Moped

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Honda Hobbit PA 50/Camino (untuk pasaran Eropah)

Moped merupakan sejenis motosikal berkuasa rendah yang direka sebagai alat pengangkutan yang ekonomik dan selamat dengan keperluan pelesenan yang minima. Asalnya moped dilengkapi injak kaki (pedal) yang menyerupai injak basikal (yang menjadi asal-usul istilah moped iaitu motor-pedal), tetapi kemudian moped merujuk kepada motosikal berkuasa rendah tanpa injak, berasaskan had yang dikenakan pada sesaran enjin, kelajuan dan/atau kuasa kuda enjin. Moped ada kalanya menyerupai basikal berenjin, tetapi kini moped menggunakan reka bentuk kerangka "step-through" ataupun kerangka "step-over" yang menyerupai motosikal biasa. Sesetengah negara turut mengklasifikasikan motosikal tiga roda atau empat roda berkuasa rendah sebagai moped.

Di kebanyakan negara, had umur bagi memiliki lesen moped adalah lebih rendah daripada lesen memandu untuk motosikal dan kereta. Selalunya kelajuan maksimum moped dihadkan kepada 50 km/j dengan sesaran enjin maksimum 50 cc.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Model tahun 1912 Douglas ini mempunyai rantai pacuan moden tetapi turut dilengkapi injak kaki.

Istilah "moped" kini dihadkan kepada motosikal berkuasa rendah, tetapi asalnya moped dipasang pada motosikal model terawal, contohnya model Douglas dalam gambar di sebelah. Menghidupkan enjin dengan mengayuh adalah penambahbaikan daripada kaedah "lari dan lompat", malah bantuan kayuhan ringan turut membantu ketika mendaki bukit. Sistem transmisi yang lebih baik dengan banjaran gear yang lebih luas, klac yang lebih baik serta prestasi enjin yang bertambah baik telah menjadikan injak kaki sebagai ketinggalan zaman.

Model moped terawal merupakan basikal yang dipasang enjin bantuan pada pelbagai lokasi, seperti pada roda hadapan atau belakang. Contohnya, moped VéloSoleX seperti gambar di bawah menggunakan penggelek bagi memacu roda hadapan.

Reka bentuk yang lebih inovatif dikenali di UK sebagai Cyclemaster. Ia menggunakan roda belakang yang digerakkan sepenuhnya oleh enjin, yang berasal dari reka bentuk oleh dua jurutera DKW dari Jerman. Sementara itu bagi sesetengah moped seperti motosikal Jawa keluaran Republik Czech berasal daripada reka bentuk motosikal biasa.

Terdapat juga kategori pelesenan khas bagi basikal dengan enjin bantuan, dikenali sebagai basikal berenjin. Ada juga penguatkuasaan yang mengklasifikasikan jentera yang sama sebagai moped, yang mengakibatkan kekeliruan. Di kebanyakan negara, motosikal roda tida serta kereta kecil turut diklasifikasikan sebagai moped. Amalan ini tidak terhad kepada negara dunia ketiga; negara-negara seperti Perancis dan Belgium kereta mikro seperti Aixam atau yang serupa dengannya sebagai "motosikal beroda empat ringan".[1]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Moped asal – basikal berenjin.

Istilah moped mula direka oleh wartawan Sweden Harald Nielsen pada tahun 1952, sebagai kependekan bagi motor dan pedal. Ada juga yang mendakwa istilah tersebut berasal dari "motorvelociped", memandangkan "Velocipede" merupakan istilah lapuk bagi basikal yang masih digunakan dalam sesetengah bahasa seperti Bahasa Rusia.[2]

Istilah lain yang digunakan pada motosikal berkuasa rendah termasuklah basikal berenjin dan basikal bermotor.

Keselamatan moped[sunting | sunting sumber]

Kaedah tunggangan moped yang selamat secara amnya adalah sama seperti motosikal biasa tetapi dengan kelajuan yang lebih rendah. Ancaman terbesar kepada penunggang moped adalah apabila pemandu lain tidak dapat melihat kehadiran moped; penggunaan pakaian berwarna terang serta pemantul cahaya dapat membantu.[3] Selain itu, moped selalunya tidak dibenarkan untuk digunakan di lebuh raya kerana risiko dilanggar dari arah belakang akibat kelajuan yang terlalu rendah.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Legislation, Aixam.com, diperoleh pada 2009-03-31 
  2. "Moped - inget teleskopord". Dagens Nyheter (dalam bahasa Swedish). 2006-01-15. Diperoleh pada 2007-06-01. 
  3. "Moped Survival Guide—Urban Two-Wheeled Warfare". Moped Army. Diperoleh pada 2007-06-01. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]