Rukun solat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sebahagian daripada siri
Fiqh Islam

(suatu disiplin kajian Islam)

Bidang-bidang
Bersolat di masjid.

Rukun Solat adalah perkara yang sebahagian daripada solat dan bergantung kepadanya sah solat itu. Solat secara amnya mempunyai tiga belas rukun yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu rukun qalbi, fi'li dan qauli.

Kategori rukun[sunting | sunting sumber]

  • Rukun qalbi (ﻗﻠﺒﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻠﺐ - qalb bermaksud hati) adalah rukun yang berasaskan kepada hati.
  • Rukun fi'li (ﻓﻌﻠﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻓﻌﻞ - fi'l bermaksud perlakuan) adalah rukun yang berasaskan kepada perbuatan anggota badan. Pergerakan anggota badan atau tindakan tubuh itu memerihalkan rukun tersebut.
  • Rukun qauli (ﻗﻮﻟﻲ - iaitu berasal daripada perkataan ﻗﻮﻝ - qaul bermaksud kata-kata) adalah rukun yang berasaskan kepada sebutan dan bacaan.
No. Rukun Kategori No. Rukun Kategori
1 Niat Qalbi 8 Duduk antara dua sujud Fi'li
2 Berdiri betul Fi'li 9 Duduk tahiyat Akhir Fi'li
3 Takbiratul ihram Qauli 10 Bacaan tahiyat akhir Qauli
4 Membaca al-Fatihah Qauli 11 Selawat ke atas nabi dalam tahiyat akhir Qauli
5 Rukuk Fi'li 12 Salam Qauli
6 I'tidal Fi'li 13 Tertib Qalbi
7 Sujud Fi'li

Rukun-rukun[sunting | sunting sumber]

Niat[sunting | sunting sumber]

Niat dalam solat merupakan rukun qalbi tetapi turut termasuk dalam rukun fi'li (lihat Takbiratul ihram). Niat solat mempunyai tiga bahagian yang disyaratkan dalam solat fardhu tetapi hanya dua sahaja bagi solat sunat manakala untuk solat sunat mutlak (tiada sebab dan bila-bila masa), hanya satu daripadanya disyaratkan.

Bahagian niat mempunyai tiga bahagian iaitu:

  1. Qasad (ﻗﺼﺪ) - Sengaja mengerjakan solat
  2. Ta'arudh (ﺗﻌﺮﺽ) - Meniatkan solat fardhu atau sunat
  3. Ta'yiin (ﺗﻌﻴﻴﻦ) - Meniatkan jenis waktu solat

Untuk melihat bahagian-bahagian yang diaplikasikan dalam niat solat, berikut adalah contoh:

Solat fardhu:


ﺍﺼﻠﻰ ﻓﺮﺽ ﺍﻟﻈﻬﺮ ﺃﺩﺍﺀ ﻟﻠﻪ ﺗﻌﻠﻰ
(selaras dengan prinsip) fardhu Zuhur tunai kerana Allah Ta'ala

Niat Makna Bahagian
ﺍﺼﻠﻰ selaras dengan prinsip Qasad
ﻓﺮﺽ Fardhu Ta'arudh
ﺍﻟﻈﻬﺮ Zuhur Ta'yiin


Solat sunat:


ﺍﺼﻠﻰ ﺳﻨﺔ ﺍﻟﻀﺤﻰ ﺭﻛﻌﺘﻴﻦ ﻟﻠﻪ ﺗﻌﻠﻰ
Sahaja aku solat sunat Dhuha dua rakaat kerana Allah Ta'ala

Niat Makna Bahagian
ﺍﺼﻠﻰ Sahaja aku solat Qasad
ﺍﻟﻀﺤﻰ Dhuha Ta'yiin


Solat sunat mutlak:


ﺍﺼﻠﻰ ﺳﻨﺔ ﺭﻛﻌﺘﻴﻦ ﻟﻠﻪ ﺗﻌﻠﻰ
Sahaja aku solat sunat dua rakaat kerana Allah Ta'ala

Niat Makna Bahagian
ﺍﺼﻠﻰ Sahaja aku solat Qasad

Berdiri betul[sunting | sunting sumber]

Berdiri betul atau berdiri tegak adalah diwajibkan dalam solat bagi mereka yang berupaya untuk beridiri tegak. Bagi yang tidak upaya, rukhsah atau kelonggaran diberikan untuk mereka sama ada untuk solat dalam keadaan duduk (hanya jika tidak mampu berdiri), mengiring pada rusuk kanan sambil mengadap kiblat (hanya jika tidak mampu berdiri dan duduk), atau jika tidak mampu berdiri, duduk mahupun mengiring, orang yang ingin mengerjakan solat itu dibenarkan baring menelentang dengan kaki dan perut dihalakan ke kiblat.

Syarat bagi rukun ini hendaklah ditegakkan tulang belakangnya dan tidak bleh bongkok ke depan atau ke belakang (jika mampu).

Takbiratul ihram[sunting | sunting sumber]

Takbiratul ihram (ﺗﻜﺒﻴﺮﺓ ﺍﻹﺣﺮﺍﻡ) ialah perbuatan yang menyempadani solat dengan perlakuan di luar solat. Takbiratul ihram menandakan bermulanya satu perjalanan solat itu sehingga rukun terakhir iaitu salam nanti. Disebabkan dinamakan rukun ini takbir ialah kerana sebutan takbir iaitu Allahu Akbar (الله أكبر) adalah wajib bagi mereka yang boleh menuturkannya. Bagi mereka yang tidak boleh menuturkannya ataupun tidak dapat mempelajarinya, dia diharuskan untuk menyebutnya dengan terjemahan dalam bahasa yang lain. Rukun ini diwajibkan untuk disertai dengan niatnya dan disunatkan untuk mengangkat kedua-dua tangan hingga ke paras bahu. Muqaranah (ﻣﻘﺎﺭﻧﻪ) atau penyertaan niat takbiratul ihram mempunyai dua bahagian iaitu:

  • Muqaranah Urfiyyah ( ﻣﻘﺎﺭﻧﻪ ﻋﺭﻓﻴﻪ ) - Menyertai niat kepada sebahagian daripada takbiratul ihram iaitu berniat ketika mula ataupun akhir bahagian takbiratul ihram
  • Muqaranah Haqiqah ( ﻣﻘﺎﺭﻧﻪ ﺣﻘﻴﻘﺔ ) - Menyertai niat kepada keseluruhan takbiratul ihram iaitu berniat dari mula sehingga akhir takbiratul ihram


Bagi kebanyakan orang awam, adalah lebih mudah mengerjakan muqaranah urfiyyah kerana muqaranah haqiqah mudah dihinggapi rasa syak atau was-was kerana penyertaan niat mengambil masa keseluruhan takbiratul ihram itu. Adalah disunatkan untuk membaca doa iftitah atau tawajjuh selepas takbiratul ihram.

Di namakan Takbiratul Ihram kerana dengan melakukannya, kita mengharamkan ke atas diri kita perlakuan yang akan membatalkan solat. Sebagai contoh, pada kebiasaannya bercakap sesama manusia adalah halal. Akan tetapi, bercakap dalam solat akan membatalkan solat. Maka,apabila kita membuat Takbiratul Ihram sebagai tanda memulakan solat, bercakap adalah satu halangan untuk kita selagi mana kita masih mengerjakan solat. Seperti dalam Haji, apabila kita memakai Ihram, kita diharamkan melakukan beberapa perkara yang pada kebiasaannya adalah halal bagi kita.

Membaca Surah al-Fatihah[sunting | sunting sumber]

Dalam solat, Surah Al-Fatihah merupakan satu-satunya surah yang diwajibkan. Surah ini wajib dibaca pada setiap rakaat dan bacaannya hendaklah tertib mengikut susunan ayat yang betul dan hendaklah dijaga tajwidnya. Bacaan basmalah diwajibkan kerana ayat itu juga sebahagian daripada surah berbanding isti'azah yang tidak diwajibkan.

Setiap ayat surah ini wajib dibaca secara berturutan dan tidak diselangi oleh apa-apa perbuatan ataupun ayat yang lain mahupun diam yang agak lama yang cukup untuk memutuskan bacaan al-Fatihah itu.

Bagi mereka yang tidak tahu atau tidak berupaya untuk membacanya dengan sempurna kerana baru memeluk agama Islam, maka hendaklah dia membaca tujuh ayat Quran yang berturutan atau tujuh ayat yang tidak berturutan (atau berasingan) yang tidak kurang bilangan huruf dalam al-Fatihah. Jika masih tidak mampu membaca mana-mana ayat Quran, dia dikehendaki membaca zikir yang sama bilangan hurufnya dengan huruf Fatihah. Jika masih tidak mampu, hendaklah sekadar diam pada jarak masa bacaan Fatihah itu sendiri.

Bilangan ayat dalam surah al-Fatihah ialah tujuh ayat yang kesemuanya mempunyai dua puluh lima perkataan bersama bilangan huruf sebanyak 156 huruf. Maka, zikir yang diriwayatkan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w. digunakan bagi menggantikan bacaan untuk orang yang tidak berupaya atau tidak tahu membaca ayat Quran.


ﺳﺒﺤﺎﻥ ﺍﷲ − ﻭﺍﻟﺤﻤﺪ ﷲ − ﻭﻻ ﺇﻟﻪ ﺇﻻ ﺍﷲ − ﻭﺍﷲ ﺃﻛﺒﺮ − ﻭﻻﺣﻭﻻ ﻭﻻ ﻗﻮﺓ ﺇﻻ ﺑﺎﷲ − ﻣﺎﺷﺎﺀ ﺍﷲ ﻛﺎﻥ − ﻭﻣﺎﻟﻢ ﻳﺸﺎﺀ ﻟﻢ ﻳﻜﻦ Subhanallah - Walhamdulillah - Wa la ilaha illallah - Wallahu akbar - Wa la haula wala quwata illa billah - Ma sya Allahu kana - Wa maa lam yashaa u lam yakun


Ayat tersebut hendaklah dibaca dua kali untuk menyamai bilangan huruf surah al-Fatihah.

Rukuk[sunting | sunting sumber]

Perbuatan rukuk adalah membongkok ke hadapan dengan sekurang-kurangnya hingga tapak tangannya mencapai ke lutut. Rukuk yang sempurna ialah menyamakan belakangnya dan tengkuknya pada satu garis lurus dan meluruskan kakinya (iaitu betis dan peha) dan memegang kedua lututnya dengan menjarangkan antara jari-jari tangan. Bagi mereka yang solat secara duduk, memadai rukuk itu dengan membongkok ke hadapan hingga dahinya selari dengan kepala lututnya. Untuk lebih sempurna bagi solat duduk, rukuknya adalah membongkok ke hadapan hingga dahinya selari dengan tempat sujud.

Rukuk adalah salah satu rukun yang disertakan dengan Tama'ninah. Tama'ninah dalam rukuk adalah dalam keadaan tetap semua anggota badannya hingga cukup masa untuk membezakan perlakuan membongkok dan bangun daripadanya.

I'tidal[sunting | sunting sumber]

I'tidal adalah kembali daripada keadaan rukuk kepada berdiri tegak iaitu keadaan asal ketika solat. Jika keadaan asalnya ialah duduk menegak, maka hendaklah orang itu kembali duduk menegak. Tama'ninah turut disertakan dalam perbuatan i'tidal. Maka, untuk melengkapkan i'tidal, hendaklah tama'ninah dengan menetapkan anggota badan pada keadaan sebelum rukuk dalam masa yang cukup untuk membezakan keadaan selepas bangun dari rukuk sebelum turun untuk sujud.

Sujud[sunting | sunting sumber]

Sujud

Sujud adalah satu perbuatan yang amat menunjukkan kerendahan diri manusia terutama di dalam solat. Setiap rakaat (atau satu rukuk) adalah diwajibkan dengan dua kali sujud.

Sujud adalah memadai dengan sekurang-kurangnya bersentuhan dahi dengan tempat solat. Lebih elok atau lengkap lagi, hendaklah ketujuh-tujuh anggota sujud kena atau bersentuhan dengan tempat solat iaitu dahi, dua tapak tangan (setiap muka tapak tangan dan jari-jarinya), dua lutut dan dua tapak kakinya (iaitu muka hujung jari-jari kakinya). Wajib menekan sedikit dahi di tempat sujud untuk lebih tetap keadannya. Keadaan yang sempurna untuk turun bersujud adalah dengan meletakkan kedua-dua lutut dahulu dan diikuti dengan tapak tangan lalu dahi ditetapkan di tempat sujud.

Adalah sunat untuk menghalakan kesemua jari ke arah kiblat Bagi lelaki, disunatkan juga meregangkan kedua lutut dan dua tapak kaki, menjarakkan perut daripada peha dan menjauhkan sedikit siku daripada rusuk. Bagi perempuan pula, sunat untuk merapatkan kedua-dua lutut dan kaki, merapatkan perut dengan peha dan siku ke rusuk.

Wajib tama'ninah pada sujud iaitu tetap seluruh anggota badan dalam keadaan sujud untuk satu jangka masa yang cukup untuk membezakan perbuatan turun dan naik daripada sujud. Sujud itu tidak sah jika sujud di atas tempat yang boleh bergerak jika orang itu bergerak seperti tilam.

Duduk antara dua sujud[sunting | sunting sumber]

Duduk antara dua sujud adalah perlakuan yang memisahkan antara dua kali sujud. Tidak sesuai untuk terus berdiri sebelum sujud semula, maka keadaan duduk adalah logik. Adalah sunat untuk duduk iftirasy (iaitu duduk di atas tapak kaki kiri serta menegakkan (atau berdirikan) tapak kaki kanan. Sunat juga meletakkan dua tangan berhampiran lutut serta menjarakkan setiap jari tetapi tidak mengapa untuk meletakkan jari di atas lutut. Perlakuan duduk antara dua sujud ini menjadi makruh jika terlalu lama kerana ia memisahkan perlakuan kedua-dua sujud. Walau bagaimanapun, tama'ninah turut disertakan bagi rukun ini.

Duduk tahiyat akhir[sunting | sunting sumber]

Duduk ketika membaca tahiyat akhir adalah jelas bahawa tahiyat akhir hendaklah dibaca ketika keadaan duduk, bukan berdiri. Disunatkan duduk secara tawaruk iaitu duduk dengan menghulurkan kaki kiri ke kanan dan merapatkan punggung ke lantai. Keadaan ini berterusan ketika membaca selawat dan salam.

Membaca tahiyat akhir[sunting | sunting sumber]

Rukun ini dinamakan tahiyyat (penghormatan) atau tasyahud (penyaksian) kerana bacaan yang dilafazkan terdiri daripada keduanya. Berikut adalah bacaan bersama bahagian tahiyat. Bacaan tersebut hendaklah disambung dengan bacaan selawat kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Bacaan Sebutan Makna
Penghormatan dan kesejahteraan ﺃﻟﺘﺤﻴﺎﺕ ﺍﻟﻤﺒﺎﺭﻛﺎﺕ ﺍﻟﺼﻠﻮﺍﺕ ﺍﻟﻄﻴﺒﺎﺕ ﷲ At-tahiyyatul mubarakatus solawatut toyyibatu lillah Segala kehormatan, keberkatan, shalawat, dan kebaikan adalah milik Allah
ﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻴﻚ ﺃﻳﻬﺎ ﺍﻟﻨﺒﻲ ﻭﺭﺣﻤﺔ ﷲ ﻭﺑﺮﻛﺎﺗﻪ As-salamu 'alaika ayyuhannabiyu warahmatullahi wabarakatuh Semoga keselamatan bersama engkau wahai Nabi, dan juga rahmat Allah dan barakahnya
ﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻴﻨﺎ ﻭﻋﻠﻰ ﻋﺒﺎﺩ ﺍﷲ ﺍﻟﺼﺎﻟﺤﻴﻦ As-salamu 'alaina wa 'ala 'ibadillahis solihin Semoga keselamatan menyertai kami dan sekalian hamba-hamba Allah yang saleh.
Penyaksian (Syahadah) ﺃﺷﻬﺪ ﺃﻥ ﻻ ﺇﻟﻪ ﺇﻻ ﺍﷲ Asyhadu anl laa ilaaha ilallah Aku bersumpah/bersaksi bahawa tiada tuhan (atau sembahan) selain Allah
ﻭﺃﺷﻬﺪ ﺃﻥ ﻣﺤﻤﺪﺍ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ Wa asyhadu anna Muhammadar rasulullah Dan aku bersumpah/bersaksi bahawa Muhammad pesuruh Allah

Selawat kepada nabi dalam tahiyat akhir[sunting | sunting sumber]

Bacaan Sebutan Makna
Selawat kepada nabi
Muhammad dan keluarga
ﺍﻟﻠﻬﻢ ﺻﻞ ﻋﻠﻰ ﻣﺤﻤﺪ Allahumma salli 'ala Muhammad Ya Allah, berikanlah selawat kepada Muhammad
ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻝ ﻣﺤﻤﺪ Wa'ala aali Muhammad Dan kepada keluarga Muhammad
ﻛﻤﺎ ﺻﻠﻴﺖ ﻋﻠﻰ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ Kama solaita 'ala Ibrahim Sebagaimana Engkau memberikan selawat kepada Ibrahim
ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻝ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ Wa'ala aali Ibrahim Dan kepada keluarga Ibrahim
Keberkatan kepada nabi
Muhammad dan keluarga
ﻭﺑﺎﺭﻙ ﻋﻠﻰ ﻣﺤﻤﺪ Wa baarik 'ala Muhammad Ya Dan Engkau berikanlah keberkatan kepada Muhammad
ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻝ ﻣﺤﻤﺪ Wa'ala aali Muhammad Dan kepada keluarga Muhammad
ﻛﻤﺎ ﺑﺎﺭﻛﺘﺎ ﻋﻠﻰ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ Kama barakta 'ala Ibrahim Sebagaimana Engkau memberikan keberkatan kepada Ibrahim
ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻝ ﺇﺑﺮﺍﻫﻴﻢ ﻓﻲ ﺍﻟﻌﺎﻟﻤﻴﻦ Wa'ala aali Ibrahim fil 'alamin Dan kepada keluarga Ibrahim dalam dunia ini
Penutup
(Pujian bagi Allah)
ﺇﻧﻚ ﺣﻤﻴﺪ ﻣﺠﻴﺪ Innaka hamiidum majiid Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Tinggi

Salam[sunting | sunting sumber]

Ucapan atau lafaz salam adalah sebahagian daripada rukun solat. Sekurang-kurangnya, lafaz salam itu ialah assalamualaikum (السلام عليكم)"- "sejahtera kepada kamu semua") tetapi untuk lebih sempurna, ucapannya ialah assalamualaikum warahmatullah (السلام علبكم ورحمة الله) - "sejahtera kepada kamu semua dan semoga dirahmati Tuhan"). Adalah disunatkan untuk memberi salam sebanyak dua kali dan sunat juga untuk menoleh ke kanan dahulu bagi salam yang pertama dan ke kiri bagi salam yang kedua. Turut disunatkan juga kedua-dua salam itu tidak disekalikan iaitu ada pengasingan antara kedua-duanya.

Tertib[sunting | sunting sumber]

Tertib adalah rukun yang merangkumi keseluruhan rukun solat iaitu memastikan segala perlakuan rukun berada pada turutan yang betul satu demi satu dan yang mana dahulu didahulukan serta yang kemudian dilakukan kemudian, jika tidak solat itu akan terbatal.

Nota: Tertib boleh ditakrifkan sebagai mendahulukan yang dahulu, mengkemudiankan yang kemudian.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]