Sejarah Dominika

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Orang Arawak, bekas orang asli Dominika, diusir atau dihapuskan oleh suku Karib pada abad ke-14. Mereka dipandukan oleh Arus Khatulistiwa Selatan dari Sungai Orinoco ke Dominika dan pulau-pulau Caribbean yang lain. Keturunan-keturunan orang Taino yang awal diusir oleh puak Kalinago daripada suku Karib.

Suku Karib tiba di pulau ini dengan menggunakan kapal khas yang kini masih dibuat mereka di wilayah sendiri di pulau ini. Christopher Columbus tiba di pulau ini pada hari Ahad, 3 November 1493. Beliau dan anak kapalnya meninggalkan pulau ini tidak lama kemudian selepas ditewaskan oleh suku Karib. Pada tahun 1627, England mencuba dan gagal menaklukkan Domika. Pada tahun 1635 pula, pihak Perancis menuntut pulau ini dan menghantar mubalgih, akan tetapi mereka tidak berupaya mengambil alih Dominika daripada suku Karib. Pihak Perancis meninggalkan pulau ini, bersama-sama dengan pulau Saint Vincent, pada dekad 1660-an.

Selama beberapa ratus tahun yang berikut, Dominika masih terpencil, dengan lebih banyak orang Karib menetap di sini selepas diusir oleh orang Eropah yang mula menguasai pulau-pulau yang berhampiran. Perancis menyerahkan Dominika secara rasmi kepada United Kingdom pada tahun 1763. United Kingdom kemudian mengasaskan sebuah kerajaan dan menjadikan pulau ini sebagai sebuah tanah jajahan pada tahun 1805. Pembebasan abdi Afrika berlaku di seluruh Empayar British pada tahun 1834 dan pada tahun 1838, Dominika menjadi tanah jajahan Caribbean British yang pertama untuk memiliki badan perundangan yang dikuasai oleh orang hitam. Pada tahun 1896, United Kingdom mengambil alih kuasa kerajaan Dominika dan menjadikannya sebagai tanah jajahan mahkota Inggeris. Setengah abad kemudian, iaitu antara tahun 1958 hingga 1962, Dominika menjadi sebuah provinsi Persekutuan Hindia Barat, akan tetapi persekutuan tersebut tidak kekal lama. Dominika akhirnya menjadi sebuah negara merdeka pada tahun 1978.