Jang Yeong-sil

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Jang Yeong-sil
Nama Korea
Hangul 장영실
Hanja 蔣英實
Perumian Semakan Jang Yeong-sil
McCune–Reischauer Chang Yŏngsil

Jang Yeong-sil ialah seorang saintis Korea dan seorang ahli astronomi pada zaman Dinasti Joseon (1392-1910). Walaupun Jang dilahirkan sebagai seorang hamba abdi, polisi baru King Sejong (1418–1450) yang memecahkan batasan kelas dan darjat yang dilaksanakan dalam perkhidmatan awam kebangsaan telah memberi peluang kepada Jang untuk bekerja di istana raja. Ciptaan-ciptaan Jang seperti penyukat hujan dan penyukat air menyerlahkan kemajuan teknologi Dinasti Joseon.

Tahun-tahun awal[sunting | sunting sumber]

Kelahiran Jang hanya direkodkan dalam salasilah keluarga Jang[1][2] dan Joseon Wangjo Sillok[3] (Babad Dinasti Chosun). Menurut catatan-catatan ini, bapa Jang, Seonghwi Jang adalah generasi ke-8 pengasas keluarga Jang yang datang dari China[4]. Seonghwi Jang adalah anak ketiga daripada lima orang adik-beradik dan semua lima beradik tersebut merupakan menteri bagi Go-ryeo, sebuah negeri Korea kuno (918-1392). Terdapat banyak catatan sejarah[5] mengenai abang sulungnya, Seongbal Jang. Seongbal Jang dilahirkan pada tahun 1344 dan kuburnya terletak di Ui-seong dalam wilayah Kyungbook. Joseon Wangjo Sillok mencatatkan bahawa ibunya adalah seorang gwan-gi(gisaeng). Status sosial Yeongsil dan ibunya ialah gwan-no,[6] pelayan dalam khidmat awam mahkamah daerah. Bakat Yeongsil adalah sangat cemerlang sehinggakan dia dihantar ke istana raja. Dari maklumat di atas, kita dapat mengandaikan bahawa Jang lahir dalam keluarga pegawai berpangkat tinggi namun pada masa pertukaran dari Dinasti Go-ryeo ke Joseon bapanya menjadi banduan politik dan Jang serta ibunya menjadi gwan-no.

Perkhidmatan Awam Kebangsaan[sunting | sunting sumber]

Raja Sejong telah melancarkan satu polisi yang memilih para pegawai berdasarkan bakat mereka dan bukannya kekayaan atau kelas sosial mahupun darjat. Kemasyhuran Jang membolehkannya memasuki istana raja di Hanseong (kini Seoul), tempat orang awam terpilih mempamerkan bakat mereka di hadapan raja dan para penasihat baginda. Sejong melihat bahawa Jang memenuhi harapannya dalam pertukangan dan kejuruteraan, dana membenarkan Jang untuk bekerja sebagai pegawai kerajaan di istana.[7] Saintis-saintis berbakat yang direkrut melalui program baru Raja Sejong bekerja di Dewan Orang Bijaksana (집현전; 集賢殿; Jiphyeonjeon).[8]

Peralatan Astronomi[sunting | sunting sumber]

Glob samawi Korea yang pertama yang dihasilkan oleh Jang Yeongsil semasa Dinasti Joseon di bawah pemerintahan Raja Sejong.

Tugasan pertama yang diberikan Sejong kepada Jang adalah pembinaan sebuah glob cakerawala untuk mengukur benda-benda samawi. Buku-buku yang diperolehi daripada sarjana-sarjana Arab dan Cina tidak memberikan panduan yang lengkap disebabkan alat-alat ini dapat juga digunakan untuk tujuan ketenteraan. Selepas dua bulan pengkajian, dia membina sebuah alat berbentuk sfera yang dapat berfungsi dengan agak kurang tepat. Setahun selepas cubaan pertamanya, pada tahun 1433, Yeongsil membina honcheonui (혼천의, 渾天儀). Honcheonui bergantung pada sebuah kincir air untuk memutarkan glob dalaman bagi menandakan waktu.[9] Ini membolehkan alat tersebut dikemaskini pada kedudukan matahari, bulan dan bintang samada pada waktu siang ataupun malam.[10] Glob-glob cakerawala yang terkemudiannya (misalnya gyupyo (규표)) mampu mengukur perubahan masa menurut perubahan musim.[11] Alat-alat ini bersama-sama dengan jam suria dan jam air, telah ditempatkan di sekeliling Kolam Kyonghoeru di Istana Kyongbok dan digunakan oleh ahli astrologi.[12] Keberkesanan peralatan astronomi Jang Yeong-sil tercatat dalam tahun 1442 apabila ahli-ahli astronomi Korea menyusun pengiraan mereka mengenai peredaran tujuh objek samawi (lima buah planet nyata, matahari, dan bulan) dalam Chiljeongsan (칠정산).[13]

Alat Percetakan besi[sunting | sunting sumber]

Walaupun Choe Yun-ui (최윤의) telah mencipta alat percetakan logam yang pertama di dunia dalam tahun 1234 semasa Dinasti Goryeo,[12] namun Johann Gutenberg yang diiktiraf sedunia sebagai orang pertama yang menerokai teknologi ini. Secara umumnya, blok percetakan jenis cerai logam mengatasi blok percetakan kayu dari segi ketahanan, kejelasan dan kelamaan.[14] Pun begitu, raja meminta saintis-saintis di Jiphyeonjeon untuk mencipta alat percetakan yang lebih baik. Pada tahun 1434,[15] saintis-saintis tersebut menyiapkan pembuatan Gabinja (갑인자, 甲寅字),[16] yang dibuat daripada aloi-aloi kuprum-zink dan plumbum-stanium.[17] Dikatakan bahawa ia dua kali lebih pantas daripada alat-alat percetakan terdahulu dan ia mencetak aksara Cina dengan sangat cantik dan jelas. Gabinja telah dihasilkan sebanyak enam kali untuk 370 tahun selanjutnya.[17]

Jam air[sunting | sunting sumber]

Model berskala jam air berbunyi sendiri ciptaan Jang Yeong-sil.

Jam air berbunyi sendiri sudah pun direka oleh orang-orang Arab dan Cina (pada tahun 1091),[18] dan satu bentuk yang lebih primitif telah pun diguna oleh orang Korea. Walaupun tiada bukti sejarah, Samguk Sagi mencatatkan bahawa satu jawatan yang memantau penggunaan jam air telah diwujudkan semasa Zaman Tiga Kerajaan.[12] Jam air versi Korea terdiri daripada dua buah balang air bertimbun, dengan air menitik dari bahagian atas ke bahagian bawah pada kadar tertentu. Aras air menunjukkan masa pada hari itu. Ini sangat menyusahkan kerana seseorang perlu sentiasa mengawasinya supaya dia dapat memukul gendang pada setiap jam untuk memberitahu orang ramai.

Apabila mendengar mengenai penggunaan jam air berbunyi sendiri di negara-negara asing, Raja Sejong menugaskan Jang dan cendiakawan lain untuk membina sebuah jam yang menandingi peranti-peranti automatik tersebut. Mereka gagal membangunkan jam air pengendalian. Oleh itu, Jang pergi ke China untuk mempelajari pelbagai reka bentuk jam air. Apabila dia kembali pada tahun 1434, Jang mencipta jam air Korea yang pertama, Jagyeokru (자격루).[19] Jam air ini tidak bertahan lama; bagaimana pun, pembinaan semula Jagyeokru telah dijalankan berdasarkan penerangan teks.

12 buah lembaga kayu yang bertindak sebagai penanda masa mengelilingi jam tersebut. Terdapat empat buah bekas air, dua balang yang menerima air dan 12 batang anak panah yang terapung di dalam bekas air bawahan. Apabila air dari bekas atasan turun melalui paip ke bekas bawahan, sebatang anak panah akan memiringkan papan yang berisi dnegan bebola-bebola besi yang kecil; bebola akan bergolek di dalam paip menuju ke bekas bebola besi yang lebih besar. Perlanggaran ini akan menyebabkan bebola yang lebih besar akan bergolek turun melalui paip bawahan dan melanggar simbal gergasi lalu mengumumkan masa kepada orang ramai. Kemudian, bebola itu akan masuk ke bekas lain yang merupakan sebahagian daripada struktur tuas dan kapi yang mengaktifkan pergerakan lembaga kayu untuk menandakan masa secara visual.[20]

Jam suria[sunting | sunting sumber]

Jam suria Korea pertama yang dihasilkan oleh Jang Yeong-sil semasa Dinasti Joseon, dipamerkan di Gyeongbokgung.

Jam air ciptaan Jang tersebar ke seluruh negara, namun jam itu amat mahal, maka terciptanya alternatif yang lebih murah dan mudah diselenggara, iaitu jam suria. Jang, Ichun, Kimjo, dan saintis-saintis yang lain mencipta jam suria yang pertama di Korea, iaitu Yangbu Ilgu (양부일구, 仰釜日晷), Rekacipta jam air Jang mendapat sambutan di seluruh negara. Pun begitu, semua jam ini adalah sangat mahal, dan jam suria menjadi alternatif yang lebih murah dan mudah dikendalikan. Jang, Ichun, Kimjo, dan sarjana-sarjana lain telah menghasilkan jam suria Korea yang pertama, Yangbu Ilgu (양부일구) (仰釜日晷),[21] yang bererti "jam suria berbentuk periuk yang memandang langit".[22] Yang Ilgu dibuat daripada gangsa dan mengandungi sebuah mangkuk yang bertanda dengan 13 meter untuk menandakan masa dan empat batang kaki yang disambungkan dengan palang pada dasar.[22] 7 garis melintasi 13 meter pada lengkung-lengkung yang berbeza untuk mengimbangi perubahan musim akibat peredaran matahari.[22] Yangbu Ilgu serta bentuk-bentuk jam suria yang lain seperti Hyunjoo Ilgu dan Chunpyung Ilgu dilaksanakan di tempat-tempat yang sesuai, seperti jalan raya yang sibuk lalulintasnya, untuk memudahkan orang ramai mengetahui waktu. Demi kemudahan rakyat jelata yang rata-rata buta huruf, 12 bentuk patung haiwan zodiak Cina diatur seiring dengan meter-meter tersebut.[22] Tiada satu pun jam matahari Dinasti Joseon ciptaan sewaktu pemerintahan Raja Sejong yang mengharungi serangan Jepun terhadap Korea (1592-1598).

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. "The genealogy of A-san Jang-si", book 1, pp.4, 1872, (牙山蔣氏世譜卷之一黃)
  2. Jonghwa Ahn, Kook-Jo-In-Mool-Ji, 1909, 國朝人物志 v.1, A biographical dictionary of Korea
  3. The article of 16 SEP 1433, Chosun Wangjo Sillok, King Sejong
  4. Dae-Dong-Woon-Boo-Goon-Ok, 1587, 大東韻府群玉
  5. Moon-Ik-Gong Sillok, 1738
  6. p. 17 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  7. p. 46-49 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  8. Korean History Project
  9. p. 55 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  10. p. 56 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  11. p. 77 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  12. 12.0 12.1 12.2 Indiana University Resources
  13. Introduction to the Folk Museum
  14. The Invention of Movable Type
  15. Glossary of Korean Studies
  16. p. 63 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  17. 17.0 17.1 Federation of Busan and Technology
  18. p. 68 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  19. p. 71 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  20. p. 72-73 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil. Woongjin Publishing.
  21. p. 75 Baek Seokgi. (1987). Woongjin Wi-in Jeon-gi #11 Jang Yeong-sil Woongjin Publishing.
  22. 22.0 22.1 22.2 22.3 Kaeri Web Magazine

Pautan luar[sunting | sunting sumber]