Ibn Jubair

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Ibn Jubair Bahasa Arab: ابن جبير‎, nama penuh: Abu l-Husayn Muhammad ibn Ahmad ibn Jubair al-Kenani (dalam bahasa Arab: أبو الحسين محمد بن أحمد بن جبير الكناني) (September 1145[1] –1217; [2]) ialah seorang ahli ilmu alam, pengembara dan penyair dari Al-Andalus. Catatan pengembaraannya memerikan ibadat Haji yang dilakukannya antara tahun tahun 1183 dan 1185 M, dalam tempoh masa sebelum tercetusnya Perang Salib Ketiga. Catatannya menggambarkan negara kerajaan Sultan Salahuddin al-Ayyubi di Mesir dan Levant yang dilaluinya semasa dalam perjalanan ke Makkah. Tambahan pula, penlisannya juga memerikan keadaan semasa di Sicily Kristian yang ditakluk semula daripada Muslim seabad sebelumnya, dan beliau membuat beberapa pemerhatian tentang budaya kacukan yang berkembang di sana.

Lukisan abad ke-13 menunjukkan Kristian dan Muslim bermain catur.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Ibn Jubair dilahirkan pada tahun 1145 M di Taifa Valencia, Al-Andalus. Beliau merupakan waris Abdul Salam ibn Jabair yang telah menyertai sebuah angkatan yang dihantar Khalifah di Damsyik pada tahun 740 M untuk menangani pemberontakan Berber di wilayah-wilayah Sepanyol.[3] Ibn Jubair mendapat pendidikan di bandar Jativa di mana bapanya bertugas sebagai seorang kakitangan kerajaan. Kebolehan Ibn Jubair kemudiannya membawa kepada pelantikkannya sebagai gabenor Al-Muwahhidun di Grenada.[4]

Ibn Jubair menerangkan sebab-musabab pengembaraannya dalam alam kata pengantar Rihla karangannya. Sebagai setiausaha kepada pemerintah Grenada pada tahun 1182, beliau telah dipaksa meminum tujuh gelas wain. Kemudian, raja Grenada telah berasa berdosa dan memberinya tujuh gelas berisi dinar emas. Walaupun Ibn Jubair dipaksa meminum wain, beliau juga berasa berdosa dan membuat keputusan untuk bertaubat yang melakukan ibadat haji. Beliau meninggalkan Grenada pada 3 Februari 1183 dengan bertemankan seorang doktor dari bandar tersebut.

Pengembaraan[sunting | sunting sumber]

Peta menunjukkan perjalanan pertama Ibn Jubair dari Ceuta ke Makkah.

Pelayaran dari Ceuta ke Iskandariah[sunting | sunting sumber]

Ibn Jubair meninggalkan Grenada dan menyeberangi Selat Gibraltar ke Ceuta yang diperintah Muslim pada masa itu. Beliau menaiki sebuah kapal Genoa pada 24 Februari 1183 M dan belayar ke Iskandariah. Pelayarannya membawanya melepasi Kepulauan Belearic dan kemudiannya ke pantai barat Sardinia. Sementara di sana beliau mendengar kisah tentang nasib 80 orang lelaki, wanita dan kanak-kanak Muslim yang diculik dari Afrika Utara dan dijual sebagai hamba abdi. Kapalnya dilanda ribut taufan dan beliau menulis bahawa kesemua orang Itali dan Muslim di atas kapalnya "bersetuju yang mereka tidak pernah menempuh ribut yang amat teruk seumur hidup mereka".[5] Kapalnya melewati Sicily, Crete, dan kemudiannya belayar ke arah selatan menuju pantai utara Afrika Utara. Beliau sampai di Iskandariah pada 26 Mac 1183.

Di Mesir[sunting | sunting sumber]

Sultan Salahudin dan Mamluk memastikan keselamatan jalan kafilah unta yang membolehkan perjalanan ke wilayah-wilayah jauh.

Ibn Jubair memuji pemerintahan Salahuddin al-Ayyubi, pemerintah bermazhab ahli Sunnah Mesir yang baharu. Sebagai contoh, Ibn Jubair mencatat: "Tiada masjid jamek atau masjid biasa, makam, hospital atau madrasah teologi yang tidak merasakan bantuan sultan bagi orang yang berteduh atau tinggal di sana."[6] Beliau menyatakan bahawa Sultan Salahuddin membatalkan cukai petani apabila Sungai Nil tidak membanjiri kawasan berhampirannya. Beliau menmbah: "begitulah kesaksamaan (Salahuddin), dan keselamatan yang diwujudkannya pada jalan-jalan negaranya membolehkan warganya menjalankan kehidupan seharian mereka pada waktu malam tanpa berasa takut dan terkongkong."[7] Sebaliknya, Ibn Jubair mengutuk pemerintahan dinasti sebelumnya, iaitu dinasti Fatimiyyah yang bemazhab Syiah.

Tentang Kaherah pula, Ibn Jubair mencatat tentang maktab dan rumah penginapan yang dibina buat pelajar dan orang warak dari negara asing oleh Sultan Salahuddin. Penuntut dapat tempat penginapan dan guru bagi apa sahaja ilmu yang mereka cari, dan juga wang saku buat keperluan mereka. Penjagaan sultan juga membolehkan mereka menikmati rumah mandi, hospital, dan perkhidmatan ahli perubatan yang melawat tempat penginapan mereka, dan yang dipertanggungjawabkan sepenuhya terdapat kesihatan mereka. Satu daripada tindakan sultan yang bermurah hati adalah pada setiap hari dua ribu buku roti dibahagikan kepada para fakir miskin. Juga, Ibn Jubair berasa kagum dengan bilangan masjid di bandar Kaherah: bilangan masjid dianggarkan antara lapan dan 12 ribu buah, dan sering kali terdapat empat atau lima masjid pada sebuah jalan.

Di Iskandariah[sunting | sunting sumber]

Sebaik tiba di Iskandariah, Ibn Jubair berasa marah terhadap pegawai kastam yang meminta pembayaran zakat daripada bakal Haji, tidak kira sama ada mereka diperlukan membayar zakat atau tidak. Di bandar itu, beliau melawat Rumah Api Iskandariah yang masih terdiri sergam pada masa itu. Beliau berasa kagum dengan binaan tersebut:

Satu daripada bangunan menakjubkan yang kami lihat di bandar itu ialah rumah api yang dibina Allah SWT melalui tangan pekerja sebagai "satu tanda amaran supaya mendapt pengajaran daripada nasib orang lain" [al-Qur'an XV, 75], dan sebagai panduan buat pengembara kerana tanpanya mereka tidak akan dapat memastikan arah sebenar ke Iskandariah. Ia boleh kelihatan sejauh tujuh puluh batu, dan amat tua. Ia dibina dngan kukuh di semua bahagian dan bersaing ketinggian dengan langit. Amat susah menggambarkannya, mata tidak dapat memahaminya kerana ia sangat besar.[8]

Beliau juga kagum dengan maktab dan rumah penginapan yang disediakan percuma bagi para penuntut asing, rumah mandi dan hsopital yang terdapat di bandar tersebut. Kemudahan-kemudahan ini dibina daripada dana yang diperoleh daripada wakaf dan cukai yang dikenakan terhadap orang Yahudi dan Kristian.

Di Kaherah[sunting | sunting sumber]

Seorang Mamluk Mesir berpakaian baju besi lengkap dan bersenjatakan lembing, perisai dan pedang.

Ibn Jubair tiba di Kaherah tiga hari selepas meninggalkan Iskandariah. Di Kaherah, Ibn Jubair melawat tanah perkuburan di al-Qarafah di mana terdapat tempat bersemadi ramai tokoh-tokoh Islam. Beliau memerhatikan bahawa di kota Kaherah Sulatan Salahuddin, dinding-dinding kubu diperbesarkan oleh pihak Mamluk demi mempertahankan kota tersebut daripada serangan dan pengepungan tentera Salibi. Satu lagi kerja pembinaan yang disaksikan beliau ialah pembinaan sebuah jambatan tinggi di atas Sungai Nil, supaya jambatan tersebut tidak ditenggelami air akibat kebanjiran Nil. Beliau juga mencatatkan tentang sebuah hospital besar yang dibahgikan kepada tiga: satu bahagian masing-masing untuk peasakit lelaki, perempuan dan pesakit gila. Beliau melihat piramid di Giza, mahupun beliau tidak tahu untuk siapa piramid dibina, dan juga Sfinks di Giza. Beliau juga melihat Nilometer, sebuah alat pengukur yang digunakan untuk mengukur pembanjiran Nil.

Di Sicily[sunting | sunting sumber]

Ibn Jubair berada di Sicily pada penghujung pengembaraannya (Dis 1184—Jan 1185), dan menulis tentang pengalamannya di situ. Beliau menulis tentang gunung berapi:

Pada tengah malam api yang merah-merahan kelihatan menyambar ke langit. Ia adalah gunung api Stromboli. Kami dimaklumkan bahawa sambaran api yang kuat keluar dari dua lubang udara dalam dua gunung untuk membuat sambaran api tersebut. Sering kali sebuah batu besar dilontarkan ke udara oleh daya semburan dan dan kekal berada di udara. Ini adalah satu verita menakjubkan dan ia benar.

Gunung agung di pulau itu, yang dikenali sebagai Jabal al-Nar ("Gunung Api"), juga mempunyai keistimewaan kerana pada tahun-tahun tertentu, api megalir daripadanya seakan-akan 'empangan pecah'. Ia membakar semua yang dilaluinya sehinggalah sampai di laut di mana ia mengalir di permukaan laut dan kemudian reda di dalamnya. Marilah kita memanjatkan pujian kepada Maha Pencipta buat segala ciptaanNya. Tiada tuhan melainkan Allah.[9]

Ibn Jubair juga tertarik dengan bandar Palermo. Beliau memerikannya seperti berikut:

Ia sebuah metropolis pulau-pulau yang menggabungkan kemanfaatan yang diperoleh daripada kekayaan dan keindahan, dan memiliki apa sahaja yang diinginkan daripada kecantikan, sama ada benar atau hanya pada zahir, dan semua keperluan kehidupan , sama ada lama atau baharu. Ia sebuah bandar tua dan bergaya, dan memikat hati orang yang melihatnya. Ia berdiri megah dengan tempat-tempat lapangnya dipenuhi dengan taman, jalan-jalan yang luas dan ia menyejukkan hati dengan kesempurnaannya. Ia sebuah tempat yang mengagumkan, dibina dalam gaya Cordoba daripada batu kadhan. Sebatang sungai mengalir di tengah-tengahnya dan empat anak sungai mengalir di pinggir bandar... Raja bersiar-siar di taman dan kawasan istana buat menghiburkan hati. Wanita Kristian bandar ini mengikuti gaya wanita Muslim, petah percakapan, memakai jubah, dan juga mengenakan vel.[10]

Pengembaraan lain[sunting | sunting sumber]

Contoh seni bina Arab-Norman, yang menggabungkan dinding Goth dengan kubah seni bina Islam; dibina di Palermo, Sicily oleh Norman.[11]

Ibn Jubair juga mengembara ke Baitulmuqaddis, Madinah, Makkah, Damsyik, Mosul, Acre dan Baghdad. Di Basrah beliau melihat bagaimana kayu dari India digunakan dengan rapinya untuk membina kapal layar "Lateen". Beliau pulang ke Al-Andalus melalui Sicily pada tahun 1185. Perjalanan pulangnya dengan kapal Genoa penuh dengan rintangan termasuklah mengalami kapal karam.

Pemerian Ibn Jubair tentang layanan baik orang Islam di negeri kerajaan Salibi Baitulmuqaddis sering dipetik:

Kami bergerak dari Tibnin - semoga ia dihapuskan Allah - pada waktu fajar hari Isnin. Perjalanan kami membawa kami melalui ladang-ladang dan penempatan-penempatan Muslim, hidup dengan tenteram di kalangan orang Frank... Mereka menyerahkan setengah daripada hasil tanaman kepada Frank pada musim menuai, dan membayar cukai kepala sebanyak satu dinar dan lima qirat setiap orang. Selain itu mereka tidak diganggu melainkan dikenakan cukai kecil terhadap pokok buah-buahan. Rumah serta kepunyaan mereka tidak diusik. Semua bandar di pesisiran pantai diuruskan cara ini, wilayah desa, perkampungan dan ladang-ladang kekal dalam milik Muslim. Akan tetapi mereka patah hati kerana mereka melihat betapa selesa kehidupan mereka dan bagaimana saudara mereka hidup dalam keadaan amat berbeza di bawah pemerintahan gabenor (Muslim). Ini merupakan satu daripada kecelakaan yang menimpa orang Islam. Umat Islam meratapi kezaliman tuan tanah yang seagama dengannya, dan memuji kelakuan lawan dan musuhnya, tuan tanah Frank, dan sudah terbiasa dengan keadilan yang terdapat padanya.[12]

Kapal jenis "Dhow" yang menggunakan layar "lateen"

Ibn Jubair menjelajah ke Timur dua kali lagi (1189–1191 dan 1217), tanpa meninggalkan catatan. Beliau meninggal dunia pada 29 November 1217 di Iskandariah semasa satu daripada perjalanan ini.[4]

Gambaran keseluruhan dan penerbitan[sunting | sunting sumber]

Ibn Jubair memerikan tempat-tempat yang dilawatinya dengan pemerian terperinci dan tajam. Kitabnya berbeza daripada catatan yang sezaman dengannya kerana bukan sahaja ia memuatkan toponimi (kajian yang berkaitan dengan nama tempat) dan pemerian tugu, bukunya juga memuatkan pemerhatian geografi terperinci serta pemerhatian terhadap keadaan budaya, keagamaan dan politik. Catatannya yang menarik khusunya ialah penulisannya berkaitan penurunan iman Muslim di Palermo selepas penaklukan Norman, dan tentang apa yang diperhatikannya berkaitan adat-istiadat raja William II dari Sicily yang dipengaruhi adat Muslim.

Catatan pengembaraan Ibn Jubair menjadi model bagi penulis-penulis terkemudian, yang ada meniru catatannya tanpa memberi atribusi. Ibn Juzaiy, yang menulis kisah pengembaraan Ibn Battuta dalam lingkungan tahun 1355 M, meniru sebahagian penulisan Ibn Jubair yang memerikan Damsyik, Makkah, Madinah dan tempat-tempat lain di Timur Tengah yang dihasilkan Ibn Jubair 170 tahun yang silam.[13] Catatan yang ditiru daripada Ibn Jubair juga didapati dalam penulisan al-Sharishi, al-Abdari dan al-Maqrizi.[4]

Sebuah naskhah manuskrip Ibn Jubair disimpan dalam himpunan perpustakaan Universiti Leiden. Manuskrip sepanjang 210 halaman itu dihasilkan di Makkah dalam tahun 875 H (1470 M) dan kelihatan ditulis dengan pantas: tanda-tanda diakritik sering kali tiada didapati, perkataan-perkataan sering tidak ditulis dan ternampak kekeliruan tentang pasangan abjad tertentu.[14] Teks Arab lengkap mula-mula diterbitkan pada tahun 1852 oleh William Wright. Edisi yang dikemas kini diterbitkan dalam tahun 1907 oleh MJ de Goeje.[15] Manuskrip itu juga diterjemahkan ke dalam bahasa Itali (1906), Inggeris (1952) dan Perancis (1946–1956)[16] [17] [18]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. Peters, F.E. (1996). The Hajj: The Muslim Pilgrimage to Mecca and the Holy Places. Princeton, N.J.: Princeton University Press. m/s. 91. ISBN 069102619X. 
  2. Full name: Abū l-Husayn Muhammad ibn Ahmad ibn Jubayr al-Kenani (Bahasa Arab: أبو الحسين محمد بن أحمد بن جبير الكناني‎), also called simply Jabair.
  3. Broadhurst 1952, p. 15.
  4. 4.0 4.1 4.2 Pellat 1986.
  5. Broadhurst 1952, p. 28.
  6. Broadhurst 1952, pp. 44-45.
  7. Broadhurst 1952, p. 49.
  8. Broadhurst 1952, pp. 32-33.
  9. Broadhurst 1952, pp. 343-344.
  10. Broadhurst 1952, pp. 348-350.
  11. Les Normands en Sicile, p. 54.
  12. Broadhurst 1952, p. 316.
  13. Dunn 2005, pp. 313–314.
  14. Ibn Jubayr, Wright & de Goeje 1907, pp. 14-15.
  15. Ibn Jubayr, Wright & de Goeje 1907.
  16. Ibn Jubayr & Schiaparelli 1906.
  17. Broadhurst 1952.
  18. Ibn Jobair & Gaudefroy-Demombynes 1949/56.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Pernoud, Régine (translated by Enid Grant) (1963), The Crusaders, Edinburgh: Oliver & Boyd . Originally published as Les Croisés, Hachette, 1959.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]