Perampasan Buku Kod Enigma Dari Kapal Selam U-559

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perampasan Buku Kod Enigma Dari Kapal Selam U-559 adalah satu detik penting dalam usaha memecah kod mesej yang digunakan oleh pihak Jerman semasa Perang Dunia II. Perampasan buku kod ini membolehkan penganalisis British mentafsirkan dengan tepat mesej di antara markas Kriegsmarine dengan kapal selam. Kejayaan ini memberikan kesan besar kepada Pertempuran Atlantik dalam perang itu.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Mesin Enigma
Mesin Enigma Bersama Alat Cetaknya

Pihak Berikat mengetahui bahawa Tentera Laut Jerman Kriegsmarine menggunakan mesin kod Enigma untuk menerima dan menghantar mesej ringkas kepada markas mereka. Walaupun pihak British mempunyai 3 buah mesin Enigma yang mereka terima daripada pihak penentang Poland dalam tahun 1939, penganalisis tidak dapat memecahkan kod yang digunakan oleh Kriegsmarine dalam perhubungan mereka dengan kapal-kapal selam mereka. Untuk memecah kod, mereka memerlukan buku panduan penggunaan kod.

Kurzsignale adalah salah satu kunci penggunaan kod komunikasi Kriegsmarine. Secara amnya, ia terdiri daripada kumpulan abjad empat yang mewakili pelbagai jenis ayat lengkap dna boleh memberikan maklumat mengenai haluan, laporan pergerakan musuh, keletakan grid dan laporan cuaca. Kriegsmarine menggunakan Kurzsignale untuk mengatasi penggunaan mesin pencari arah radio frekuensi tinggi HFDF (High Frequency Direction Finding) yang digunakan oleh Tentera British.

Sistem HFDF ini membolehkan Tentera British menetapkan kedudukan kapal selam Jerman dengan cepat dan tepat. Penggunaan Kurzsignale memendekkan tempoh penyiaran mesej antara kapal selam dan markas kepada tempoh kurang satu minit, menyebabkan penguraian (degradation) keberkesanan HFDF. Wetterkurzschlussel pula adalah buku kod yang digunakan untuk melaporkan dan menerima maklumat mengenai cuaca.

Tindakan berani Fasson, Grazier dan Brown[sunting | sunting sumber]

HMS Petard
Leftenan Anthony Fasson, G.C.
Kelasi Colin Grazier, G.C.

Pada 1 Februari 1942, Tentera Laut Jerman Kriegsmarine telah memperkenalkan versi M4, versi terbaru mesin Enigma untuk kegunaan kapal-kapal selamnya menghantar dan menerima mesej yang dikodkan dengan sistem kod yang tidak dapat dinyahkodkan oleh pihak Berikat. Mesin baru ini mempunyai Umkehrwalze yang boleh diputarkan dan menggunakan satu set lapan pemutar, di mana tiga pemutar akan digunakan pada sesuatu masa untuk mengkodkan ataupun menyahkodkan mesej. Dengan lapan rotor, kombinasi rotor yang digunakan cukup untuk mengelirukan dan memutuskan harapan usaha pihak Berikat untuk menyahkod mesej-mesej berkod menggunakan mesin Enigma yang dihantar antara markas dan kapal-kapal selam Jerman.

Pada 30 Oktober 1942, 70 kilometer dari Port Said, 4 buah kapal pembinasa Tentera Laut Diraja British sedang memburu sebuah kapal selam selepas HMS Petard mengesan kapal selam tersebut menggunakan ASDIC. Selepas 16 jam memburu dan serangan menggunakan depth charge, kapal selam U-559 terpaksa timbul kerana mengalami kerosakan yang teruk pada jam 10.40 malam. Lampu suar HMS Petard menyuluh membelah malam dan mengesan kapal selam tersebut. Anak-anak kapal U-559 sedang meninggalkan kapal selam mereka.

Timbalan pegawai pemerintah HMS Petard, Leftenan Anthony Fasson terjun ke dalam laut diikuti oleh kelasi Colin Grazier dan berenang menuju ke kapal selam U-559. Tommy Brown, seorang pembantu kantin berusia 16 tahun mengikut mereka, dan diikuti oleh beberapa orang anggota lain kapal HMS Petard dalam sebuah perahu kayuh. Fasson dan Grazier masuk ke dalam kapal selam dan mendapati lampu dalam kapal selam masih berfungsi. Mereka bergerak menuju ke ruang bilik Kapten kapal selam tersebut untuk mencari mesin dan juga buku kod penggunaan Enigma.

Fasson menjumpai beberapa dokumen yang ditulis dengan sejenis dakwat yang pudar apabila terkena air. Walaupun air mencurah-curah masuk melalui dinding kapal selam yang sudah rosak, Fasson dapat menyelamatkan dokumen berkenaan dan menaiki menara pandu arah dan memberikan dokumen itu kepada Brown yang menunggu di atas menara pandu arah. Brown masuk ke dalam kapal selam sebanyak dua kali dan setiap kali membawa keluar dokumen yang tidak ternilai kepentingannya.

Fasson kembali ke ruang kawalan kapal selam untuk mengumpil keluar radio dan alat kawalan radar daripada pendakapnya, walaupun air di dalam kapal selam sudah sampai ke paras lutut. Brown kini menunggu di atas menara pandu arah dan menjerit meminta Fasson dan Grazier keluar daripada kapal selam yang sedang tenggelam. Semasa Fasson dan Grazier memanjat tangga ke menara pandu arah, kapal selam tersebut tenggelam secara tiba-tiba, membawa mereka berdua ke dasar laut.

Pemecahan Kod[sunting | sunting sumber]

Bletchley Park

Dokumen yang diperolehi daripada kapal selam U-559 dihantar ke Bletchley Park dan tiba pada 24 November 1942. Wetterkurzschlussel dan Kurzsignalheft yang diperolehi dengan pengorbanan Fasson dan Grazier memberikan kunci kod yang boleh digunakan untuk membuat penafsiran tepat mesej di antara Kriegsmarine dan kapal-kapal selam.

Pada 13 Disember, satu kumpulan huruf yang dipintas oleh penganalisis di Bletchley Park membolehkan mereka memperolehi kunci mula untuk mesin Enigma M4 di mana pemutarnya dimulakan daripada kedudukan neutral dan membolehkan penganalisis British mendapatkan kunci penggunaan mesin dan kod Enigma.

Petang itu, selepas berusaha berbulan-bulan lamanya, Pusat Risikan Operasi Admiralti menerima maklumat mengenai kedudukan lebih 12 buah kapal selam Jerman. Pintasan-pintasan seterusnya membolehkan Jabatan Admiralti memastikan kedudukan kumpulan kapal selam Jerman dan membolehkan mereka mengarahkan konvoi menukar haluan untuk mengelakkan kapal-kapal selam itu.

Berikutan ini, jumlah penenggelaman kapal pihak Berikat berkurangan separuh daripada tempoh-tempoh sebelumnya. Pengorbanan Fasson dan Grazier menyelamatkan ribuan nyawa dan berjuta tan kelengkapan perang. Sejarawan Ralph Erskine merumuskan “Hanya beberapa tindakan berani 3 orang individu boleh membawa kesan yang lebih besar daripada pengorbanan mereka bertiga”.

Anugerah Keberanian[sunting | sunting sumber]

Oleh kerana tindakan berani mereka tidak berlaku ketika bertempur dengan pihak musuh, mereka tidak dapat diberikan pertimbangan untuk anugerah Victoria Cross, tetapi Fasson dan Grazier telah dianugerahkan dengan pingat George Cross dan Brown pula diberikan anugerah George Medal.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]