Peleburan nuklear

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tiga buah reaktor di Fukushima I menjadi terlalu panas, menyebabkan peleburan teras. Ini dirumitkan oleh letupan gas hidrogen dan pengeluaran wap tercemar yang melepaskan sejumlah besar bahan radioaktif ke dalam udara.[1]
Stesen Janakuasa Nuklear Three Mile Island terdiri daripada dua buah reaktor air bertekanan, setiap satunya dalam bangunan kurungan masing-masing dan menara pendingin yang berhubungan. Unit 2 yang mengalami peleburan teras separa, terletak di latar belakang.

Peleburan nuklear (Bahasa Inggeris: nuclear meltdown) ialah gelaran untuk kemalangan reaktor nuklear parah yang mengakibatkan kerosakan teras akibat terlebih panas. Istilah ini tidak ditakrifkan secara rasmi oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa[2] Namun demikian, ia telah ditakrifkan sebagai peleburan teras reaktor nuklear secara tidak sengaja,[3] sama ada ia rosak separa atau sepenuhnya, yakni "kemalangan teras lebur" dan "teras lebur separa"[4]

Kemalangan teras lebur berlaku apabila haba yang dijana oleh reaktor nuklear melebihi haba yang disingkirkan oleh sistem pendingin pada takat yang mana sekurang-kurangnya satu unsur bahan api nuklear mencecah takat leburnya. Ini berbeza dengan kegagalan unsur bahan api yang tidak disebabkan oleh perubahan suhu. Peleburan ini mungkin diakibatkan oleh kehilangan pendingin, kehilangan tekanan pendingin, atau kadar aliran pendingin rendah atau ekskursi kegentingan yang mana reaktor itu dikendalikan pada tahap kuasa yang melebihi had yang ditetapkan oleh rekabentuknya.

Apabila unsur-unsur bahan api reaktor mulai lebur, kurungan utama pecah, maka bahan api nuklear (seperti uranium, plutonium atau torium) dan hasil pembelahan di dalam unsur-unsur tersebut (seperti cesium-137, krypton-88, atau iodine-131) boleh melarut resap ke dalam pendingin. Kerosakan selanjutnya membolehkan bahan-bahan radioisotop ini untuk memecah lapisan-lapisan kurungan yang selanjutnya. Wap superpanas dan logam panas di dalam teras boleh menyebabkan interaksi bahan api-pendingin, letupan hidrogen, atau tukul air, mana-mana sahaja daripada ini boleh memusnahkan kurungan. Peleburan ini dipandang amat berat kerana kemungkinan walau setipis mana bahawa bahan-bahan radioaktif yang panjang separuh hayatnya mampu memecah segala kurungan dan melepas ke dalam alam sekitar, mengakibatkan pencemaran dan luruhan, serta menyebabkan manusia dan haiwan yang hidup berdekatan keracunan radiasi. Jumlah bahan radioaktif yang terlepas ke dalam persekitaran akibat teras lebur ini disukat dalam becquerel atau curie.

Rujukan[sunting | sunting sumber]