Kriegsmarine

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kriegsmarine (KM)
Aktif1935–1945
Negara Jerman Nazi
CawanganWehrmacht
JenisTentera laut
Sebahagian daripadaOberkommando der Marine
PertempuranPerang Saudara Sepanyol
Perang Dunia II
Komander
Komander
terkenal
Erich Raeder
Karl Donitz
Hans-Georg von Friedeburg
Tanda kebesaran
Panji Perang (1938–1945)

Kriegsmarine (Sebutan bahasa Jerman IPA: [ˈkʁiːksmaˌʁiːnə], Marin Perang) adalah nama yang diberikan kepada Tentera Laut Jerman di antara tahun 1935 dan 1945 semasa Jerman berada di bawah pemerintahan rejim Nazi untuk menggantikan Reichsmarine.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Mengikut peruntukan Persetiaan Versailles, yang ditandatangani untuk menamatkan Perang Dunia I, Republik Weimar Jerman hanya dibenarkan mempunyai satu angkatan laut yang minimal sahaja. Keseluruhan pasukan pertahanan dikenali sebagai Reichswehr dan jumlah anggota dihadkan kepada 100,000 orang anggota yang dibahagikan kepada dua perkhidmatan iaitu Reichsheer (Tentera Darat) dan Reichsmarine (tentera laut).

Bilangan kapal dan saiz kapal angkatan lautnya dikenakan had. Jerman mengatasi pengehadan yang dikenakan dengan membina kapal-kapal jenis “pocket battleship” seperti kapal Deutschland yang dilancarkan dalam tahun 1931.

Apabila Adolf Hitler merampas tampuk pemerintahan dalam tahun 1933, dia mula tidak mengendahkan sekatan-sekatan yang ditetapkan dalam Persetiaan Versailles, dan memulakan program pelengkapan semula senjata untuk Jerman.

Perjanjian Tentera Laut Anglo-Jerman pada 18 Jun 1935 membenarkan Jerman membina satu angkatan laut bersamaan dengan 35% daripada berat tan kapal-kapal yang berkhidmat dengan Tentera Laut Diraja British dan 45% daripada berat tan kapal selam British. Kapal perang besar (battleship) dihadkan kepada 35,000 tan.

Dalam tahun 1935, Hitler menangani kelulusan undang-undang untuk menyusun semula Angkatan Pertahanan Nasional yang menubuhkan semula pasukan tentera darat (Wehrmacht) dan tentera laut yang bebas dari sekatan yang dikenakan mengikut Persetiaan Versailles. Undang-undang ini juga menubuhkan tentera udara yang baru dikenali sebagai Luftwaffe (tentera udara diharamkan penubuhannya dalam Persetiaan Versailles). Selepas undang-udnang baru ini diluluskan, Reichsmarine ditukarkan nama menjadi Kriegsmarine.

Pembesaran Di Bawah Reich Ketiga[sunting | sunting sumber]

Selepas kejayaan mereka dalam krisis tahunan 1938 kesan dari tuntutan jajahan oleh negara Jerman ke atas jirannya Czechoslovakia, Hitler tidak lagi bersedia mematuhi sekatan-sekatan ke atas angkatan lautnya seperti yang dikenakan oleh perjanjian antarabangsa.

Penglibatan perang pertama Kriegsmarine adalah semasa Perang Saudara Sepanyol (1936-1939), apabila kapal-kapal Jerman bersama-sama kapal-kapal perang British, Perancis dan Itali meronda pantai Sepanyol untuk menguatkuasakan sekatan senjata antarabangsa. Kapal-kapal Jerman meronda pantai Laut Mediterranean di antara Almería dan Valencia. Tetapi sebenarnya, kapal-kapal Jerman ini digunakan untuk membantu pejuang-pejuang Nasionalis Jeneral Francisco Franco. Sebagai pembalasan, kapal perang Deutschland dibom dan dirosakkan oleh askar-askar Republikan di Ibiza. Pihak Jerman membalas dengan membedil dan memusnahkan kedudukan pantai tentera Republikan.

Plan Z, perancangan induk program pembangunan tentera laut Jerman ditetapkan pada tahun 1938, dan menjangkakan satu angkatan laut sebanyak 800 buah kapal di dalam jangka masa 8 tahun (1939-1947), termasuk 10 buah kapal tempur, 4 buah kapal pengangkut pesawat, 12 buah kruiser tempur, 3 buah kapal berperisai (Panzerschiffe), 5 buah kruiser berat, 44 buah kruiser ringan, 158 buah kapal pembinasa dan bot torpedo dan 249 buah kapal selam. Jumlah anggota pula dijangka meningkat kepada 200,000 orang.

Tetapi perancangan pembangunan tentera laut tidak dapat dilaksanakan seperti yang dirancangkan kerana persaingan dengan tentera darat dan tentera udara mendapatkan sumber dan kewangan bagi membiayai program-program pelengkapan mereka. Oleh itu, tahap kesediaan Kriegsmarine tidak seperti yang dihajatkan apabila perang Dunia II meletus dapat tahun 1939.

Sebaliknya, pelaksanaan program pembangunan Kriegsmarine hanya dimulakan dalam bulan Januari 1939 apabila pembinaan dimulakan untuk tiga buah kapal perang besar kelas “H” dan dua buah kruiser kelas “M”. Apabila perang meletus pada 1 September 1939, Kriegsmarine hanya mempunyai 78,000 anggota dan masih belum bersedia untuk memainkan peranan penting dalam peperangan. Tetapi Hitler menjangkakan kemenangan yang cepat untuk pasukan bersenjata Jerman, dan dengan itu Plan Z dibelakangkan dan sumber yang ada difokuskan kepada pembinaan kapal selam.

Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

Semasa Perang Dunia II meletus, Kriegsmarine hanya mempunyai 11 buah kapal perang dari jenis kruiser ataupun yang lebih besar darinya, dengan 7 buah kapal yang lain dalam pembinaan. Kapal-kapal utama ini dibantu oleh 21 buah kapal pembinasa dan 57 buah kapal selam (kebanyakannya untuk operasi berhampiran pantai). Pada permulaannya, kapal-kapal perang Jerman ini mencapai kejayaan yang membanggakan walaupun ditentang oleh pasukan yang jauh lebih besar daripada Kriegsmarine.

Sepanjang Perang Dunia II, Kriegsmarine juga diberikan tanggungjawab untuk artileri pertahanan pantai dan juga artileri antikapal terbang di pelabuhan-pelabuhan besar.

Pertempuran Sungai Plate[sunting | sunting sumber]

Pertempuran Sungai Plate Melibatkan Graff Spee Dan 3 Buah Kruiser British

Pertempuran besar pertama Kriegsmarine melibatkan Pertempuran Sungai Plate dan penenggelaman kapal HMS Royal Oak dan HMS Courageous. Di samping itu, Pertempuran Atlantik melibatkan kempen oleh kapal-kapal selam Jerman untuk membantutkan penghantaran bekalan daripada Amerika Syarikat ke Britain bermula.

Pertempuran Sungai Plate pada 13 Disember 1939 merupakan pertempuran besar yang pertama berlaku di laut. Pertempuran ini melibatkan kruiser berat Admiral Graf Spee yang ditugaskan menyerang perkapalan komersial sejak tercetusnya perang dikejar dan ditentang oleh satu skuadron 3 buah kapal kruiser Tentera Laut Diraja British di muara Sungai Plate di Uruguay, Amerika Selatan. HMS Exeter, HMS Ajax and HMS Achilles ditugskan memburu dan memusnahkan Admiral Graf Spee. Dalam pertempuran yang berikut, HMS Exeter mengalami kerosakan teruk dan terpaksa berundur.

Ajax dan Achilles mengekori Admiral Graf Spee sehingga ke Montevideo, ibu negara Uruguay (negara berkecuali). Selepas dicabar untuk menyerah diri ataupun dimusnahkan apabila kembali ke laut lepas, pemerintah Admiral Graf Spee Hans Langsdorff membuat keputusan untuk melubangtenggelamkan kapalnya daripada berdepan dengan pasukan British yang disangkakannya jauh lebih besar daripada sebenarnya.

Peperangan Di Norway Dan Laut Utara[sunting | sunting sumber]

Menjelang bulan April 1940, peperangan di laut tertumpu kepada penaklukan Norway. Dalam pertempuran sekitar Norway, Kriegsmarine mengalami kehilangan kruiser berat Blücher dan 10 buah kapal pembinasa. Sebagai balasan, kapal-kapal Jerman berjaya menenggelamkan kapal induk British HMS Glorious dan beberapa kapal lain.

Tetapi kesannya lebih mendalam kepada Kreigsmarine kerana kehilangan Blücher bermakna mereka hanya mempunyai beberapa kapal perang utama untuk menjalankan Ops Sealion penaklukan Britain dalam musim panas 1940 (yang tidak dilaksanakan kerana Luftwaffe tidak dapat menundukkan Tentera Udara Diraja British semasa Pertempuran Britain.

Selepas kejatuhan Perancis, Kriegsmarine dapat menempatkan kapal selam mereka lebih dekat dengan laluan konvoi yang merentasi Atlantik Utara. Pada awalnya, konvoi-konvoi British tidak diiringi kapal-kapal pengiring yang dilengkapkan radar dan kapal selam Jerman menggunakan teknik serangan pada waktu malam secara paling berkesan, khususnya apabila malam-malam di mana cahaya bulan terang membelakangi konvoi tersebut. Tetapi Tentera Laut British lambat laun mempelajari kesilapan mereka dan menugaskan kapal jenis korvet yang dibuat khusus untuk tugas iringan konvoi.

Medan Perang Di Laut Mediterranean[sunting | sunting sumber]

Itali menyertai Jerman memerangi pihak Berikat dalam bulan Jun 1940 dan Peperangan Mediterranean bermula. Daripada bulan September 1941 hingga Mei 1941, 62 buah kapal selam Jerman dipindahkan ke Laut Mediterranean selepas berjaya melepasi sekatan British di Gibraltar.

Kapal-kapal selam Jerman di Laut Mediterranean berjaya menenggelamkan 24 kapal perang utama Tentera Berikat termasuk 12 buah kapal pembinasa, 4 buah kruiser, 2 buah kapal induk pembawa kapal perang dan sebuah kapal perang besar (HMS Barham) dan 94 buah kapal dagang. Tetapi tidak satupun daripada 62 buah kapal selam yang ditugaskan di Laut Mediterranean berjaya pulang ke Jerman pada akhir peperangan. Kesemuanya ditenggelamkan oleh tentera Berikat ataupun dilubangtenggelamkan oleh anak kapal mereka untuk mengelakkan kapal selam ditawan ole tentera Berikat.

Bismarck[sunting | sunting sumber]

Kapal Terbang Pengebom Torpedo Fairey Swordfish dan kapal HMS Ark Royal

Dalam tahun 1941, Kreigsmarine menerima 4 buah kapal perang besar moden mereka, dan mereka merasakan bersedia untuk menduga kekuatan Tentera Laut Diraja British. Kapal pertama, Bismarck berjaya menenggelamkan kapal perang British HMS Hood semasa cuba meloloskan diri daripada sekatan kapal British untuk ke Lautan Atlantik untuk membolehkannya menyerang perkapalan dagangan British.

Tetapi kejayaan Bismarck rupanya membawa padah kerana menguatkan tekad kekuatan Tentera Laut Diraja British dan keseluruhan rakyat Great Britain supaya Bismarck dimusnahkan. Bahkan, Winston Churchill sendiri memerintahkan “tenggelamkan Bismarck” (“Sink the Bismarck!”).

Kapal tempur Bismarck diburu oleh pasukan kapal perang yang jauh lebih kuat daripadanya (diiringi oleh kruiser berat Prinz Eugen dan beberapa buah kapal pembinasa). Bismarck diserang bertalu-talu oleh kapal terbang torpedo dan bedilan meriam kapal. Satu serangan oleh kapal terbang jenis Fairey Swordfish berjaya melumpuhkan sistem kawalan kemudi Bismarck . Bismarck menyuruh Prinz Eugen dan kapal pengiring yang lain melarikan diri. Bismarck diserang bertubi-tubi oleh 3 kumpulan kapal British dan akhirnya dilubangtenggelamkan oleh anak-anak kapalnya.

Peperangan Kapal Selam[sunting | sunting sumber]

Selepas Pearl Harbor dan pengisytiharan perang oleh Jerman ke atas Amerika Syarikat, Pertempuran Atlantik dilonjakkan ke tahap yang lebih merancak. Banyak kapal-kapal dagang Amerika berjaya ditenggelamkan berhampiran dengan pantai Amerika kerana Tentera Laut Amerika Syarikat tidak diberikan masa mencukupi untuk persediaan peperangan anti kapal selam dan (pada awalnya) tidak mempercayai kekesanan sistem konvoi yang digunakan oleh pihak British.

Tetapi keupayaan industri Amerika Syarikat untuk mengeluarkan kapal dagang (khususnya jenis Kapal Liberty) dan kapal-kapal perang sebagai kapal pengiring mengatasi bilangan kapal yang berjaya ditenggelamkan oleh kapal-kapal selam Jerman. Dalam tahun 1942, peperangan yang dijalankan oleh kapal-kapal selam Jerman dijalankan di semua medan peperangan, sehinggalah ke Laut Hitam (Black Sea).

Hilang Kepercayaan Hitler[sunting | sunting sumber]

Pertempuran Laut Barents merupakan detik penentuan kredibiliti Kriegsmarine. Perancangan Panglima-panglima Kriegsmarine mahu menyerang dan memusnahkan konvoi yang membekalkan Rusia. Pasukan Jerman terdiri daripada kruiser berat Admiral Hipper, kapal perang poket (pocket battleship) Lützow dengan iringan kapal-kapal pembinasa Friedrich Eckholdt, Richard Beitzen, Theodor Riedel, Z 29, Z 30, dan Z 31. Kapal-kapal ini berpangkalan di Altafjord di utara Norway dan diperintah oleh Naib Laksamana Oskar Kummetz yang menggunakan kapal Hipper sebagai kapal Laksamana.

Apabila dikesan oleh konvoi yang diburu, pemerintah konvoi memerintahkan pasukan kapal pembinasa yang menjadi kapal pengiring untuk menyerang kumpulan kapal Jerman tersebut. Walaupun ditentang oleh hanya kapal-kapal pembinasa yang jauh lebih kecil dan mempunyai kuasa tembakan yang tidak mungkin dapat menyaingi kuasa tembakan yang ada padanya, Laksamana Kummetz risaukan kehadiran 3 buah kapal kruiser Tentera Laut Diraja British yang ada berhampiran situ. Kummetz yakin bahawa kruiser British itu pasti sedang menuju kumpulannya, dan mengarahkan pasukannya berundur.

Keputusan ini dilihat oleh Adolf Hitler sebagai kegagalan Kriegsmarine berjuang dengan berani, dan membuatkannya menjadi berang. Beliau hampir-hampir mahu menjadikan keseluruhan armada Kriegsmarine (kecuali perkhidmatan kapal selamnya), sebagai besi sekerap. Beliau dipujuk oleh penasihat-penasihat terdapatnya, dan akhirnya beralah. Selepas itu, Kriegsmarine tidak dapat memperolehi kepercayaan Hitler dan tidak diberikan kepentingan tertinggi semasa pengagihan peruntukan bahan perang. Dengan tindakan ini, pasukan kapal permukaan laut Kriegsmarine menjadi satu ancaman yang kurang dibandingkan dengan ancaman daripada kapal-kapal selam Jerman. Dalam tahun 1943, kapal perang Scharnhorst pula tenggelam dalam Pertempuran North Cape. Selepas kehilangan Scharnhorst, kapal-kapal peperangan permukaan laut Kriegsmarine hanya beroperasi berhampiran dengan pangkalan mereka khususnya untuk mempastikan keselamatan kapal-kapal tersebut dan juga untuk memaksa British menugaskan banyak kapal-kapal mereka untuk mengawasi kapal-kapal Jerman ini,

Kapal tempur Tirpitz, kembar kapal tempur Bismarck berpangkalan di Norway untuk mengancam laluan konvoi antara Britain dan Rusia. Tirpitz sendiri diserang berkali-kali oleh pihak British, termasuk serangan menggunakan kapal selam kecil (X-craft) sebelum akhirnya ditenggelamkan pada penghujung tahun 1944 semasa Ops Catechism oleh kapal terbang pengebom jenis Avro Lancaster Tentera Udara Diraja British yang menggunakan bom yang dibuat khas. Selepas Tirpitz ditenggelamkan, barulah pihak British dapat menugaskan semula banyak kapal-kapal utamanya ke Timur Jauh untuk membantu menewaskan Jepun.

Menghadapi Kejatuhan Reich Ketiga[sunting | sunting sumber]

Sejak penghujung tahun 1944, kapal-kapal Kriegsmarine ditugaskan memberi bantuan tembakan di kawasan pantai kepada kumpulan askar-askar Jerman yang sedang berundur di kawasan Laut Baltik. Kriegsmarine juga ditugaskan menguruskan pemindahan secara besar-besaran orang-orang pelarian dari daerah di sebelah timur Jerman yang mahu melarikan diri daripada Tentera Merah Soviet ke tempat-tempat pemindahan di wilayah barat Jerman seperti ke kawasan Lübeck dan Hamburg.

Kriegsmarine juga memindahkan sebilangan besar orang pelarian daripada Prussia Timur dan Danzig dalam bulan Januari 1945. Semasa pemindahan ini, beberapa kapal yang membawa orang pelarian ditenggelamkan oleh kapal selam, termasuklah kapal Wilhelm Gustloff dan kapal Goya ditenggelamkan oleh kapal selam Soviet sementara SS Cap Arcona ditenggelamkan oleh kapal terbang pengebom British. Setiap penenggelaman melibatkan korban beribu-ribu orang pelarian. Kriegsmarine juag memberikan bantuan kepada orang Jerman yang melarikan diri daripada Pomerania dan Stettin dalam bulan April 1945.

Peperangan Kapal Selam[sunting | sunting sumber]

Lampu Leigh dipasangkan kepada sebuah pesawat Liberator untuk kegunaan mengesan kapal selam di atas permukaan air pada waktu malam

Dalam tahun-tahun 1943 dan 1944, perkhidmatan kapal selam Kriegsmarine mula mengalami jumlah kehilangan dan kemalangan yang meningkat disebabkan oleh peningkatan dan penambahbaikan taktik peperangan antikapal selam dan juga dengan pengenalan kelengkapan perang antikapal selam yang lebih baik.

Kapal selam disel perlu timbul di permukaan laut (biasanya pada waktu malam) untuk menggunakan enjin disel untuk mengecas bateri. Waktu ini adalah waktu paling bahaya bagi kapal selam tersebut kerana kapal selam tidak boleh menyelam untuk menyelamatkan diri dari serangan kerana baterinya sudah habis digunakan. Tentera Berikat juga mengguna lampu limpah Lampu Leigh yang dipasangkan kepada kapal terbang seperti Consolidated Liberator untuk memerangkap kapal selam Jerman di permukaan laut di waktu malam dan membolehkan mereka mengebom kapal selam berkenaan.

Penggunaan kapal terbang khusus untuk perang antikapal selam juga memberikan kesan besar. Pesawat Lockheed Ventura, PBY Catalina, Shorts Sunderland dan Consolidated Liberator antara jenis kapal terbang yang digunakan. Radar juga dipasangkan dalam kapal terbang tersebut untuk mencari dan mengesan kapal selam.

Pasca Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

Selepas perang, kapal-kapal Kriegsmarine yang masih tinggal dirampas oleh Tentera Berikat. Sebahagian daripadanya seperti kapal pengangkut pesawat Graf Zeppelin digunakan sebagai sasaran latihan tembakan dan pengeboman. Kapal-kapal pembinasa diserahkan kepada Perancis dan Soviet Union dan kapal-kapal peronda diagihkan kepada negara-negara seperti Denmark dan Norway yang tidak lagi mempunyai tentera laut yang efektif.

Untuk Jerman sendiri, Tentera Laut ditubuhkan semula dalam tahun 1959 dan dinamakan Bundesmarine (Tentera Laut Persekutuan) sementara di Jerman Timur, perkhidmatannya dinamakan Volksmarine (Tentera Laut Rakyat). Dengan penyatuan semula dalam tahun 1990, nama Bundesmarine ditukarkan menjadi Deutsche Marine (Tentera Laut Jerman)

Operasi Utama Kriegsmarine Semasa Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

  • Ops Nordseetour (1940) —Operasi pertama Admiral Hipper di Lautan Atlantik
  • Ops Weserübung ("Weser Exercise") (1940) — penaklukan Denmark dan Norway
  • Ops Juno (1940) — Operasi untuk memutuskan perbekalan oleh pihak Berikat kepada Norway
  • Ops Wikinger (1940) — serangan ke atas sasaran di laut utara oleh kapal-kapal pembinasa Jerman
  • Ops Berlin (1941) — pelayaran ke lautan Atlantik oleh kapal tempur Scharnhorst dan kapal tempur Gneisenau
  • Ops Rheinübung ("Exercise Rhine") (1941) — pelepasan oleh Bismarck dan Prinz Eugen
  • Ops Doppelschlag ("Double blow") (1942) — operasi anti perkapalan berhampiran Novaya Zemlya oleh Admiral Scheer dan Admiral Hipper
  • Ops Sportpalast (1942) — percubaan untuk menyerang konvoi Artik
  • Ops Rösselsprung ("Knights Move") (1942) — operasi serangan ke atas konvoi Artik PQ-17. serangan paling berjaya melibatkan kerugian besar di pihak berikat.
  • Ops Wunderland (1942) — Operasi anti perkapalan di Laut Kara oleh kapal Admiral Scheer
  • Paukenschlag ("Beat of the Kettle Drum"); "Second Happy Time" (1942) — kempen kapal Selam di laur pantai Amerika Syarikat
  • Ops Regenbogen ("Rainbow") (1942) — percubaan menyerang konvoi Artik convoy JW-51B, oleh Admiral Hipper dan Lützow
  • Ops Cerberus (1942) — pergerakan kapal-kapal utama dari Brest ke pelabuhan di Jerman
  • Ops Ostfront (1943) — percubaan Scharnhorst, memintas konvoi JW-55B
  • Ops Domino (1943) — percubaan kedua Scharnhorst, Prinz Eugen dan kapal pembinasa memusnahkan konvoi-konvoi di laut Artik
  • Ops Zitronella (1943) — serangan ke atas Spitzbergen (Svalbard)
  • Ops Deadlight (1945) — operasi untuk melubangtenggelamkan kapal selam pasca perang

Kapal Induk Pengangkut Kapal Terbang[sunting | sunting sumber]

Pembinaan Kapal pengangkut pesawat Graf Zeppelin dimulakan dalam tahun 1936, tetapi kapal ini tidak pernah disiapkan. Dalam tahun 1942, kerja-kerja pengubahsuaian dimulakan ke atas tiga buah kapal penumpang dan 2 buah kapal kruiser (De Grasse dan Seydlitz) yang masih belum disiapkan untuk membina kapal induk pengangkut kapal terbang. Disebabkan oleh kekurangan bahan binaan, khususnya besi keluli, pengubahsuaian ini tidak dapat disiapkan.

Keutamaan tidak diberikan khususnya selepas Hitler mula naik berang setelah kekalahan Kriegsmarine dalam pertempuran dengan Tentera Laut Diraja British dan setelah kemusnahan kapal Bismarck dan lain-lain kapal besa Kriegsmarine.

Kapal Selam(U-boat)[sunting | sunting sumber]

U-3008 (Jerman Type XXI) di Wilhelmshaven sejurus selepas tamat Perang Dunia II

Pada permulaan perang, Kriegsmarine hanya mempunyai 57 buah kapal selam. Apabila perang meletus, penumpuan diberikan kepada pembinaan lebih banyak kapal selam, khususnya apabila Hitler hilang sabar dengan prestasi menyedihkan oleh kapal-kapal utama Kriegsmarine.

Kapal-kapal selam Jerman menunjukkan pencapaian tinggi terutamanya semasa permulaan perang. Sehingga ini, kita boleh bahaskan kemungkinan yang berlaku sekiranya Jerman memberikan lebih banyak tumpuan kepada peperangan kapal selam kerana dalam tahun 1940, Britain hanya dapat mengeluarkan jumlah kapal untuk menggantikan bilangan kapal yang ditenggelamkan oleh kapal selam.

Jenis kapal selam utama digunakan adalah Type IX, versi jarak jauh yang digunakan di bahagian barat dan bahagian selatan lautan Atlantik, serta di Lautan Hindi dan lautan Pasifik. Jenis yang paling banyak digunakan adalah kapal selam Type VII, yang digunakan di kawasan utara Lautan Atlantik. Kapal selam Type X pula digunakan untuk menanam periuk api dan kapal selam Type XIV digunakan untuk memberikan perkhidmatan sokongan kepada operasi kapal selam.

Menjelang tahun 1943, pihak Berikat berjaya mencari cara untuk mengatasi ancaman kapal selam Jerman, sehinggalah kemunculan kapal selam "Elektroboot" yang tidak perlu timbul untuk menggunakan enjin disel bagi pengecasan baterinya. Sekrianya Jerman memberikan tumpuan kepada pembinaan dan penggunaan Elektroboot" dengan lebih meluaskan, pihak Berikat mungkin tidak dapat mencari cara mengatasi ancaman Elektroboot" ini. Selepas perang, teknologi Elektroboot" digunakan oleh Soviet Union untuk kapal selam kelas W kegunaannya. (Teknologi yang dipelopori Jerman ini masih digunakan sekarang dalam kapal selam disel elektrik, khususnya dalam sistem dorongan Air Independent Propulsion). Amerika Syarikat juga menggunakan badan kapal selam jerman sebagai asas kepada pembinaan kapal selam USS Growler.

Semasa Perang Dunia II, 60% daripada kapal selam Jerman yang ditauliahkan kehilangan semasa bertugas. Bakinya diserahkan kepada Tentera berikat ataupun dilubangtenggelamkan oleh anak kapal mereka. 28,000 daripada 40,000 anggota yang berkhidmat dalam perkhidmatan kapal selam terbunuh dan 8,000 lagi menjadi tawanan. Ini merupakan satu kadar kematian dan kemalangan yang amat tinggi.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Axis History Factbook: Kriegsmarine

Burke, Stephen, 'Without wings, the story of Hitler's aircraft carrier' (Trafford publishing ISBN-10: 1425122167, Sept 07 )