Masbuq

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Masbuq merujuk keadaan apabila seseorang makmum terlewat menyertai dalam solat berjemaah. Contoh: apabila seseorang makmum memasuki solat jemaah, lalu ia takbiratul-ihram dan mendapati imam sedang rukuk, maka perlu makmum mengikuti rukuk imam itu tanpa wajib menyelesaikan rukun fatihah. Dari hadis:

Dari Hasan dari Abu Bakrah, dia sampai kepada Nabi saw, ketika Nabi sedang rukuk, maka dia rukuk sebelum sampai kepada saf. Hal itu disampaikan kepada nabi, maka Nabi berkata, “Semoga Allah menambah semangatmu tetapi jangan diulangi lagi.” (H.R. Bukhari)
Sabda Rasulullah saw: "Apabila seseorang di antara kamu datang (untuk) solat sewaktu kami sujud, hendaklah ikut sujud dan janganlah kamu hitung itu satu rakat. Barangsiapa yang mendapati rukuk bersama imam, maka ia telah mendapat satu rakaat."(H.R. Abu Daud).

Dari hadis di atas, maka difahamilah bahawa orang yang mendapatkan rukuk dianggap telah mendapatkan satu rakaat, biarpun tanpa sempat menyempurnakan rukun fatihahnya.

  • Sekiranya makmum sempat mengikuti rukuk imam dengan sempurna (sekadar dapat menyentuh lutut) sebelum imam bangun untuk iktidal, dikira makmum sudah mendapat rakaat ("muwafiq"). Jika makmum tidak sempat menyempurnakan rukuk, atau makmum memasuki solat semasa imam sujud atau duduk tahiyyat dan sebagainya, maka tidaklah dikira ia mendapat rakaat itu ("masbuq").
  • Sekiranya makmum hanya sempat masbuq di tahiyyat akhir, tidaklah ia perlu membaca doa dalam tahiyyat akhir kerana doa tahiyyat itu disunatkan hanya untuk orang yang bertasyahhud akhir. Makmum yang masbuq itu juga diperbolehkan duduk iftirasy seperti di dalam rakaat kedua.
  • Setelah solat berakhir dan imam memberi salam, maka makmum itu perlulah bangun dan menyelesaikan solatnya dengan menambah rakaat yang tertinggal.
  • Jika makmum sedang takbir lalu imam memberi salam, maka makmum ditegah duduk kerana duduk itu mengikut imam. Jika makmum itu duduk dengan sengaja dan tahu akan tegahannya maka batallah sembahyang itu.
  • Dalam solat Subuh, makmum masbuq mestilah berqunut sekali lagi untuk dirinya di rakaat keduanya meskipun ia telah berqunut bersama imam di awal sembahyang tadi.
  • Dalam solat Jumaat pula, sekiranya makmum sempat mendapat rakaat kedua dengan ia sempat rukuk bersama imam, maka dikira ia mendapat solat Jumaat itu, dan makmum itu hanya perlu menyelesaikan jumlah dua rakaat sahaja. Tetapi, sekiranya makmum tidak sempat rukuk dalam rakaat terakhir solat Jumaat, maka ia dikira solat Zohor dan perlulah menyempurnakan jumlah empat rakaat.