Pertempuran Pavia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pertempuran Pavia
Sebahagian daripada Perang Itali 1521–1526

Pertempuran Pavia oleh Ruprecht Heller
Tarikh24 Februari 1525
Lokasi45°11′00″N 9°09′00″E / 45.1833°N 9.1500°E / 45.1833; 9.1500Koordinat: 45°11′00″N 9°09′00″E / 45.1833°N 9.1500°E / 45.1833; 9.1500
Keputusan Kemenangan muktamad Habsburg
Pihak yang terlibat
Kerajaan Beraja Perancis Kerajaan Perancis
Marquisat Saluzzo

Maharaja Charles V:

Komandan dan pemimpin
Francis I #
Robert de La Marck Menyerah diri
Anne de Montmorency Menyerah diri
Henry II dari Navarre Menyerah diri
Francois de Lorraine 
Richard de la Pole 
Jacques de la Palice 
Louis de la Tremoille 
Seigneur de Bonnivet 
Charles IV, Duke Alençon
Marquess Saluzzo
Charles de Lannoy
Fernando d'Avalos
Georg Frundsberg
Charles de Bourbon
Antonio de Leyva
Alfonso d'Avalos
Cesare Hercolani
Fernando de Andrade
Kekuatan
17,000 infantri
6,500 kavalri
53 senapang[1]
19,000 infantri
4,000 kavalri
17 senapang[2]
Kerugian dan korban
13,000 terkorban & tercedera[3] 1,500 terkorban & tercedera[3]

Pertempuran Pavia tercetus pada pagi 24 Februari 1525 dan pertempuran muktamad dalam kancah Perang Itali 1521-26 antara Kerajaan Perancis dan Empayar Habsburg pimpinan Maharaja Charles V yang juga pemimpin Sepanyol, Austria, Tanah Pamah dan Dua Sicily pada masa itu.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Perang Seratus Tahun akhirnya tamat pada tahun 1453. Hasilnya, Calais merupakan satu-satunya peninggalan wilayah England di kawasan tersebut. Raja Perancis yang baru, Louis XI menggunakan tempoh yang aman ini untuk menentang naungannya yang tidak setia. Musuh utamanya iaitu Charles, Duke Burgundy telah terbunuh dalam medan pertempuran ketika Peperangan Burgundy menghampiri penghujungnya. Charles telah meninggalkan anak perempuannya, Mary sebagai pewaris tunggal untuk memerintah kerajaan yang besar. Raja Perancis, Louis dan Maharaja Rom Suci, Frederick III sangat bersemangat untuk memiliki tanah-tanah tersebut dengan mengahwinkan anak lelaki mereka masing-masing dengan Mary. Frederick berjaya dalam persaingan ini dengan mengahwinkan anak lelakinya, Maximilian bersama Mary.

Dalam peperangan selanjutnya yang menyusul, Raja Louis telah ditewaskan oleh Maximilian. Perjanjian Arras yang dimeterai telah membahagikan tanah-tanah Burgundy antara Perancis dan Empayar Rom Suci. Pembahagian ini telah dilakukan melalui perkahwinan antara pewaris Raja Louis, Charles VIII dengan anak perempuan Maximilian, Margaret. Namun, Charles VIII telah memungkiri perjanjian perkahwinan pada tahun 1487 dan beliau membuat keputusan untuk berkahwin dengan pewaris Duci Brittany, Anne. Keputusan beliau ini telah menyalakan satu lagi konflik yang dikenali sebagai Perang Perancis-Breton. Walaupun Charles memenangi peperangan tersebut dan dapat mengahwini Anne, beliau telah dipaksa untuk menandatangani Perjanjian Senlis pada tahun 1493 yang membolehkan saki baki tanah Burgundy dimasukkan ke dalam Empayar Rom Suci. Segalanya telah membuktikan Valois dan Habsburg sangat bercita-cita untuk berdamai buat sekian lama.

Raja Charles VIII meneroka peluang lain untuk memperluas kuasanya. Pada tahun 1494, beliau telah mendapatkannya. Duke Milan, Ludovico Sforza meminta Charles untuk menyerang Itali bagi membolehkan Charles untuk menuntut takhta Naples. Pelawaan ini telah memulakan konflik yang berlarutan selama enam dekad yang disebut sebagai Peperangan Itali. Antara tahun 1491 hingga 1521, tiga buah konflik telah tercetus di Itali yang mana Sepanyol dan Habsburg telah mengambil alih Naples manakala Perancis pula memperoleh Duci Milan.

Pada tahun 1515, Francis I menjadi Raja Perancis. Sementara itu pada tahun 1516, pewaris takhta Habsburg iaitu Charles I menjadi Raja Sepanyol. Kemangkatan Maharaja Maximilian pada tahun 1519 telah mengosongkan kedudukan pemegang takhta Habsburg. Francis I dan Charles I merupakan calon-calon yang layak untuk mendapatkan takhta tersebut. Tuntutan takhta Habsburg akan menjadikan salah satu daripada mereka akan memayungi hegemoni di Eropah. Para pemilih telah mengundi Charles sebagai pemilik takhta Habsburg sekali gus bermakna Perancis kini telah diselubungi oleh Habsburg dari semua penjuru. Persaingan antara kerajaan ditambah lagi dengan permusuhan peribadi telah meletakkan peperangan lain tidak dapat dielakkan lagi.

Peperangan di Itali[sunting | sunting sumber]

Semenanjung Itali sebelum perang bermula.

Charles menyerang dahulu pada tahun 1521. Tentera Charles telah memulihkan kedudukan Francesco Sforza sebagai Duke Milan pada tahun 1522. Tentera Perancis kemudian telah ditewaskan di Bicocca dan dipaksa untuk berundur. Kekalahan ini membuatkan Raja Francis merekrut tentera baru pada tahun 1523. Akan tetapi, disebabkan Charles de Bourbon telah melancarkan pemberontakan terhadapnya, tindakan Francis terpaksa ditunda. Bourbon berjaya melepaskan diri menuju ke wilayah Habsburg. Raja Francis kemudian dipaksa untuk tinggal di Paris bagi menghalang sebarang penentangan politik. Beliau menghantar de Bonnivet sebagai penggantinya bagi meneruskan kempen di Itali.

Pada Oktober 1523, tentera Perancis yang berjumlah seramai 25,000 orang memasuki Itali. Namun, jeneral Sepanyol yang berpengalaman iaitu Prospero Colonna mengatasi de Bonnivet dengan menunjukkan bahawa beliau memiliki tentera yang lebih besar berbanding musuhnya. De Bonnivet membuat keputusan untuk menginap semasa musim sejuk. Habsburg telah memanfaatkan tempoh masa ini untuk menghimpunkan tentera seramai 30,000 orang. Tuah menyebelahi Perancis apabila Colonna meninggal dunia pada bulan Disember. Pengganti Colonna iaitu Charles de Lannoy dan Charles de Bourbon sampai ke kawasan kem tentera sedikit lewat untuk menghalang pengunduran Perancis. Pada masa yang sama, de Bonnivet juga gagal untuk mengupah tentera-tenteranya. Jadi, semasa beliau berada di sempadan Perancis pada musim bunga 1524, beliau hanya memiliki kurang daripada separuh jumlah asal tenteranya. Sementara itu, Charles de Bourbon bersama dengan kekuatan seramai 10,000 tentera memasuki Provence pada musim panas dan mengepung Marseille pada bulan September. Kota Marseille tetap bertahan sehinggalah kedatangan bala tentera Francis lalu memaksa Bourbon berundur ke Itali.

Francis mempunyai tentera sekitar 40,000 orang dan mengarahkan tenteranya memasuki Itali dalam keadaan tiga barisan untuk memintas tentera Bourbon. Pergerakan Bourbon terlalu pantas dan beliau berjaya berundur ke Pavia sebelum bergabung dengan saki baki tentera Habsburg. Francis memerintahkan tenteranya untuk mengepung kota Binasco sekali gus ia telah mengancam laluan antara Milan dan Pavia. Penduduk kota Milan berputus asa dan mereka telah mempersembahkan kepada Raja Perancis itu kunci pintu masuk kota. Tentera Lannoy dan Bourbon tidak dimaklumkan tentang kejadian itu. Pada waktu malam, mereka bergerak secara manuver untuk memasuki kota Milan tanpa bertempur dengan tentera Perancis. Sebaik sahaja mereka melangkah masuk, mereka mendapati kubu-kubu di sana tidak kukuh untuk bertahan menghadapi serangan lalu tentera Sepanyol berundur ke Lodi. Francis kemudian menggerakkan tentera-tenteranya ke kota tersebut beberapa jam kemudian dan merehatkan tenteranya.

Pertempuran[sunting | sunting sumber]

Seramai 9,000 tentera Sepanyol yang terdapat di dalam kota Pavia dan Francis mengarahkan tenteranya mengepung kota tersebut pada 28 Oktober 1524. Tentera utama Perancis di bawah pimpinan raja kekal berada di utara Taman Visconti. Seramai 4,000 tentera dikemudi oleh d'Alençon ditempatkan di barat manakala 4,000 tentera lagi di bawah kendalian Anne de Montmorency ditempatkan di timur kota. Pada 31 Oktober, artileri Perancis telah sampai ke kawasan tersebut dan ia telah dibahagikan kepada tiga pasukan meriam iaitu pasukan utara, timur dan barat. Pembedilan kota Pavia bermula dengan kadar segera. Perancis masih perlu mengepung kota dari arah selatan juga untuk mengambil alih kawalan ke atas Sungai Ticino. Seramai 6,000 tentera Perancis bergerak ke sana pada 2 November. Panglima tentera garison Sepanyol, Antonio de Leyva menghadapi masalah yang sangat unik. Beliau mempunyai jumlah bekalan makanan yang mencukupi tetapi kekurangan dana untuk mengupah tentera-tenteranya. Menurut sumber-sumber, emas dari dalam gereja telah digunakan sebagai gaji untuk tentera tersebut.

Pada pertengahan bulan November, Perancis akhirnya berjaya menghancurkan bahagian dinding kota yang kecil dari arah timur dan barat. De Leyva mula membina kubu pertahanan di dalam kota. Pada 21 November, tentera Perancis melancarkan serangan melalui runtuhan kota manakala Raja Francis mengetuai serangan tersebut dari arah timur. Serangan ini menemui kegagalan apabila Perancis berhadapan serangan luar biasa dari dalam kota. Tentera Perancis mengalami kerugian nyawa hampir seramai 1,000 orang dan raja mengarahkan semua tenteranya untuk berundur. Pengepungan kota tetap diteruskan dan hujan lebat telah menyukarkan keberkesanan serangan artileri Perancis. Francis memutuskan bahawa pengepungan terus dijalankan dengan berharap kota tersebut akan dilanda kebuluran dan kemelesetan. Beliau terpaksa menghantar 6,000 tenteranya ke selatan untuk mengesan ancaman Genoa oleh kerana Tentera Laut Sepanyol semakin bersiap sedia untuk mendarat di kawasan itu.

Pertempuran Pavia oleh artis Flemish yang tidak dikenali pada abad ke-16.

Pada Januari 1525, tentera Sepanyol memperoleh bantuan ketenteraan hampir 20,000 tentera sekali gus menjadikan mereka memiliki hampir 30,000 tentera berhampiran Lodi dan 9,000 tentera di Pavia untuk berhadapan dengan 30,000 tentera Perancis yang mengelilingi kota Pavia. Pada penghujung bulan, Charles de Lannoy menghampiri dinding Taman Visconti dari arah timur. Beliau berjaya menyelinap masuk ke dalam kota dalam bentuk kumpulan kavalri kecil sambil membawa bekalan dan arahan. Tentera Habsburg berhadapan dengan kehabisan dana dan ia menandakan pertempuran akan menyusul. Rancangan Lannoy ialah menyelinap masuk ke dalam Taman Visconti melalui dinding utara dan menyerang Castello di Mirabello yang dijangka tempat bersemayam Raja Francis. Pada masa yang sama, sebahagian tentera garison di dalam kota ditugaskan untuk melancarkan serangan terhadap Taman Visconti sebaik isyarat ditujukan.

Pada 23 Februari iaitu pada jam 10:00 malam, sekumpulan tentera Sepanyol menuju ke Porta Pescarina dalam percubaan untuk menembus masuk ke dalam taman melalui benteng luaran. Sebuah kavalri Perancis yang dipimpin oleh Charles Tiercelin telah meronda di kawasan sekitar dan beliau mengesan pergerakan tentera musuh tetapi beliau mengabaikannya. Hal ini kerana beliau merasakan pihak musuh sedang berundur. Pada larut malam, tentera jurutera berada dalam posisi dan mereka mula membedil dan memusnahkan benteng pertahanan yang mengelilingi Taman Visconti. Tindakan mereka sangat jelas terlalu bising tetapi Tiercelin membunyikan penggeranya pada jam 4 pagi. Seramai 3,000 tentera pejalan kaki Perancis diketuai oleh de la Flourance dan disertai oleh pasukan kavalri Tiercelin yang mempunyai kekuatan seramai 1,000 orang telah dikirim ke kawasan itu. Sebuah pasukan meriam yang kecil turut ditempatkan menghadap ke arah sasaran.

Pada jam 5:00 pagi, tentera penembak Sepanyol diketuai oleh de Vasto memasuki Taman Visconti melalui runtuhan benteng dan beliau telah membuka pintu gerbang berhampiran. Kemasukan mereka diikuti oleh kavalri ringan dan meriam-meriam. Asap kabus pagi telah menutupi pergerakan tentera Sepanyol. Pada jam 5:30 pagi, pasukan kavalri Tiercelin akhirnya tiba sebelum bertembung dengan Sepanyol. Namun, kabus yang tebal tidak membenarkan kedua-dua belah pihak ini bertarung secara langsung. Sementara itu, tentera penembak Sepanyol melangkah masuk ke dalam hutan yang terletak di utara Mirabello. Meriam-meriam tidak dapat melalui hutan itu dan mereka telah ditawan oleh de la Flourance ekoran tiada sokongan yang dapat melindunginya. Pada masa yang sama, Francis telah mengirim satu ketumbukan kavalri kecil untuk memerhati keadaan sebenar dengan lebih dekat. Kavalri Perancis itu menyerang pasukan sayap kavalri Sepanyol dan ia membolehkan Tiercelin menekan tentera musuh ke belakang. Utusan dikirim kepada raja dengan mendakwa percubaan Sepanyol untuk memasuki kawasan taman telah berjaya dihalang.

Isyarat dari kem utama Sepanyol telah diberikan sebagai tanda permulaan meriam-meriam Sepanyol melepaskan tembakan ke arah Montmorency yang telah pun bersiap sedia menghadapi serangan oleh tentera garison yang akan melangkah keluar dari dalam kota melalui pintu gerbang timur. Namun, tentera garison itu bergerak keluar melalui pintu gerbang utara dan mereka menuju ke Mirabello sekali gus ia telah memotong pasukan timur Perancis daripada kancah pertempuran utama. Pada jam 6:30 pagi, tentera de Vasto telah muncul dari kawasan hutan dan mereka menguasai Mirabello. Tidak seperi yang diharapkan apabila Raja Francis tidak berada di istana itu. Mereka cuba menuju ke selatan tetapi ledakan meriam musuh telah memerangkap mereka di kawasan lapang lalu memaksa tentera Sepanyol berundur ke Mirabello. Sementara itu, lebih ramai tentera Sepanyol memasuki kawasan taman dari arah utara. Sebuah unit landsknecht yang mempunyai jumlah 8,000 orang bertembung dengan tentera de la Flourance yang terdiri daripada 3,000 tentera bertombak Swiss. Walaupun bilangan musuh berganda ramainya, mereka masih memberikan tentangan hebat selama berjam-jam lamanya.

Sekumpulan tentera Sepanyol lain yang mempunyai kekuatan seramai 8,000 tentera pejalan kaki dan 2,000 tentera berkuda dipimpin oleh Pescara memasuki kawasan taman dan bergerak menuju ke Mirabello pada jam 7:20 pagi. Namun pada masa itu, Raja Perancis menyedari keadaan ini dan mengarahkan pasukan meriam Perancis di utara untuk melepaskan tembakan ke arah kawasan hutan. Ledakan tersebut telah mengorbankan ribuan tentera musuh. Tentera kavalri Sepanyol seramai 2,000 orang telah berada di hadapan Francis lalu membuatkan beliau mempersiapkan pasukan elit kavalrinya seramai 4,000 orang. Serangan beliau telah menceraikan barisan kavalri Sepanyol dengan serta merta. Walau bagaimanapun, serangan tersebut ternyata satu kesilapan. Tidak lama kemudian, tentera Perancis itu telah dikepung oleh 15,000 tentera Sepanyol dari tiga arah. Oleh kerana pasukan gendarme Sepanyol kini telah menghalang pemandangan dari artileri mereka, tiada bantuan disalurkan oleh artileri tersebut. Francis masih mempunyai landsknecht seramai 4,000 orang dan 2,000 tentera pejalan kaki sebagai tentera simpanan. Mereka semua telah dikirimkan ke medan pertempuran untuk membantu pasukan kavalri Perancis yang dikepung. Namun, Sepanyol masih lagi mempunyai 8,000 tentera telah menghampiri musuh. Situasi yang genting telah membuatkan tentera Perancis berjuang sehingga ke titisan darah mereka yang terakhir.

Charles V menziarahi Francis selepas Pertempuran Pavia.

Dalam tempoh masa kurang daripada sejam, tentera pejalan kaki dan kesateria terbaik Perancis telah terkorban manakala rajanya pula menjadi tahanan perang. De la Flourance dan Montmorency cuba untuk berundur ke selatan sambil menerima tentangan yang hebat tetapi ramai tenteranya lemas di dalam Sungai Ticino. Hanya pasukan Perancis di bawah pimpinan d'Alençon berjaya berundur.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Tentera Perancis mengalami kerugian nyawa sekitar 15,000 orang termasuk yang ditawan. Kebanyakan komander Perancis berakhir dengan kematian dan tawanan manakala Sepanyol pula mencatatkan angka korban kurang daripada 3,000 orang. Perang ini ternyata sudah berakhir dan Perancis dilihat telah menghadapi kekalahan. Namun, ibu Raja Francis iaitu Louise dari Savoy menjadi pemangku raja dan beliau dengan pantasnya telah menstabilkan keadaan yang sulit. Beliau telah mendapatkan sekutu dari Itali, England dan bahkan Empayar Uthmaniyah. Disebabkan masalah yang baru melanda di Jerman, Itali dan juga ancaman Uthmaniyah, Charles bersungguh-sungguh untuk menamatkan peperangan dengan Francis.

Pada Januari 1526, Perjanjian Madrid telah dimeterai. Francis berjanji untuk berkahwin dengan kakak Charles, Eleanor. Beliau juga berjanji akan menyerahkan Burgundy kepada Empayar Rom Suci dan menyerahkan Milan kepada Charles de Bourbon. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja Francis pulang ke Paris, beliau telah memungkiri janji-janjinya dan mendapat kerestuan daripada paus. Perjanjian yang baru telah ditandatangani di Cambrai dan Francis perlu membayar ganti rugi dan melepaskan semua tuntutannya ke atas Itali.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Knecht, R. J. (1994). Renaissance Warrior and Patron. New York: Press Syndicate of University of Cambridge. m/s. 225.
  2. ^ name= guns
  3. ^ a b Tucker 2010, m/s. 495.

Rujukan[sunting | sunting sumber]