Saqia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
"Kincir Parsi", sekitar 1905

Saqia atau saqiya (dari Arab: ساقية, sāqīya), juga dipanggil kincir Parsi, tablia dan dalam bahasa Latin tympanum[1] ialah alat mekanikal pengangkut air yang menggunakan timba, balang atau skop yang dilekatkan samada secara langsung pada kincir vertikal, atau pada tali sawat tak berpenghujung yang digerakkan oleh kincir. Kincir vertikal itu sendiri dihubungkan dengan kincir horizontal oleh aci pacu yang secara tradisinya digerakkan oleh kuasa binatang. Disebabkan ia tidak menggunakan kuasa air, saqia berbeza daripada noria atau sebarang bentuk kincir air. Ia masih digunakan di India, Mesir dan bahagian-bahagian lain di Timur Tengah, dan Semenanjung Iberia dan Kepulauan Balearic. Ia mungkin dicipta di Mesir, Parsi atau India. Saqia sebahagian besarnya digunakan untuk pengairan, tetapi tidak sepenuhnya, sebagai contoh Qusayr Amra tunjukkan, yang sebahagiannya digunakan untuk menyediakan air kepada rumah mandi diraja.[2]

Pemerian dan persembahan[sunting | sunting sumber]

- Dengan timba langsung pada kincir -

Saqia adalah kincir berongga yang besar, secara tradisinya dibuat daripada kayu. Satu jenisnya mempunyai timba atau periuk tanah liat yang dilekatkan secara langsung pada pinggir kincir, yang menghadkan kedalaman yang dapat ia cedok air kepada kurang separuh daripada diameternya. Versi moden biasanya dibuat daripada keluli keping yang digalvani dan mengandungi satu siri pencedok. Jenis moden menuangkan air berhampiran hab berbanding dari atas, yakni berlawanan dengan jenis tradisional. Ia adalah kaedah pengairan yang kerap ditemui di pelbagai tempat di benua kecil India. Diameter kincir saqia berjulat daripada dua hingga lima meter. Meskipun secara tradisi ia dipacu oleh haiwan, kini ia dipasangkan pada enjin. Ketika mana saqia yang dipacu haiwan dapat berputar 2-4rpm, jenis bermotor mampu mencapai sehingga 8-15rpm. Versi moden yang ditambahbaik juga dikenali sebagai zawaffa dan jhallan.

Skema saqia ideal moden (model Fathi; dilukis oleh FAO)
- Dengan timba dipasangkan pada tali sawat tak berpenghujung -

Alat Timur Tengah yang bersejarah yang dikenali dalam bahasa Arab sebagai saqiya selalunya mempunyai timba yang dipasangkan pada satu rantai kembar, lalu menghasilkan apa yang dipanggil "kalungan periuk". Ini membolehkan air dicedok dari perigi yang lebih dalam.

Saqia yang digerakkan oleh haiwan dapat mengangkut air dari kedalaman 10-20 meter, dan dengan itu dianggap lebih efisien daripada syaduf yang hanya dapat mengepam air dari 3 meter.

"Saqiya" lawan "noria"[sunting | sunting sumber]

Istilah yang merujuk pada alat pengangkut air tradisional dan juga moden yang digunakan di Timur Tengah, India, Sepanyol dan kawasan-kawasan lain kadang kala digunakan secara kurang tepat. Pun begitu satu perbezaan yang jelas adalah mustahak. Istilah noria biasanya digunakan untuk alat yang menggunakan kuasa air. Untuk alat yang dijana oleh haiwan, istilah yang biasa adalah saqiya. Istilah "kincir air", oleh takrifan, diperuntukkan kepada kincir "yang digerakkan" oleh air yang mengalir, dan tidak seharusnya digunakan untuk saqia yang hanya "mengangkut" air tetapi tidak "digerakkan" olehnya. Jenis lain bagi alat yang serupa dikumpulkan di bawah nama pam berantai. Di Sepanyol, istilah "noria" juga digunakan untuk sebahagian alat yang sebenarnya adalah saqia.

Saqiya berbeza daripada noria dalam dua aspek besar. Pertama, cara ia digerakkan, biasanya oleh haiwan atau jarangnya oleh angin, dalam versi moden juga oleh enjin, namun bukan oleh kuasa air. Perbezaan yang lain adalah saqia mengangkut air dari telaga atau sumber air yang pegun, manakala noria diletakkan di tebing sungai.

Noria menggunakan kuasa air yang diperolehi daripada aliran sungai. Noria terdiri daripada kincir air aliran bawah yang besar dan sangat sempit yang rimnya dibuat daripada satu siri bekas yang mengangkut air dari sungai ke akueduk yang sangat kecil di atas kincir. Dalam aspek ini ia mirip kepada satu jenis saqia tanpa kalungan periuk, dengan tiang-tiang dinaikkan secara langsung di atas kincir, lalu kekeliruan tersebar luas.

Sebilangan kecil noria dalam sejarah adalah hibrid yang terdiri daripada kincir air yang dibantu seara sekunder oleh kuasa haiwan.

Dalam bahasa Sepanyol, saqia yang digerakkan haiwan dinamakan aceña, kecuali di kawasan Cartagena yang di situ ia dipanggil noria de sangre atau "kincir air darah". Jenis saqia lain yang lebih jarang menggunakan sistem yang sama, iaitu kalungan timba tanah liat atau kayu, tetapi ia digerakkan oleh angin. Saqia yang digerakkan angin di kawasan sekitar Cartagena adalah hampir-hampir serupa pada penampilan dengan kilang kisar tempatan.

Jenis[sunting | sunting sumber]

Terdapat dua jenis utama saqia. Satu jenis terdiri daripada kincir vertikal yang digantung dengan tali sawat tak berpenghujung atau rantaian timba. Timba-timba itu terjuntai ke dalam telaga yang mungkin sehingga kedalaman 8 m (26 kaki).

Jenis kedua mempunyai timba atau bekas air lain yang dipasang secara terus pada kincir vertikal.

Saqia paling primitf digerakkan oleh keldai, baghal atau lembu. Haiwan itu memutarkan roda horizontal yang dihubungkan dengan roda vertikal lalu menyebabkannya berputar. Ini menyebabkan timba bagi jenis pertama berpusing dan mengangkut air dari telaga yang lebih dalam, atau dengan jenis yang kedua, ia menyebabkan roda vertikal berputar dan mencedok air dari telaga yang kurang dalam.

Dalam bahasa Sepanyol, saqia yang digerakkan haiwan dinamakan aceña, kecuali di kawasan Cartagena, yang ia dipanggil noria de sangre atau "kincir air darah".

Dari segi pendorongan, terdapat perbezaan, jenis saqia yang lebih jarang menggunakan teknik umum yang sama tetapi digerakkan oleh angin. Saqia yang digerakkan angin di sekitar Cartagena, Sepanyol, adalah hampir-hampir seiras dengan kilang pengisar tempatan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

India[sunting | sunting sumber]

Menurut sesetengah pendapat, saqia dicipta di India, dengan rujukan terawal ditemui di dalam panchatantra (sekitar kurun ke-3 SM) dikenali sebagai "araghatta";[3] yang merupakan gabungan perkataan "ara" (kelajuan atau [roda] beruji) dan "ghattam" (periuk)[4] dalam bahasa Sanskrit. Alat tersebut samada digunakan seperti saqia, untuk mengangkut air dari telaga sambil digerakkan oleh lembu atau manusia, atau digunakan untuk mengairi sawah apabila ia dijana dalam cara kincir air dengan diletakkan di dalam sungai atau terusan pengairan yang besar. Bagi kes yang kedua itu, kita biasanya bercakap tentang "noria" sebagai lawan kepada "saqia".[5]

Mesir[sunting | sunting sumber]

Bukti saqia terawal di Mediterranean terdapat pada sebuah lukisan makam keyunanian di Mesir pada era Ptolemy bertarikh kurun ke-2 SM. Ia menunjukkan sepasang lembu bergalang kuk sedang menggerakkan kincir air berbahagian. Sistem gear saqia Hellenistik sudah pun dimajukan dengan penuh sehingga ke tahap "alat Mesir moden adalah hampir-hampir serupa".[6] Diandaikan bahawa ahli sains di Iskandariah yang merupakan pusat kajian Yunani yang paling aktif pada masa itu, mungkin terbabit dalam pelaksanaannya.[7] Satu episod daripada Peperangan Iskandariah pada tahun 48 SM menceritakan bagaimana musuh Ceasar menggunakan kincir air bergear untuk mencurahkan air laut dari tempat tinggi ke kedudukan tentera Rom yang terperangkap.[8]

Dunia Islam[sunting | sunting sumber]

Saqia canggih Al-Jazari yang digerakkan oleh haiwan dan juga kincir air (1206).

Sebuah manuskrip oleh Al-Jazari memaparkan alat rumit yang berdasarkan saqia, yang dijana sebahagiannya oleh tarikan seekor lembu yang berjalan di atas bumbung takungan aras atas, dan juga oleh air yang jatuh ke atas palet berbentuk sudu kincir air yang diletakkan di dalam takungan aras bawah.[9]

Saqia rumit yang terdiri daripada lebih daripada 200 komponen berasingan digunakan secara meluas oleh perekacipta dan jurutera Muslim di dunia Islam Zaman Pertengahan.[10] Roda tenaga mekanikal yang digunakan untuk melicinkan penghantaran kuasa dari alat pemandu kepada mesin dipandu dan, pada dasarnya untuk membolehkan air diangkut daripada kedalaman yang jauh lebih besar (sehingga 200m), pertama kali digunakan oleh Ibn Bassal (aktif 1038–1075) di al-Andalus.[11]

Penggunaan pertama aci engkol yang diketahui di dalam saqia terpapar dalam satu lagi mesin al-Jazari.[12] Konsep meminimumkan ketidaksinambungan juga pertama kali dibayangkan dalam satu alat saqia al-Jazari yang bertujuan memaksimumkan keberkesanan saqia.[12] Al-Jazari juga membina alat pengangkut air yang digerakkan oleh kuasa air. Saqia yang dijana haiwan dan noria yang dijana air yang serupa dengan alat yang diperihalkan beliau telah membekalkan air di Damsyik sejak kurun ke-13,[13] dan digunakan dalam urusan harian di serata dunia Islam Zaman Pertengahan.[12]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Water lifting devices book description
  2. ^ whc.unesco.org/document/127108
  3. ^ http://base.d-p-h.info/en/fiches/dph/fiche-dph-7866.html
  4. ^ http://spokensanskrit.de/index.php?script=HK&beginning=0+&tinput=+ara&trans=Translate&direction=AU
  5. ^ https://rainwaterharvesting.wordpress.com/2008/02/23/the-persian-wheel-revisited-araghatta/
  6. ^ Oleson 2000, halaman 234, 270
  7. ^ Oleson 2000, halaman 271f.
  8. ^ Oleson 2000, halaman 271
  9. ^ Needham, Volume 4, Part 2, p. 353.
  10. ^ Donald Routledge Hill (1996), "Engineering", in Roshdi Rashed, Encyclopedia of the History of Arabic Science, Vol. 3, pp. 751–795 [771].
  11. ^ Ahmad Y Hassan, Flywheel Effect for a Saqiya, History of Science and Technology in Islam
  12. ^ a b c Donald Routledge Hill, "Engineering", p. 776, in Roshdi Rashed, ed., Encyclopedia of the History of Arabic Science, Vol. 2, pp. 751–795, Routledge, London and New York
  13. ^ Ahmad Y Hassan, Al-Jazari and the History of the Water Clock

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Oleson, John Peter (2000), "Water-Lifting", dalam Wikander, Örjan (penyunting), Handbook of Ancient Water Technology, Technology and Change in History, 2, Leiden: Brill, m/s. 217–302, ISBN 90-04-11123-9

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Fraenkel, P., (1990) "Water-Pumping Devices: A Handbook for users and choosers" Intermediate Technology Publications.
  • Molenaar, A., (1956) "Water lifting devices for irrigation" FAO Agricultural Development Paper No. 60, Food and Agriculture Organization of the United Nations, Rome.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]