Igor Sikorsky

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Igor Sikorsky

Igor Ivanovich (atau Ihor Ivanovych) Sikorsky (Russia: Игорь Иванович Сикорский; Ukraine: Ігор Іванович Сікорський) (25 Mei 188926 Oktober 1972) adalah seorang perintis penerbangan helikopter yang mempelopori susun atur menggunakan satu rotor utama dan dibantu satu rotor ekor yang kecil. Beliau juga mereka cipta pesawat sayap tetap pertama yang berenjin 4.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Igor Sikorsky dilahirkan di Kiev dalam Empayar Rusia pada 25 Mei 1889 dan adalah anak bongsu dalam keluarga lima beradik. Ayahnya seorang profesor psikologi. Ibunya seorang doktor tetapi tidak mempraktis kerjaya sebagai doktor. Sebaliknya di memberikan pendidikan kepada anak-anaknya di rumah. Semasa mendidik Igor di rumah, ibunya menanamkan kecintaan yang teramat kepada seni, khususnya berkaitan dengan hidup dan seni Leonardo da Vinci, di sanubari Igor. Igor juga dibesarkan dengan cerita-cerita nukilan Jules Verne. Igor Sikorsky mula membuat eksperimen menggunakan model pesawat terbang. Pada usia 12 tahun Igor sudah membuat sebuah model helikopter yang menggunakan getah.

Igor Sikorsky melanjutkan pelajaran ke Kolej Peperangan Laut di St. Petersburg dari tahun 1903 hingga 1906 dan dari tahun 1907 hingga 1909, tetapi tidak menamatkan pendidikan formalnya. Di antara tahun-tahun 1906 hingga 1907, Igor Sikorsky belajar kejuruteraan di Paris. Dalam tahun 1908 Igor Sikorsky berjelajah ke Jerman dengan bapanya dan melihat gambar Orville Wright dan pesawat terbangnya. Igor Sikorsky bertekad untuk mempelajari ilmu penerbangan.

Dengan bantuan kewangan daripada kakaknya, Igor Sikorsky kembali ke Paris dalam tahun 1909 untuk mempelajari aerodinamik di sekolah kejuruteraan et ESTACA (sekarang ini ETACA). Ketika itu Paris merupakan pusat pengetahuan penerbangan terunggul di dunia. Igor Sikorsky bertemu dengan beberapa perintis penerbangan seperti Louis Bleriot, orang pertama berjaya merentasi Selat Inggeris dengan pesawat terbang. Igor Sikorsky pulang ke Kiev dan mula membuat eksperimen dengan pesawat terbang.

Dalam tahun 1912, Igor Sikorsky menjadi ketua Jurutera di Kilang Gerabak Kereta Api Baltic Rusia (Russian Baltic Railroad Car Factory) di St. Petersburg. Dalam tahun 1914, Igor Sikorsky diberikan Ijazah Kejuruteraan "Honoris Causa" oleh Institut Politeknik Saint Petersburg. Pesawat rekaannya jenis S-6-B mendapat tempahan daripada Tentera Rusia. Igor Sikorsky juga memulakan kerja rekaan ke atas pesawat berenjin empat yang dipanggil Bolshoi Baltiski. Beliau membuat penerbangan ujian pada 13 Mei 1913.

Selepas Perang Dunia I, Igor Sikorsky menjadi jurutera untuk pasukan tentera Perancis semasa Perang Saudara Rusia. Melihatkan peluangnya dalam bidang aeronautik agak terhad di Eropah yang dalam keadaan huru hara, apatah lagi di Rusia yang berada di kancah perang saudara, Igor Sikorsky memutuskan untuk berhijrah ke Amerika Syarikat dalam tahun 1919.

Di Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Di Amerika Syarikat, Igor Sikorsky mula bekerja sebagai guru sekolah dan pensyarah, sementara mencari peluang untuk menceburi lapangan aeronautik. Dalam tahun 1923, dengan bantuan beberapa orang bekas pegawai tentera Rusia, Igor Sikorsky menubuhkan Sikorsky Aero Engineering Company. Dalam tahun 1928, Igor Sikorsky diberikan kerakyatan Amerika Syarikat.

Tahun berikutnya, Sikorsky Aero Engineering Company diambil alih oleh United Aircraft (kini sebahagian daripada United Technologies Corporation). Igor Sikorsky telah membuat pelbagai ujian semasa di Rusia lagi. Kerja-kerjanya membawa hasil pada 14 September 1939 apabila pesawat Vought-Sikorsky 300 membuat penerbangan sulungnya. Pesawat ini mempunyai satu rotor berbilah tiga dan dikuasai oleh sebuah enjin 75hp (56kW). Pesawat ini membuat penerbangan bebas (tanpa ditambat) pada 13 Mei 1940.

Penghormatan[sunting | sunting sumber]

Igor Sikorsky telah dimasyhurkan sebagai perintis penerbangan Connecticut oleh Dewan Perundangan Connecticut. Syarikat Sikorsky Aircraft Corporation di Stratford, Connecticut terus mengeluarkan helikopter hingga ke hari ini. Kini Sikorsky Aircraft Corporation antara pembuat helikopter paling unggul di dunia. Sebuah lapangan terbang kecil di Stratford juga dinamakan Lapangan Terbang Sikorsky.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Igor Sikorsky mempunyai seorang anak perempuan yang dilahirkan di Rusia dan 4 orang anak lelaki yang dilahirkan di Amerika Syarikat. Anak lelaki sulungnya, Sergei, menggantikannya dalam syarikat Sikorsky selepas kematian Igor dalam tahun 1972.