Leon Gieco

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Gieco pada tahun 2005.

Raúl Alberto Antonio Gieco, lebih dikenali sebagai León Gieco (lahir 20 November 1951), ialah penggubah serta pentafsir muzik pop dan muzik rakyat yang berkebangsaan Argentina. Beliau dikenali kerana mencampurkan genre-genre muzik rakyat yang disukai ramai dengan muzik rock Argentina, serta lirik-lirik yang mempunyai konotasi sosial dan politik. Oleh itu, beliau telah digelar "Bob Dylan Argentina".


Biografi[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di sebidang ladang berdekatan Cañada Rosquín di Santa Fe utara, Argentina, Gieco mula bekerja ketika hanya berumur 8 tahun. Dengan wang sendiri, beliau membeli sebuah gitar dan tidak lama kemudian, bermain untuk upacara-upacara hari peringatan negara bagi sekolahnya, serta menyertai Los Nocheros, kumpulan muzik rakyat. Beliau juga menyertai sebuah pancaragam muzik rock yang dipanggil Los Mocosos dan memperoleh setakat kejayaan di kalangan peminat-peminat di bandar-bandar berjiran. Pancaragam tersebut bermain lagu-lagu Beatles, Rolling Stones, dan Kumpulan Spencer Davis selepas memenangi pertandingan untuk bermain dalam Saluran 5 Television Rosario pada tahun 1965.

Ketika berumur 18 tahun, Gieco ke Buenos Aires untuk mencuba nasibnya. Di sana, beliau berkawan dengan Litto Nebbia dan Gustavo Santaolalla yang mencari peluang untuknya bermain dalam persembahan pembukaan untuk ahli-ahli muzik yang masyhur.

Dekad 1970-an[sunting | sunting sumber]

Gieco bermain muzik dengan berbagai-bagai tokoh, termasuk David Lebón, serta dalam Pesta-pesta Muzik Rock Buenos Aires pada tahun 1971, 1972, dan 1973. Pada tahun 1973, album pertamanya yang dirakam secara bebas dengan Santaolalla pada dua tahun yang lalu diterbitkan. Lagu utamanya, En el país de la libertad ("Di dalam negara bebas"), mencapai setakat kejayaan. Pada tahun berikut, rekod LP keduanya, La Banda de los Caballos Cansados ("Kumpulan Kuda Letih"), menepati gaya yang sama untuk "memahami takdir rakyat dan alasan-alasan untuk ketakadilan" (entender el destino de los pueblos, el por qué de las injusticias).

León mengadakan sebuah siri konsert dengan sekumpulan ahli muzik yang tetap, serta membuat persembahan-persembahan lain dengan Porsuigieco, superkumpulan yang ditubuhkan bersama-sama Raúl Porchetto, Charly García, Nito Mestre, dan María Rosa Yorio. Mereka mencapai setakat kejayaan dan menerbitkan sebuah rekod eponim pada tahun 1976.

Pada waktu yang sama, Gieco terus bermain dengan pancaragamnya yang lain dan mengikat kontrak untuk dua buah pertunjukan, akan tetapi perpecahan pancaragam tersebut memaksanya membuat persembahan solo untuk kedua-dua pertunjukan itu. Para penonton kelihatan suka akan persembahan seorangnya, dan Gieco memutuskan untuk meneruskan laluan ini seorang diri. Pada tahun 1976, beliau menerbitkan El Fantasma de Canterville ("Hantu dari Canterville"). Rekod tersebut mengalami banyak penapisan daripada kerajaan tentera, dan beliau terpaksa menukarkan lirik untuk enam buah lagu serta menghapuskan sama sekali lirik bagi tiga buah lagu yang lain. Bagaimanapun, rekod tersebut mencapai kejayaan, dan beliau mengadakan konsert-konsert, bukan sahaja di sekitar Argentina tetapi juga di negara-negara lain di Amerika Selatan. Dua tahun kemudian, beliau menerbitkan rekod LP IV yang mengandungi salah satu lagu termasyhurnya, Sólo le pido a Dios ("Aku hanya menanyakan Tuhan"). Akibat keadaan politik di Argentina, Gieco berpindah ke Los Angeles, California selama setahun.

Dekad 1980-an[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1981, Gieco mengadakan konsert solo di Buenos Aires, dan bermain gitar, harmonika, serta karango. Beliau kemudian menerbitkan album Pensar en nada ("Berfikir Tentang Tiada Apa-apa"). Pada tahun yang sama, beliau memulakan siri konsert bebas 3-tahun 110,000-kilometer di seluruh Argentina dan bermain muzik kepada 420,000 orang penonton pada keseluruhannya. Gieco mengumpulkan bahan-bahan daripada berbagai-bagai tempat yang dikunjunginya, dan merakam rekod jilid pertama De Ushuaia a La Quiaca ("Dari Ushuaia ke La Quiaca") di Buenos Aires pada tahun 1985, bersama-sama berbagai-bagai ahli muzik autokhon. Album-album susulan, De Ushuaia a La Quiaca 2 dan De Ushuaia a La Quiaca 3, dirakam di studio bergerak di berbagai-bagai tempat di negara.

Pada tahun 1985, Gieco ke Moscow untuk mewakili Argentina dalam "Pesta Belia dan Pelajar Dunia" ke-12, bersama-sama Juan Carlos Baglietto dan Litto Nebbia. Beliau juga mengadakan konsert-konsert di negeri Jerman dengan kawan baiknya, Mercedes Sosa. Pada kepulangannya ke Argentina dalam tahun 1986, Gieco memulakan lagi sebuah lawatan persembahan di seluruh negara. Beliau kembali ke negeri Jerman pada tahun 1987 untuk menyertai tujuh buah konsert, termasuk Pesta Lagu Politik di Berlin.

Apabila Geico kembali dari negeri Jerman, beliau mengadakan dua buah konsert percuma untuk 40,000 orang penonton di Tugu Peringatan Bendera Kebangsaan di Rosario, dan 35,000 orang di Buenos Aires. Di Stadium Boca Juniors, Gieco mengadakan sebuah konsert bersama-sama Pablo Milanés dan Chico Buarque, serta ahli-ahli muzik tamu Mercedes Sosa, Fito Páez, Nito Mestre, Juan Carlos Baglietto, dan Sixto Palavecino. Pada akhir tahun, beliau memulakan lawatan persembahan dunianya yang meliputi negara-negara Mexico, Peru, Brazil, Sweden, Jerman dan Denmark. Gieco membuat persembahan di Jerman dan Austria pada tahun 1988. Ketika kembali ke Argentina, beliau menyertai konsert terakhir Lawatan Hak Asasi Manusia Sekarang Juga! yang diadakan oleh Amnesti Antarabangsa di Stadium Sungai Plate, bersama-sama Charly García, Peter Gabriel, Bruce Springsteen, Sting, dan ahli-ahli muzik yang lain.

Selepas membuat lawatan persembahan selama lapan tahun, album Semillas del corazón ("Biji-biji Hati") yang menandakan kepulangannya ke studio diterbitkan pada tahun 1989. Pada tahun yang sama, beliau membuat persembahan di Teatro Ópera di Buenos Aires, bersama-sama Pete Seeger, penyanyi lagu rakyat legenda Amerika Syarikat, dengan bahan-bahan yang disunting daripada konsertnya, Concierto en vivo, yang diadakan pada tahun 1990. Pada tahun berikut, Seeger menjemput Gieco untuk menyertai sebuah lawatan persembahan yang membawanya ke Washington, D.C., Boston, dan Bandaraya New York. Di sana, beliau bermain muzik dengan David Byrne, ahli muzik termasyhur Amerika Syarikat, yang telah beliau bertemu di Buenos Aires tidak lama sebelum itu.

Dekad 1990-an[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1992, Gieco bermain muzik dengan Milton Nascimento, Mercedes Sosa, Os Paralamas do Sucesso, Gilberto Gil, dan Rubén Rada dalam upacara pembukaan rasmi Parlimen Amerika Latin di São Paulo. Beliau juga menerbitkan album Mensajes del Alma ("Perutusan-perutusan Jiwa").

Pada tahun 1994, Gieco menyunting Desenchufado ("Tiada promosi"), nama sindiran yang memperolok-olokkan konsert-konsert MTV tanpa promosi yang disukai ramai, dengan gubahan semula lagu-lagu lama. Walaupun rekod Los Orozco yang diterbitkan pada tahun 1997 mempunyai beberapa buah lagu yang tidak menepati gaya muzik rakyat Gieco dahulu, yang lain masih menepati gaya tersebut. Banyak ahli muzik tamu menyertai perakamanan ini, antaranya Mercedes Sosa, Ricardo Mollo (Divididos), Santaolalla, dan Ricardo Iorio. Juga pada tahun 1997, Gieco menyertai konsert yang diadakan untuk memperingati hari ulang tahun Ibu-ibu Plaza de Mayo ke-20, bersama-sama pancaragam-pancaragam seperti Divididos, Las Pelotas, La Renga, Los Piojos, dan Attaque 77.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

  • León Gieco (1973)
  • La Banda de los Caballos Cansados (1974)
  • El fantasma de Canterville (1976)
  • IV LP (1978)
  • Siete años (1980)
  • Pensar en nada (1981)
  • Corazón americano / El gran concierto (1985)
  • De Ushuaia a La Quiaca 1 (1985)
  • De Ushuaia a La Quiaca 2 (1985)
  • De Ushuaia a La Quiaca 3 (1985)
  • Semillas del corazón (1989)
  • Ayer y hoy (1989)
  • Concierto en vivo con Pete Seeger (1990)
  • Mensajes del alma (1992)
  • Desenchufado (1994)
  • Orozco (1997)
  • En el país de la libertad (1999)
  • De Ushuaia a La Quiaca 4 (1999)
  • 40 obras fundamentales (2000)
  • Bandidos rurales (2001)
  • Por partida doble (2001)
  • El vivo de León (2003)
  • De Ushuaia a La Quiaca (edisi semakan) (2005)
  • Por favor, perdón y gracias (2005)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]