Lif

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Satu set lif di tingkat bawah sebuah stesen London Underground. Anak panah menandakan kedudukan dan hala tuju setiap lif. Lif di kanan bersedia untuk naik, manakala lif di kiri sedang turun dari tingkat atas.

Lif ialah alat pengangkutan yang digunakan untuk menggerakkan benda atau orang secara menegak. Perkataan "lif" dalam bahasa Melayu dipetik daripada lift dalam bahasa Inggeris British; di Amerika, namanya ialah elevator. Lif dijadikan kewajipan bagi bangunan-bangunan baru mengikut undang-undang kemudahan orang berkerusi roda.

Reka bina[sunting | sunting sumber]

Mula-mulanya lif terdiri daripada pesawat angkat yang dibentuk daripada tali atau rantai. Pokoknya, sesebuah lif merupakan platform yang ditolak atau ditarik melalui kaedah mekanik. Sebuah lif moden terdiri daripada sebuah gerabak yang dipasang pada sebidang platform di dalam ruang tertutup bergelar syaf. Pada zaman dahulu, mekanisme pacuan lif dikuasakan melalui omboh hidraulik stim dan air. Dalam sebuah lif "tarikan" (traction), gerabak ditarik ke atas dengan menggulungkan tali keluli ke atas kapi beralur dalam bergelar sheave. Berat gerabak diimbangkan dengan sebuah beban pengimbang. Kadang-kala ada dua buah lif yang sentiasa segerak mengikut hala bertentangan, dan menjadikan satu sama lain sebagai beban pengimbang. Geseran antara tali dan kapi melengkapkan daya tarikan tersebut.

Lif hidraulik memakai prinsip hidraulik untuk menekan omboh di tanah untuk menaikkan atau menurunkan gerabak. Hidraulik bertali menggunakan kombinasi tali dan kuasa hidraulik untuk menggerakkan gerabak. Inovasi terkini termasuk motor magnet bumi yang kekal dan kawalan mikropemproses.

Teknologi yang digunakan untuk pemasangan baru haruslah bergantung kepada beberapa faktor. Lif hidraulik lebih murah, tetapi pemasangan silinder yang melebihi ketinggian tertentu menjadi kurang praktikal untuk syaf yang amat tinggi. Untuk bangunan yang melebihi tujuh aras, lif tarikan harus digunakan. Lif hidraulik lazimnya lebih perlahan berbanding lif tarikan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Lukisan paten lif Elisha Otis, 15 Januari 1861.

Rujukan pertama mengenai lif terdapat dalam catatan arkitek Rom purba bernama Vitruvius yang mencatat bahawa Archimedes membina lif pertamanya, barangkali pada tahun 236 SM. Dalam sesetengah sumber bertulis dari zaman sejarah yang lebih lanjut, lif disifatkan sebagai gerabak pada tali hem yang dikuasakan dengan tangan atau kuasa haiwan. Adalah dianggap bahawa jenis lif ini dipasang di dalam biara Sinai di Mesir. Pada abad ke-17 prototaip lif didapati dalam bangunan istana England dan Perancis.

Pada tahun 1793, Ivan Kulibin mencipta lif dengan mekanisme pengangkatan skru untuk Winter Palace di Saint Petersburg. Pada tahun 1816 lif tersebut didirikan dalam bangunan utama desa Arkhangelskoye berhampiran Moscow.

Pada tahun 1823, ciptaan "ascending room" muncul buat julung kalinya di London. [1] Henry Waterman dari New York mencipta lif (elevator) pada tahun 1850 bagi tujuan mengangkut tempayan berisi tepung.

Pada tahun 1853, Elisha Otis memperkenalkan lif keselamatan yang mengelakkan jatuhnya gerabak sekiranya kabel terputus. Reka bina lif keselamatan Otis agak serupa kepada sejenis lif yang masih digunakan kini. Sebuah alat pengawal imbang memasuki penggelek berabung agar menegangkan lif kepada pemandunya sekiranya lif menjunam terlalu laju.

Pada 23 Mac 1857, lif Otis yang pertama dipasang di 488 Broadway di Bandaraya New York; namun, syaf lif yang pertama sudah pun direka empat tahun sebelumnya. Pembinaan bangunan kampus Cooper Union milik Peter Cooper di New York bermula pada tahun 1853. Syaf lif itu diterapkan dalam rekaan Cooper Union kerana Cooper yakin bahawa lif penumpang yang selamat bakal dicipta. Syaf tersebut berbentuk bulat kerana Cooper berasa bahawa reka bentuk inilah yang paling cekap. Kemudian, Otis pun mereka lif khusus untuk sekolah tersebut. Kini Otis Elevator Company selaku anak syarikat United Technologies Corporation, merupakan pembuat sistem pengankutan menegak yang terbesar di dunia.

Lif elektrik pertama dibina oleh Werner von Siemens pada tahun 1880. Keselamatan dan kelajuan lif elektrik banyak dipertingkatkan oleh Frank Sprague.

Perkembangan lif diterajui oleh perlunya untuk mengangkut bahan mentah termasuk arang dan kayu balak dari hilir bukit. Teknologi yang dimajukan industri-industri ini serta pengenalan berasaskan rasuk keluli sama-sama melahirkan lif penumpang dan lif tambang masa kini.

Pada tahun 1874, J.W. Meaker mempatenkan satu kaedah yang membolehkan pintu lif untuk membuka dan menutup dengan selamat.

Pada 1929, Clarence Conrad Crispen, bersama Inclinator Company of America, mencipta lif kegunaan perumahan yang pertama. Crispen turut mencipta lif tangga condong yang pertama.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]