkapur.

Kekanta batu kapur yang besar pada tuf turut kelihatan, manakala batuan tuf turut mengandungi klas batu kapur serta kekanta syal berkapur.

Struktur aliran lemah pada batuan tuf tersingkap pada potongan jalan berhampiran Balai Polis Kuala Rui.

Penentuan Usia[sunting | sunting sumber]

Tuf Grik pada asalnya merupakan sebahagian daripada Kumpulan Baling, di mana ia diletakkan sebagai berkemungkinan berusia Ordovisi Akhir. Burton (1986) mengandaikan Tuf Grik sebagai berusia Ordovisi Tengah hingga Silur Awal.

MT-JGSC (2009) menemukan fosil Trilobit (Anisopyge dan Philipsia) dan Brakiopod (Chonetid) dalam batuan syal berkapur dan batu kapur tak tulen yang tersingkap di Kampung Batu 2. Fosil Trilobit yang ditemui meletakkan batuan sedimen klas tersebut sebagai berusia Perm Tengah[1].

Ini merumuskan bahawa usia Formasi Gerik tidak menjangkau Karbon, apatah lagi Devon, Silur dan Ordovisi yang jauh lebih tua.

Sekitaran Pengendapan[sunting | sunting sumber]

Formasi Gerik dicadangkan terendap pada sekitaran laut cetek dengan pengendapan debu volkanik secara serentak yang diletuskan secara setempat.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ The Malaysia-Thailand Border Joint Geological Survey Committee, MT-JGSC, Geology Of The Pengkalan Hulu-Betong Transect Area Along Malaysia-Thailand Border, Geological Papers Volume 7, 2009