Kertok

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Kertok adalah salah satu hiburan tradisional masyarakat Melayu Kelantan[perlu rujukan]. Asal-usul permainan Kertok bermula apabila ia digunakan oleh penanam padi bagi tujuan menghalau burung pada musim padi masak. Pada masa kini alat ini mempunyai fungsi yang utuh dan boleh dikatakan terkenal dalam masyarakat tradisi Kelantan yang rata-ratanya ialah masyarakat petani. Kertok dibuat dengan menggunakan kayu Merbau atau Nibong yang dilubangkan di tengah-tengahnya dan diisi pula dengan tempurung kelapa tua yang telah diproses. Buah kelapa tersebut dibelah dua dan diletakkan sekeping papan yang dibuat daripada kayu Nibong iaitu sejenis kayu keras yang tahan dipalu. Papan ini dikenali sebagai “belira” atau daun dan diikat dengan getah pada tiang yang terletak dibahagian atas kertok. Kadang-kadang kertok ini dihiasi dengan panji-panji yang berbagai corak dan warna serta lukisan yang menarik.

Kertok dimainkan di majlis-majlis keramaian atau majlis rasmi menyambut Pembesar Negeri. Ia boleh dimainkan oleh dua orang atau berkumpulan. Sesebuah kumpulan mengandungi 12 hingga 24 peserta. Paluan Kertok juga mempunyai lagu-lagu tertentu seperti Ropok, Anjol, Kuncah Manis, Gadoh, Kudarambak, Kedogong dan lain-lain. Penduduk sekitar Kampung Petani, Sering, Kota Bharu, Kampung Serdang, Pasir Mas, Kampung Chica, Bachok, Kampung Tempoyak, Bachok dan Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, ini amat popular dalam perusahaan membuat kertok.


Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

http://www.tic.kelantan.gov.my/index.php/permainan-tradisional [Kertok]