Gambar foto

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Gambar foto paling awal yang dikenali yang masih wujud, diambil oleh Nicéphore Niépce pada 1825 melalui proses heliografi. Imej ini merupakan ukiran Belanda Belgium abad ke-17 yang menonjolkan seorang lelaki menuntun kuda.
View from the Window at Le Gras (1826), Nicéphore Niépce. Gambar foto ini umumnya dianggap sebagai gambar foto pertama yang masih wujud tentang pemandangan alam.

Gambar foto (seringnya disingkatkan menjadi foto) ialah imej yang dicipta oleh cahaya yang jatuh pada permukaan peka cahaya, biasanya filem fotografi atau pengimej elektronik seperti peranti caj terganding (CCD) atau cip semikonduktor oksida logam pelengkap (CMOS). Kebanyakan gambar foto dicipta oleh kamera yang menggunakan kanta untuk memfokus panjang gelombang cahaya nampak daripada sesuatu pemandangan demi membuat salinan yang dapat dilihat dengan mata manusia. Proses dan amalan untuk mencipta gambar foto dikenali sebagai fotografi. Perkataan "fotograf" dicipta oleh Sir John Herschel pada 1839, berdasarkan perkataan Greek, φώς (phos), "cahaya" + γραφίς (graphis), "stilus", "kuas" atau γραφή (graphê), "perlambangan menerusi garis" atau "lukisan", dan bersama-sama membawa pengertian "melukis dengan cahaya".[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Sejarah fotografi

Gambar foto kekal yang pertama dicipta pada 1825 olah pereka Perancis, Joseph Nicéphore Niépce, yang mendasarkan rekaannya pada penemuan Johann Heinrich Schultz (1724), iaitu campuran perak dan kapur menjadi gelap apabila didedahkan pada cahaya. Niépce dan Louis Daguerre kemudian menghalusi proses itu, dengan Daguerre menemui pula bahawa pendedahan perak pada wap iodin lebih dahulu sebelum mendedahkannya pada cahaya lalu pada wasap raksa selepas gambar foto diambil dapat membentuk imej pendam. Merendam plat ke dalam rendaman garam menetapkan imej dan menghasilkan dagereotaip yang termasyhur.

Bagaimanapun, dagereotaip itu mempunyai masalah tersendiri, khususnya kerapuhan gambarnya, selain daripada fakta bahawa ia merupakan hanya proses positif dan oleh itu, tidak dapat dicetak semula. Justera, pereka yang lain mencari-cari proses yang lebih baik. Sebilangan proses diperkenalkan dan digunakan buat tempoh yang singkat antara pengenalan imej pertama Niépce dan pengenalan proses kolodion pada 1858.

Negatif plat kaca basah berasaskan kolodion dengan cetak pada kertas albumen menjadi kaedah fotografi yang diutamakan buat seberapa waktu, termasuk juga selepas pengenalan proses gelatin yang lebih praktis pada 1871. Proses gelatin tersesuai masih merupakan proses fotografi hitam putih yang utama pada hari ini, dan berbeza hanya dari segi bahan filem yang digunakan. (Pada asalnya, kaca digunakan, disusuli oleh berbagai-bagai filem boleh lentur.)

Fotografi warna adalah hampir sama lama dengan fotografi hitam putih. Uji kaji yang terawal dibuat oleh John Herschel, dengan Antotaip digunakan sejak 1842 dan plat Lippmann sejak 1891. Bagaimanapun, fotografi warna menjadi jauh lebih popular selepas pengenalan Autochrome Lumière pada 1903, digantikan kemudian dengan Kodachrome, Ilfochrome, dan proses-proses yang serupa. Selama banyak tahun, proses-proses tersebut hampir hanya digunakan untuk bahan lut sinar (untuk projektor slaid dan peranti yang serupa), tetapi cetak warna kemudian menjadi popular dengan pengenalan negatif kromogen yang merupakan sistem yang paling banyak digunakan dalam proses C-41. Keperluan industri filem juga memperkenalkan berbagai-bagai sistem tujuan khas, dengan yang paling terkenal merupakan Technicolor yang kini jarang digunakan.

Jenis gambar foto[sunting | sunting sumber]

Gambar foto bukan digital dihasilkan menerusi proses kimia dua langkah. Dalam langkah pertama, imej negatif (yang warna dan bahagian terang/gelap disongsangkan) ditangkap pada filem peka cahaya, disusuli oleh langkah kedua. Untuk menghasilkan imej positif, imej negatif itu paling biasa dipindahkan ('dicetak') pada kertas fotografi. Sebaliknya, pencetakan negatif pada filem stock [2] lut sinar digunakan untuk mengeluarkan filem wayang gambar. Sebagai alternatif, imej negatif itu juga boleh dipindahkan pada bahan lut sinar positif lalu dibingkaikan. Hasil sebegini dikenali sebagai slaid. Sebelum kemajuan dalam bidang fotografi digital yang baru-baru ini, bahan lut sinar telah digunakan secara meluas oleh ahli profesional kerana ketajaman dan ketepatan pamer warnanya. Kebanyakan gambar foto yang diterbitkan di dalam majalah menggunakan filem lut sinar warna atas sebab tersebut.

Semua gambar foto pada asalnya bersifat monokrom atau diwarnakan secara insani. Sungguhpun kaedah untuk membina gambar foto warna telah direka seawal 1861, ia tidak mudah didapati sehingga 1940-an atau 1950-an dan meskipun demikian, kebanyakan gambar foto yang diambil pada 1960-an masih merupakan gambar foto hitam putih. Bagaimanapun, sejak masa itu, fotografi warna telah menguasai fotografi popular, walaupun gambar foto hitam putih masih digunakan kerana ia lebih mudah dibina, berbanding dengan gambar foto warna.

Imej berformat panorama dapat diambil dengan menggunakan kamera seperti Hasselblad Xpan pada filem biasa. Sejak 1990-an, gambar foto panorama juga disediakan dalam bentuk filem Advanced Photo System (APS) yang dibangunkan oleh sebilangan pengeluar filem utama untuk membekalkan filem yang memberikan berbagai-bagai format dan pilihan berkomputer. Walaupun gambar foto panorama APS dicipta dengan menggunakan maska di dalam kamera berupaya panaroma, ia tidak sebaik dengan kamera panaroma benar yang mencapai kesan menerusi format filem yang lebih lebar. Justera, kepopularan APS telah merosot dan kini diberhentikan.

Kemunculan mikrokomputer dan fotografi digital telah menyebabkan kepopularan cetak digital yang dicipta daripada format grafik seperti JPEG, TIFF, dan RAW yang disimpan. Jenis pencetak yang digunakan termasuk pencetak pancut dakwat, pencetak pemejalwapan pencelup, pencetak laser, dan pencetak terma. Cetak pancut dakwat kekadang juga dikenali sebagai "Giclée".

Mitos dan kepercayaan[sunting | sunting sumber]

Sejak dagereotaip dipindah pada permukaan bercermin, banyak pewasitah juga menjadi pengamal bentuk seni yang baharu. Mereka mendakwa bahawa melihat imej manusia pada permukaan bercermin seakan-akan melihat rohnya. Para pewasitah tersebut juga mempercayai bahawa imej manusia itu akan mendedahkan rohnya kepada pemasukan hantu. Sebaliknya, orang asli mempercayai bahawa mengambil gambar seseorang akan mengakibatkan sebahagian roh orang itu dihapuskan.

Isu undang-undang[sunting | sunting sumber]

Undang-undang tentang pornografi kanak-kanak, pornografi melampau, dan sebagainya sering lebih menyekat gambar foto dan filem daripada perbuatan yang digambarkan, iaitu gambar foto dan filem tentang perbuatan yang sah mungkin menyalahi undang-undang.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]