Had laju

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Papan tanda Had Laju Kebangsaan

Had laju adalah satu bentuk peraturan jalan raya yang menetapkan kelajuan maksimum atau minimum yang selamat bagi pemanduan di jalan raya atau lebuh raya awam. Had laju ditetapkan oleh pihak berkuasa sabagai satu langkah bagi mencegah kemalangan jalan raya akibat pemanduan yang terlalu laju atau terlalu perlahan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Had laju mungkin berbeza mengikut negara, tetapi berkongsi ciri-ciri umum seperti berikut:-

  • Had laju di lebuh raya adalah lebih tinggi daripada di jalan raya biasa.
  • Had laju di kawasan bandar adalah lebih rendah daripada di kawasan luar bandar.
  • Had laju di kawasan pergunungan adalah lebih rendah daripada di kawasan tanah rendah yang rata.
  • Had laju bagi kenderaan berat adalah lebih rendah daripada had laju kenderaan ringan.

Bagaimana had laju ditentukan[sunting | sunting sumber]

Biasanya kerajaan menetapkan suatu piawaian bagi had laju bagi lebuh raya dan jalan raya. Untuk memenuhi keperluan piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan, para jurutera trafik merekabentuk jalan raya atau lebuh raya dengan mengkaji pelbagai aspek seperti bentuk muka bumi, jejari selekoh dan sebagainya agar dapat memenuhi piawaian yang ditetapkan. Kelajuan maksimum yang selamat dipandu secara teori pada reka bentuk jalan raya atau lebuh raya dikenali sebagai had laju rekabentuk.

Bagi menetapkan had laju di jalan raya atau lebuh raya tersebut, kerajaan menggunakan Peraturan 85 Peratus, iaitu had laju maksimum ditetapkan pada 85% daripada had laju rekabentuk, misalnya Lebuh Raya Utara Selatan direkabentuk dengan had laju rekabentuk 130 km/j tetapi had laju maksimum yang dibenarkan ialah 110 km/j. Punca utama penggunaan Peraturan 85 Peratus ini adalah kerana taburan tertinggi kenderaan yang selamat dipandu ialah pada 85% daripada had laju rekabentuk tersebut. Kebanyakan negara menggunakan Peraturan 85 Peratus bagi menetapkan had laju termasuklah Malaysia.

Faktor-faktor lain[sunting | sunting sumber]

Faktor keselamatan[sunting | sunting sumber]

Selain Peraturan 85 Peratus, had laju yang ditetapkan juga mengambil kira kesan tenaga kinetik hasil daripada impak perlanggaran. Sebagai contoh, katakan terdapat 2 kejadian kemalangan jalan raya, satu daripadanya membabitkan 2 buah kereta manakala satu lagi pula melibatkan kereta dengan bas ekspres; dan kesemua kenderaan yang terlibat berlanggar pada kelajuan 90 km/j. Kecederaan serta kemungkinan kematian mangsa apabila berlanggar dengan bas ekspres adalah lebih serius, oleh itu kesan impak daripada perlanggaran dengan kenderaan berat adalah lebih besar daripada perlanggaran dengan kenderaan ringan.

Daripada faktor inilah had laju kenderaan berat ditetapkan pada kelajuan yang lebih rendah daripada had laju asal yang diguna pakai pada kenderaan ringan. Malangnya, kebanyakan kenderaan berat di Malaysia sering mengingkari had laju kenderaan berat yang ditetapkan.

Faktor penggunaan bahan api[sunting | sunting sumber]

Kadar penggunaan bahan api juga mempengaruhi penentuan had laju di jalan raya. Misalnya, suatu ketika dahulu Amerika Syarikat pernah menguatkuasakan had laju maksimum seragam persekutuan 55 bsj (89 km/j) untuk mengurangkan penggunaan bahan api akibat Krisis Tenaga pada dekad 1970-an.

Limitasi[sunting | sunting sumber]

Sungguhpun demikian, had laju utama bagi sesuatu jalan tidak semestinya menggambarkan keadaan kelajuan sebenar yang sesuai pada semua bahagian jalan. Misalnya, Malaysia menetapkan had laju 90 km/j bagi laluan persekutuan dan laluan negeri, tetapi ada kalanya had laju tersebut dianggap terlalu perlahan bagi bahagian jalan yang lurus dan lebar; dan had laju tersebut juga mungkin dianggap terlalu laju dan berbahaya di bahagian jalan yang mempunyai banyak selekoh berbahaya.

Selain itu, pemandu juga tidak dapat memandu laju sehingga ke paras had laju apabila bahagian jalan mengalami kesesakan jalan raya yang sangat teruk.

Jenis had laju[sunting | sunting sumber]

Terdapat 4 jenis had laju yang boleh dikuatkuasakan di atas jalan raya atau lebuh raya:-

  • Had laju maksimum - kelajuan tertinggi yang dibenarkan di atas jalan raya atau lebuh raya. Memandu melebihi had laju maksimum akan menyebabkan kenderaan hilang kawalan sekaligus mencetuskan kemalangan jalan raya.
  • Had laju minimum - kelajuan terendah yang dibenarkan di atas jalan raya atau lebuh raya. Memandu kurang daripada had laju minimum berkemungkinan akan mengakibatkan kemalangan jalan raya akibat disondol oleh kenderaan di belakang.
  • Had laju disyorkan - kelajuan maksimum yang disyorkan untuk pemanduan yang selamat. Had laju ini dikuatkuasakan di kebanyakan lebuh raya Jerman memandangkan kebanyakan lebuh raya di Jerman tidak menetapkan had laju maksimum. Pemandu dibenarkan memandu melebihi had laju disyorkan tetapi sekiranya berlaku kemalangan, pemandu tidak boleh menuntut ganti rugi akibat kemalangan kepada syarikat insurans masing-masing.
  • Had laju boleh ubah - had laju yang boleh berubah mengikut musim, cuaca dan keadaan jalan. Had laju boleh ubah biasanya digunakan di sesetengah negara ketika musim sejuk melampau dan pada ketika itu, had laju asal tidak akan dipakai buat sementara.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]