Motosikal

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Motosikal adalah sejenis kenderaan berodua dua yang berenjin serta boleh dilesenkan untuk digunakan di atas jalan raya. Sebuah motosikal berupaya membawa seorang penunggang serta seorang pembonceng. Motosikal lazimnya digerakkan oleh enjin petrol kecil sama ada 2 lejang atau 4 lejang dengan kapasiti enjin antara 50 cc sehingga sebesar 2000 cc. Kebanyakan motosikal mempunyai tangki minyak berbentuk air mata di bahagian atas hadapan motosikal antara bar pemegang dan tempat duduk penunggang, tetapi motosikal jenis skuter dan kapcai pula mempunyai tangki minyak di bawah tempat duduk.

Motosikal bergerak berasaskan hukum giroskopik sebagaimana basikal. Melalui hukum ini, motosikal hanya akan tegak apabila bergerak. Ketika di selekoh, daya emparan yang terhasil akan menjejaskan kestabilan motosikal, oleh itu penunggang perlu menunggang condong sedikit mengikut arah selekoh bagi mengimbangi daya emparan tersebut.

Selain kestabilan, kelemahan utama motosikal ialah tiada perlindungan terhadap cuaca buruk serta penunggang motosikal amat mudah terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya. Sungguhpun demikian, motosikal adalah satu bentuk pengangkutan yang tetap diminati oleh sebahagian pengguna jalan raya kerana menjimatkan bahan api, murah, mudah dimiliki serta penunggang boleh mencelah ketika jalan raya sesak.

Jenis motosikal[sunting | sunting sumber]

Motosikal pada lazimnya boleh dibahagikan kepada beberapa jenis seperti berikut:-

Motosikal Yamaha YZF-R1.
Motosikal Honda Gold Wing.
Motosikal Harley-Davidson Electra Gilde.
  • Motosikal sport - Motosikal sport lazimnya menggunakan enjin DOHC berkuasa tinggi antara serendah 50 cc 2 lejang hingga sebesar lebih 1400 cc 4 lejang. Kerangkanya direka dengan kukuh dan tegar agar dapat menampung kuasa enjin serta kelajuan yang tinggi, dan lazimnya kerangka superbike adalah dari jenis aluminium spar berkembar. Tempat duduk serta bar pemegang motosikal superbike dibuat rendah untuk merendahkan tapak graviti agar motosikal menjadi stabil pada kelajuan tinggi. Motosikal sport secara lazimnya mampu mencapai kelajuan tinggi, oleh itu motosikal sport sering digunakan di dalam perlumbaan. Motosikal sport lazimnya dibahagikan kepada beberapa kategori seperti hyper sport (1100 - 1400 cc), superbike (800 - 1100 cc), super sport (600 - 800 cc) dan motosikal sport kecil (50 - 400 cc).
  • Sports touring - Motosikal jenis sports touring mempunyai bentuk fizikal yang hampir sama dengan motosikal superbike, tetapi beberapa perubahan dilakukan untuk memberi keselesaan kepada penunggang semasa perjalanan jauh. Tempat duduk serta bar pemegang ditinggikan untuk memberi keselesaan. Enjin juga ditala agar lebih menjimatkan bahan api.
  • Cruiser - Motosikal cruiser direka untuk perjalanan jauh. Biasanya enjin bagi sebuah motosikal cruiser mempunyai putaran enjin yang rendah, oleh itu enjin cruiser mempunyai kilasan yang tinggi tetapi kuasa kuda yang tidak begitu tinggi, oleh itu motosikal cruiser menjimatkan bahan api.
  • American cruiser / Chopper - Motosikal chopper adalah sejenis motosikal cruiser yang paling digemari di Amerika Syarikat. Motosikal chopper mempunyai bar pemegang yang tinggi, tempat duduk rendah, roda belakang yang jauh lebih besar daripada roda hadapan, pemijak kaki hadapan yang terletak jauh di bahagian hadapan serta digerakkan oleh enjin V berkembar sejukan udara. Secara amnya, motosikal chopper adalah berasaskan rekabentuk model-model motosikal Harley-Davidson.
  • Naked - Motosikal naked mendapat gelaran sedemikian kerana motosikal jenis sebegini menampakkan enjinnya serta tidak mempunyai fairing. Sifat enjinnya serta pengendaliannya adalah sama dengan motosikal sports touring.
  • Motocross / off-road - Motosikal jenis motocross direka untuk digunakan di luar jalan raya iaitu di jalan tanah merah yang tidak rata. Motosikal motocross mempunyai tempat duduk dan hendal yang tinggi, roda berjejari besar serta sistem suspensinya adalah keras dan mempunyai gerakan yang besar untuk menyerap daya hentakan di jalan tanah merah yang tentunya lebih kuat berbanding di jalan raya. Tayar motosikal motocross juga mempunyai bunga yang banyak bagi mengukuhkan cengkaman di jalan tanah merah.
  • Dual-purpose - Motosikal dwikegunaan ini mempunyai bentuk fizikal yang sama seperti motosikal motocross tetapi dipadankan agar selesa digunakan di atas jalan raya biasa.
  • Skuter - Motosikal skuter lazimnya ditenagai enjin kecil antara 50 cc hingga 150 cc, tetapi terdapat model-model skuter besar dengan kapasiti antara 250 cc hingga 900 cc. Motosikal skuter amat popular di Eropah kerana menjimatkan minyak serta mudah dikendalikan. Enjin skuter lazimnya terletak di bahagian bawah tengah dan lazimnya terdiri daripada enjin 1 silinder untuk meninggikan kilasan. Model-model skuter terawal menggunakan transmisi manual, tetapi hampir semua model skuter terkini menggunakan transmisi automatik CVT. Tangki minyak skuter kecil terletak di bawah tempat duduk, tetapi tangki minyak skuter besar pula terletak di bahagian hadapan. Skuter moden pada hari ini mempunyai ruang simpanan barang di bawah tempat duduk. Motosikal skuter direka berasaskan model skuter Piaggio Vespa.
  • Kapcai - Motosikal kapcai adalah model motosikal kecil yang amat popular di Asia berikutan kadar penggunaan bahan api yang rendah. Motosikal kapcai juga terdapat di Eropah, tetapi ia juga dipanggil skuter di sana. Motosikal kapcai digerakkan oleh enjin kecil antara 50 cc hingga 125 cc, oleh itu motosikal skuter amat menjimatkan bahan api dengan kadar penggunaan petrol serendah antara 38 km/L hingga lebih 50 km/L. Kebanyakan motosikal kapcai menggunakan transmisi manual tetapi menggunakan klac emparan automatik untuk memudahkan penunggang menukar gear tanpa menghadapi masalah enjin hampir mati kerana kurang cekap menggunakan klac manual. Seperti skuter, tangki minyak motosikal kapcai terletak di bawah tempat duduk. Motosikal kapcai direka berasaskan model Honda Cub.tetapi tahap keselamatan motosikal kapcai adalah rendah berbanding motosikal yang lebih besar.

Motosikal juga boleh dipasang dengan tempat duduk sisi (sidecar), malah ada gerai bergerak yang dipasang bersama-sama motosikal bagi membolehkannya diangkut ke mana sahaja.

Enjin[sunting | sunting sumber]

Semua motosikal menggunakan enjin petrol sama ada 4 lejang atau 2 lejang dengan kapasiti antara 50 cc hingga melebihi 1000 cc. Motosikal kecil seperti skuter dan kapcai menggunakan karburetor bagi mencampurkan petrol dan udara, tetapi kebanyakan motosikal yang lebih besar pula menggunakan sistem suntikan bahan api. Kawalan terhadap kelajuan enjin motosikal dilakukan dengan memulas genggam pendikit. Motosikal terdahulu menggunakan sistem magneto dengan poin sesentuh, tetapi semua model motosikal yang dikeluarkan sekarang menggunakan sistem penyalaan elektronik.

Dahulunya, semua jenis motosikal menggunakan penghidup tendang bagi menghidupkan enjin tetapi motosikal yang lebih besar mula menggunakan penghidup elektrik sejak pertengahan 1970an. Kini, penghidup tendang hanya digunakan pada motosikal yang lebih kecil sahaja.

Transmisi[sunting | sunting sumber]

Sistem transmisi bagi motosikal disepadukan dengan enjin. Tidak seperti kenderaan lain di mana enjin dan transmisi adalah 2 unit yang berasingan, sistem transmisi bagi motosikal terletak di kotak engkol enjin. Kebanyakan motosikal menggunakan transmisi manual berjujukan, di mana penunggang perlu menggerakkan tuas penukar gear ke atas atau ke bawah menggunakan kaki kiri. Skuter pula menggunakan sistem transmisi automatik CVT (transmisi boleh ubah berterusan) yang menggunakan tali sawat tanpa perlu terkial-kial menukar gear. Motosikal kapcai pula menggunakan klac emparan automatik bagi membolehkan penunggang menukar gear dengan mudah tanpa perlu menghadapi masalah enjin hampir mati akibat masalah kurang cekap menggunakan klac.

Kebanyakan motosikal menggunakan rantai bagi memindahkan kuasa dari sistem transmisi ke roda belakang, tetapi terdapat beberapa jenis motosikal yang menggunakan tali sawat atau aci pacu bagi pemindahan kuasa.

Brek[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan motosikal model terkini menggunakan brek cakera pada motosikal mereka untuk memperoleh kuasa membrek yang cukup kuat. Lazimnya, cakera brek hadapan adalah lebih besar, dan motosikal superbike menggunakan brek cakera berkembar bertujuan untuk kuasa membrek yang lebih kuat di bahagian hadapan kerana sebahagian besar daya yang terhasil daripada pecutan serta berat motosikal lebih tertumpu di bahagian hadapan.

Motosikal kapcai dan skuter pula menggunakan brek gelendong pada roda belakang dan brek cakera pada roda hadapan, tetapi sesetengah model kapcai menggunakan brek gelendong sepenuhnya bagi menjimatkan kos pengeluaran.

Teknologi motosikal[sunting | sunting sumber]

  • Klac automatik emparan - Klac yang akan beroperasi secara automatik hasil daripada daya emparan yang dihasilkan oleh enjin. Sekiranya kelajuan enjin melebihi kelajuan melahu, daya emparan yang terhasil akan meningkat, menyebabkan pemberat emparan mencangkuk pada gigi klac emparan dan kuasa dapat dipindahkan ke sistem transmisi. Teknologi ini digunakan pada motosikal kapcai dan skuter.
  • Transmisi manual berjujukan - Sistem transmisi sebegini membolehkan penunggang menukar gear dengan menggerakkan tuas gear ke atas atau ke bawah tanpa masalah tersalah gear serta menjimatkan ruang.
  • Transmisi automatik CVT - Sistem transmisi yang menggunakan tali sawat, takal boleh laras serta beberapa biji pengguling pemberat. Pada kelajuan rendah, kurang daya emparan terhasil, maka takal pertama mempunyai diameter yang kecil dan memberikan nisbah gear rendah. Apabila kelajuan enjin meningkat, daya emparan pada pengguling pemberat meningkat, menyebabkanpengguling pemberat tertolak keluar dan menolak plat takal pertama, menyebabkan diameter takal pertama menjadi besar, memberikan nisbah gear tinggi.
  • Enjin Genesis - Merupakan enjin yang direkabentuk oleh Yamaha bagi membolehkan tapak roda bagi motosikal berkuasa tinggi keluarannya direndahkan agar pengendalian menjadi lebih baik. Dalam enjin Genesis, aci engkol serta aci kekotak gear disusun membentuk segitiga menjadikan enjin lebih padat, berbeza dengan kebanyakan pengeluar motosikal yang menggunakan susunan tradisional berbentuk lurus.
  • Injap kuasa 2 lejang - Injap kuasa berfungsi mengubah saiz rongga ekzos bagi enjin 2 lejang bagi membolehkan kuasa ditingkatkan pada kelajuan enjin tinggi serta meningkatkan kilasan serta mengurangkan penggunaan minyak pada kelajuan rendah.
  • Pam autolube - Pam autolube membolehkan minyak pelincir 2 lejang dicampurkan bersama petrol dengan tepat. Sebelum pam autolube dicipta, pengguna motosikal 2 lejang perlu mencampurkan sendiri minyak pelincir 2 lejang di dalam tangki minyak, menyebabkan campuran pelincir yang kurang tepat. Akibatnya, enjin menjadi kejang jika kekurangan pelincir serta enjin menghasilkan asap tebal berlebihan serta mengotorkan palam pencucuh jika berlebihan pelincir.

Masalah pengendalian motosikal[sunting | sunting sumber]

Salah satu punca utama kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang motosikal adalah berpunca daripada masalah kestabilan. Masalah kestabilan ketika mengambil selekoh boleh dikurangkan dengan mengurangkan sedikit kelajuan sebelum mengambil selekoh serta mengamalkan cara betul mengambil selekoh iaitu dengan menunggang dengan condong sedikit ketika mengambil selekoh.

Masalah tayar juga boleh menjejaskan kestabilan motosikal. Masalah tayar yang pancit tanpa disedari adalah amat berbahaya dan boleh mengakibatkan motosikal hilang kestabilan serta mengakibatkan kemalangan. Oleh itu, adalah amat penting untuk memeriksa keadaan tayar sebelum menunggang motosikal.

Masalah-masalah pengendalian yang lebih serius adalah berpunca daripada galas roda yang sudah rosak, penjajaran roda yang tidak betul, sistem suspensi yang tidak seimbang, kegagalan sistem brek serta sistem kerangka yang sudah bengkok. Oleh itu, adalah amat penting bagi penunggang untuk memastikan motosikal berada dalan keadaan yang paling sempurna sebelum menggunakannya.

Perlumbaan motosikal[sunting | sunting sumber]

Sejak motosikal mula dicipta, pelbagai jenis perlumbaan yang diadakan bagi menguji kelajuan serta kuasa motosikal yang dipertaruhkan di samping kecekapan penunggang dalam mengendalikan motosikal masing-masing. Acara perlumbaan yang dijalankan adalah sama ada perlumbaan motocross yang diadakan di litar jalan tanah merah ataupun perlumbaan yang dijalankan di atas litar berturap.

Kejohanan Grand Prix Motosikal, atau MotoGP adalah siri perlumbaan motosikal yang paling penting seperti mana Formula Satu bagi perlumbaan kereta. MotoGP diadakan dalam 3 kategori iaitu MotoGP, 250 cc dan 125 cc. Satu lagi siri perlumbaan motosikal yang tidak kurang hebatnya ialah perlumbaan Superbike yang mempertaruhkan model-model superbike 1000 cc dan 600 cc.

Di Malaysia, kejohanan Malaysian Cub Prix diadakan bagi mencungkil bakat pelumba-pelumba negara di samping menyediakan satu saluran yang betul bagi golongan muda menyertai sukan bermotor untuk mengelakkan mereka melibatkan diri dalam perlumbaan haram. Perlumbaan Cub Prix terdiri daripada kategori Novice, Expert dan Wira yang menggunakan model-model motosikal kapcai.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Replika motosikal Daimler-Maybach Reitwagen.

Sejarah motosikal bermula apabila manusia cuba untuk memasang enjin pada basikal. Berikutan dengan itulah terhasilnya motosikal pertama di dunia yang digerakkan oleh enjin wap, diikuti dengan motosikal yang menggunakan enjin petrol pada akhir kurun ke-19. Sejak daripada itulah rekaan motosikal terus berevolusi mengikut zaman sehinggalah kepada model-model motosikal terkini yang dapat kita lihat pada hari ini.

Motosikal berkuasa petrol terawal dicipta oleh Gottlieb Daimler dan Wilhelm Maybach pada tahun 1885. Hanya pada tahun 1894 motosikal mula dijual kepada orang ramai dan model pertama yang dijual adalah Hildebrand & Wolfmüller buatan Jerman.

Sejarah awal motosikal bermula di benua Eropah dan Amerika Syarikat, namun pada hari ini industri motosikal sebahagian besarnya dikuasai oleh pengeluar-pengeluar dari Jepun sepertiHonda, Yamaha, Suzuki dan Kawasaki. Malaysia juga tidak ketinggalan untuk mengeluarkan motosikal sendiri melalui penubuhan Modenas pada tahun 1995.

Senarai pengeluar motosikal[sunting | sunting sumber]