Universiti Leiden

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Universiti Leiden
Universiteit Leiden
frames
Latin: Academia Lugduno Batava
Maklumat am
Moto Praesidium Libertatis (Benteng Kebebasan)
Ditubuhkan 1575
Jenis Universiti awam

Laman sesawang http://www.leiden.edu
Pentadbiran
Rektor Carel Stolker
Perangkaan
Staf akademik 3,244
Pelajar 17,251
Lokasi
Lokasi Leiden
Negara Belanda

sunting
Lihat pendokumenan templat ini


Universiti Leiden yang terletak di bandar raya Leiden ialah universiti yang tertua di Belanda. Bagaimanapun berdasarkan alasan teknik, ia merupakan universiti yang kedua tertua selepas Universiti Leuven yang diasaskan pada tahun 1425, akan tetapi Leuven bukan lagi merupakan sebahagian Belanda tetapi kini terletak di Belgium. Universiti Leiden adalah salah satu ahli Kumpulan Coimbra, Europaeum, dan Liga Universiti Penyelidikan Eropah, dan mempunyai reputasi antarabangsa yang baik.

Universiti Leiden diasaskan pada tahun 1575 oleh Putera William dari Orange, ketua pemberontakan Belanda dalam Perang Lapan Puluh Tahun. Keluarga Diraja Orange dan Universiti Leiden masih mempunyai hubungan yang rapat. Ratu-ratu Wilhelmina, Juliana dan Beatrix serta juga putera mahkota Willem-Alexander pernah belajar di Universiti Leiden. Pada tahun 2005, Ratu Beatrix menerima ijazah kehormat dari Universiti Leiden, suatu kehormatan yang jarang diberikan. [1]


Tentang institusi[sunting | sunting sumber]

Universiti Leiden tidak mempunyai sebuah kampus pusat tetapi bangunan-bangunannya tersebar di seluruh bandar raya. Sesetengah bangunan seperti Gravensteen (yang kini menampung Pejabat Antarabangsa Leiden) adalah amat tua, manakala bangunan-bangunan seperti Lipsius dan Gorlaeus adalah lebih moden.

Universiti Leiden dibahagikan kepada sembilan buah fakulti utama dan mempunyai melebihi 50 buah jabatan yang menawarkan lebih kurang 50 kursus peringkat siswa, serta melebihi 100 kursus lepas ijazah. Kampus-kampus universiti ini juga menampung melebihi 40 buah institut penyelidikan negara dan antarabangsa. [2]

Kesembilan-sembilan fakulti Universiti Leiden adalah seperti yang berikut:

  1. Matematik dan Sains Semula Jadi
  2. Falsafah
  3. Seni
  4. Undang-undang
  5. Teologi
  6. Arkeologi
  7. Sains Sosial dan Tingkah Laku
  8. Perubatan
  9. Seni Kreatif dan Seni Lakon

Fakulti Seni Kreatif dan Seni Lakon merupakan usaha sama antara Universiti Leiden, Konservatori Diraja dan Akademi Seni Diraja. Universiti ini tidak pernah mempunyai fakulti untuk ekonomi, perniagaan atau pengurusan kerana bidang-bidang ini tidak sesuai dengan tradisinya. Walaupun demikian, Pusat Pengajian Pengurusan Leiden (LUSM) diasaskan pada tahun 2002, [3] dan menawarkan enam buah program Sarjana Pengurusan Perniagaan yang profesional. Bagaimanapun, program-program tersebut diberhentikan pada tahun 2006, dan LUSM kini sedang mengembangkan aktiviti-aktiviti pengurusan perniagaan yang lebih berkait dengan aktiviti fakulti-fakulti universiti ini yang lain. Kini, LUSM berusaha sama dengan Fakulti Matematik untuk kursus Sarjana Sains dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi Perniagaan. [4]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1575, Republik Belanda yang sedang muncul tidak mempunyai sebarang universiti di kawasan tengah utaranya. Universiti yang tunggal di Belanda ketika itu terletak di Louvain selatan yang dikuasai oleh Sepanyol. Pembaharuan saintifik mula menekankan kepentingan kajian akademik dan oleh itu Putera William mengasaskan universiti Belanda yang pertama di Leiden sebagai ganjaran kepada penduduk-penduduk Leiden kerana pertahanan mereka yang sungguh berani terhadap serangan-serangan Sepanyol pada tahun yang lalu. Secara ironi, nama Philip II dari Sepanyol, musuh William, muncul dalam sijil pengasasan yang rasmi kerana beliau masih merupakan Count Holland de jure. Secara tradisi, penduduk-penduduk Leiden dikatakan diberikan pilihan antara pembinaan sebuah universiti atau pengecualian daripada pembayaran sesetengah cukai, dengan para penduduk berpendapat bahawa undang-undang cukai boleh dimansuhkan, manakala universiti-universiti Eropah yang utama telah kekal selama berabad-abad. Pada asalnya terletak di biara St. Barbara, Universiti Leiden kemudian berpindah ke biara Biarawati Putih (White Nuns) pada tahun 1581, suatu tapak yang ia masih menghuni walaupun bangunan yang asal telah dimusnahkan pada tahun 1616.

Pencapaian alumni dan profesornya[sunting | sunting sumber]

Dalam tempoh 50 tahun dari tarikh pengasasannya, kehadiran cendekiawan-cendekiawan seperti Justus Lipsius, Joseph Scaliger, Franciscus Gomarus, Hugo Grotius, Jacobus Arminius, Daniel Heinsius, dan Gerhard Johann Vossius, mencetuskan Universiti Leiden ke tahap kemasyhuran yang tertinggi di Eropah, satu kedudukan yang pembelajaran dan reputasi Jacobus Gronovius, Herman Boerhaave, Tiberius Hemsterhuis, dan David Ruhnken, antara lain, membolehkan Universiti Leiden mengekalkan kedudukannya sehingga akhir abad ke-18.

Pada akhir abad ke-19, Universiti Leiden sekali lagi menjadi salah satu universiti yang terutama di Eropah. Di makmal suhu rendahnya yang merupakan makmal jenis ini yang pertama di dunia, Profesor Heike Kamerlingh Onnes mencapai suhu-suhu yang paling rendah di dunia, iaitu hanya satu darjah atas sifar mutlak -273 °C. Pada tahun 1908, beliau juga menjadi orang yang pertama untuk mencecairkan gas helium dan oleh itu, boleh diberikan penghargaan untuk penemuan kesuperkonduksian dalam logam-logam.

Kamerlingh Onnes dianugerahkan dengan Hadiah Nobel Fizik pada tahun 1913. Tiga profesor yang lain juga menerima Hadiah Nobel untuk penyelidikan mereka yang dilakukan di Universiti Leiden, iaitu Hendrik Antoon Lorentz dan Pieter Zeeman yang menerima Hadiah Nobel untuk kerja-kerja perintis mereka dalam bidang fenomena optik dan elektronik, serta Willem Einthoven, ahli fisiologi yang mereka galvanometer bebenang yang antara lain membolehkan pengembangan elektrokardiografi.

Pemenang-pemenang Hadiah Nobel ini, bersama-sama dengan ahli-ahli fizik Albert Einstein dan Paul Ehrenfest, ahli kaji Arab dan Islam Christiaan Snouck Hurgronje, pakar undang-undang Cornelis van Vollenhoven, dan ahli sejarah Johan Huizinga, adalah antara mereka yang mendorong Universiti Leiden ke kedudukan antarabangsa yang menonjolkan semasa dekad-dekad 1920-an dan 1930-an. Pada tahun 2005, manuskrip Einstein tentang teori kuantum gas unggul monoatom (pemeluwapan Einstein-Bose) ditemukan di salah satu perpustakaan Universiti Leiden.[5]

Pada masa ini, Universiti Leiden telah memantapkan kedudukan antarabangsanya sebagai salah satu institut penyelidikan yang terutama dalam banyak bidang, termasuknya sains semula jadi, perubatan, sains sosial dan tingkah laku undang-undang, seni dan persuratan. Antara 28 anugerah Spinoza yang merupakan anugerah saintifik yang tertinggi di Belanda yang telah diberikan, tujuh daripadanya telah diberikan kepada profesor-profesor Universiti Leiden. Frits van Oostrom, ahli sejarah kesusasteraan, merupakan profesor Universiti Leiden yang pertama untuk menerima anugerah Spinoza kerana kerja-kerjanya dalam mengembangkan pusat NLCM (kesusasteraan dan kebudayaan Belanda pada Zaman Pertengahan) menjadi sebuah pusat penyelidikan yang terutama. Antara profesor-profesor utama yang lain yang menerima anugerah ini ialah:

Gambar profesor-profesor yang masyhur sejak dari masa awal Universiti Leiden dipaparkan di dewan universiti yang dikatakan oleh Carsten Niebuhr merupakan salah satu tempat yang paling tidak dapat dilupakan dalam sejarah sains.

Perpustakaan Universiti[sunting | sunting sumber]

Perpustakaan Universiti Leiden memiliki melebihi 3.5 juta buah buku dan 50 ribu buah jurnal, serta sebilangan himpunan kesusasteraan barat dan timur yang istimewa yang terdiri daripada manuskrip, buku, arkib, peta dan buku peta. Cendekiawan-cendekiawan dari seluruh dunia mengunjungi Perpustakaan Universiti Leiden kerana kepustakaan-kepustakaannya yang kaya.

Kegiatan-kegiatan penyelidikan Institut Scaliger di Perpustakaan Universiti Leiden menumpukan kepada berbagai-bagai aspek penghantaran pengetahuan dan idea melalui teks dan imej dari zaman purba sehingga hari ini.

Institusi-institusi tergabung[sunting | sunting sumber]

Antara institusi-institusi yang bergabung dengan Universiti Leiden ialah:

Taman botani[sunting | sunting sumber]

Hortus Botanicus ialah taman botani yang tertua di Belanda. Tumbuh-tumbuhan dari seluruh dunia telah ditanam dengan berhati-hati oleh pakar-pakar selama melebihi empat abad. Hortus Botanicus merangkumi:

  • Taman Clusisu, sebuah taman pembinaan semula;
  • Rumah tanaman buah oren abad ke-18, dengan pokok pasu yang tersergam dan bersejarah;
  • Taman Peringatan Von Siebold Jepun yang melambangkan hubungan sejarah antara Timur dan Barat;
  • Himpunan pokok yang jarang ditemukan dan yang berusia ratusan tahun;
  • Rumah-rumah tanaman tropika dengan himpunan-himpunan tumbuhan kelas dunia;
  • Dataran pusat dan rumah pemuliharaan yang mempamerkan tumbuh-tumbuhan eksotik dari Afrika Selatan dan Eropah Selatan.

Alumni dan tokoh-tokoh lain yang berkait[sunting | sunting sumber]


Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Fail Windows Media yang menonjolkan Ratu Beatrix menerima ijazah kehormatnya, Februari 2005
  2. [1]
  3. Laman web rasmi LUSM
  4. Laman web rasmi Universiti Leiden: Kursus Sarjana Sains dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi Perniagaan
  5. Laman web Berita BBC

Pautan luar[sunting | sunting sumber]