Lembaga Pelancongan Singapura

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pusat Pelawat Singapura di Jalan Orchard, menawarkan maklumat pelancongan kepada para pengunjung di Singapura.

Lembaga Pelancongan Singapura (Bahasa Inggeris: Singapore Tourism Board, singkatan: STB; Bahasa Cina: 新加坡旅游局) ialah sebuah lembaga berkanun di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura, yang ditugaskan untuk mempromosikan industri pelancongan negara.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Lembaga ini ditubuhkan pada tahun 1964 dan dikenali sebagai Lembaga Promosi Pelancongan Singapura (Singapore Tourist Promotion Board, STPB). Pada tahun itu, terdapat 91,000 pengunjung. Tugas utama STPB adalah mengkoordinasi usaha-usaha syarikat hotel, penerbangan dan agensi pelancongan untuk membangunkan industri pelancongan negara yang masih baru ketika itu.

Kemudian, STPB mula melaksanakan idea pemasaran baru untuk mempromosikan imej Singapura ke luar negara. Maka, lembaga ini mereka Merlion, satu lambang yang diilhamkan daripada legenda mitos Singapura, yang menjadi ikon destinasi Singapura. Lembaga ini juga selama ini menyediakan perlesenan agensi pelancongan dan latihan panduan pelancong.

STPB giat mempromosikan pembangunan prasarana, termasuk pembinaan hotel dan tarikan pelancong seperti Taman Burung Jurong dan Pulau Sentosa yang kini menjadi pulau penginapan yang popular untuk pengunjung luar mahupun tempatan. Lembaga ini juga memasarkan bandaraya Singapura sebagai tempat konvensyen dan menganjurkan acara untuk menarik pelancong.

Pada 1980-an, sesetengah kawasan bersejarah dan kebudayaan terpenting seperti Chinatown, Little India dan Jalan Arab diuntukkan untuk pemeliharaan. Tempat-tempat ini menonjolkan kepelbagaian budaya Singapura dan menjadi destinasi pelancongan popular. Sungai Singapura menjalani program pembersihan besar dan kawasan-kawasan sepanjang sungai ini dimajukan menjadi restoran dan kemudahan-kemudahan pelancong yang lain.

Lembaga ini dinamakan semula menjadi Lembaga Pelancongan Singapura pada tahun 1997. Lembaga ini kini menyelia segala aspek pelancongan, termasuk peruntukan sumber dan perancangan strategik jangka masa panjang. STB membuka pejabat-pejabat di seluruh dunia untuk menggiatkan pemasaran destinasi Singapura.

Industri pelancongan Singapura telah berkembang pesat sejak penubuhan STPB. Pada tahun 2004, terdapat 8 juta pengunjung. Pada 11 Januari 2005, Menteri Pelancongan dan Industri meluahkan sasaran berani STB untuk menggandakan kedatangan pelancong ke 17 juta menjelang tahun 2015.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]