Sekolah Kebangsaan Kuala Kenong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Kebangsaan Kuala Kenong
Jata SK Kuala Kenong

centr
Lokasi
 Malaysia Kampung Kuala Kenong, Kuala Lipis, Pahang
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah Kebangsaan, Sekolah kerajaan
MotoLux et Sapienta : Ilmu Menerangi Hidup
Ditubuhkans. 1940
Nombor sekolah016-9614010
Kod sekolahCBA3030
Faks


Sekolah Kebangsaan Kuala Kenong atau nama ringkasnya SK Kuala Kenong, merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan berstatus Sekolah Melayu Lama yang terletak di Kampung Kuala Kenong. Sekolah ini telah ditubuhkan seawal tahun 1940 hasil kesepakatan penduduk dan pemimpin setempat dalam pentingnya pendidikan. Sekolah ini beroperasi secara rasmi sekitar tahun 1945.

Pada 2019, Sekolah Kebangsaan Kuala Kenong memiliki 7 pelajar lelaki dan 9 pelajar perempuan, menjadikan jumlah keseluruhan murid seramai 16 orang. Ia mempunyai seramai 10 orang guru termasuk pentadbir.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sekolah ini mempunyai perjalanan sejarah yang sangat lama seiring dengan penubuhan Kampung Kuala Kenong itu sendiri. Tiada tarikh tepat yang dapat diberikan tentang permulaan pendidikan di Kampung Kuala Kenong. Masyarakat di sini memulakan pendidikan tidak formal di surau kampung sehinggalah mereka bersepakat menyediakan tempat khas bagi memberi pendidikan separa formal kepada penduduk kampung baik kanak-kanak mahupun orang dewasa.

Penubuhan sekolah[sunting | sunting sumber]

Pada asalnya sekolah ini merupakan sekolah rakyat biasa yang dibina atas kesepakatan penduduk bagi merevolusikan pendidikan penduduk kampung. Bangunan awal sekolah dibina berdindingkan buluh dan beratapkan nipah. Para pelajar ketika itu menggunakan papan batu sebagai buku dan hanya berlantaikan tanah.

Menurut pensejarahan masyarakat tempatan, sekolah ini dirasmikan pembukaannya oleh Almarhum Sultan Pahang ketika itu iaitu Almarhum Sultan Abu Bakar. Allahyarham Abdul Rahman Bin Man atau lebih dikenali sebagai Pak Embong Khatib telah membawa kesedaran dan membina gerakan membangunkan sekolah ini pada peringkat awal. Beliau merupakan antara guru yang paling awal mengajar ketika dibukanya sekolah ini.

Pendudukan Jepun[sunting | sunting sumber]

Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu, keadaan kelam kabut di seluruh tanah air turut juga meninggalkan kesan kepada perjalanan pendidikan di Kampung Kuala Kenong. Pelajar yang pada ketika itu terdiri daripada anak-anak kampung sekitar seperti Kampung Cekuas, Kampung Jeram Bungor, Kampung Kuala Lentang dan Kampung Kuala Kenong sendiri tidak dapat hadir sekolah atas perintah darurat yang dikeluarkan.

SK Kuala Kenong pada ketika itu terpaksa tutup selama tempoh 3 tahun 8 bulan dan 5 hari berdasarkan catatan rasmi sekolah yang masih kekal disimpan sehingga sekarang. Guru Besar yang bertugas pada ketika itu ialah Tuan Husin yang berasal dari Kampung Mela, manakala salah seorang guru pada ketika itu ialah Encik Abdullah bin Awang Kelang.

Menurut catatan dan pensejarahan rasmi sekolah, guru-guru pada ketika itu atas bantuan penduduk kampung berusaha keras dan berjuang dalam membina bangunan sekolah dan fasiliti asas daripada kayu-kayu yang ditebang sendiri di hutan sehinggalah kawasan sekolah yang terdiri daripada bangunan yang lengkap dan teratur dibina.

Kini[sunting | sunting sumber]

Zaman moden di SK Kuala Kenong bermula ketika lewat 90-an sehingga kini. Zaman ini menyaksikan perubahan demi perubahan berlaku di sekolah ini. Pelajar mula didedahkan dengan teknologi maklumat dan komunikasi.

Pendidikan abad ke-21 mula diperkenalkan dan pelajar diajar dengan kemahiran berfikir aras tinggi dan berfikir di luar kotak. Pelajar di SK Kuala Kenong kini mula didedahkan bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan malah dengan kemahiran insani.

Senarai guru besar[sunting | sunting sumber]

Antara guru besar yang pernah berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Kuala Kenong:

  1. Tuan Husin
  2. Tuan Mansor
  3. Tuan Salleh Long
  4. Tuan Jahidin
  5. Tuan Ahmad Mahadi
  6. Tuan Hassan
  7. Tuan Abdul Rahman bin Man
  8. Tuan Shafie
  9. Tuan Mohd Nor
  10. Tuan Mohamad Ibrahim
  11. Tuan Musthapa bin Ishak
  12. Tuan Abdul Hamid (awal 90-an)
  13. Tuan Badaruddin bin Ahmad (1994 – 1998)
  14. Tuan Nik Soh bin Daud (1998 – 1999)
  15. Puan Hajjah Ramlah (1999 – 2000)
  16. Tuan Haji Abdul Razak (2000 – 2001)
  17. Tuan Abdul Aziz bin Mohd Zain (2001 – 2002)
  18. Tuan Mohd Nor bin Ghazali (2002)
  19. Tuan Haji Mohd Ali bin Jamaludin (2002 – 2003)
  20. Tuan Haji Suhaimi bin Mohamad (2003 – 2004)
  21. Tuan Muhd Hasbi bin Ibrahim (2004 – 2008)
  22. Tuan Abdul Rani bin Akob (2008 – 2011)
  23. Ustaz Mohamad Sidik bin Mohammad (2011 – 2016)
  24. Tuan Omardani bin Mohd Nor (April 2016)
  25. Puan Fatimah Nor binti Mohd Nor (November 2016 – Mac 2020 )
  26. Bakri bin Mustaffa ( Mac 2020 - hingga kini )

Budaya sekolah[sunting | sunting sumber]

Orang kampung di atas perahu.

Sekolah Kebangsaan Kuala Kenong mempunyai tradisi yang cukup lama dalam mengekalkan adat dan budaya menyanjung ilmu dunia dan akhirat. Pelajar-pelajar diasuh dengan baik supaya membesar sebagai seorang insan beradab dan berbudaya tinggi. Tatasusila pelajar sama-sama dibentuk bukan hanya oleh guru-guru, malah seluruh penduduk kampung mengambil tanggungjawab membentuk sahsiah pelajar-pelajar.

Selain itu, kerjasama erat antara penduduk setempat dengan pihak sekolah juga telah menjadi tradisi yang membentuk kekuatan sekolah. Ibu bapa pelajar akan hadir ke sekolah secara berjadual untuk memasak dan membekalkan makanan berkhasiat kepada anak-anak mereka dan guru-guru. Ibu bapa, para pelajar, guru-guru serta seluruh kakitangan sekolah akan bersama di The Grand Dining Hall sekolah semasa waktu rehat untuk sama-sama berdoa dan menjamu selera. Budaya makan bersama ini dikatakan diilhamkan daripada budaya yang diamalkan sejak sekian lama di Universiti Oxford.

Moto, misi dan visi sekolah[sunting | sunting sumber]

Misi dan visi SK Kuala Kenong adalah selaras dengan misi Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu 'melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti untuk membangunkan potensi individu bagi memenuhi aspirasi negara'.

Visi sekolah pula ialah 'Pendidikan Berkualiti, Insan Terdidik, Negara Sejahtera'. Misi dan visi ini dipegang utuh oleh setiap guru dan pelajar sekolah bagi memacu pendidikan yang berkualiti dan melahirkan modal insan yang terdidik baik dari segi sahsiah, rohani dan pemikiran.

Moto yang termaktub dalam jata sekolah ialah 'Ilmu Menerangi Hidup'. Moto ini dicipta melalui perjalanan sejarah sekolah yang panjang sehingga kini. Seluruh warga sekolah dan masyarakat setempat memegang prinsip bahawa ilmu dapat menerangi kehidupan daripada kegelapan. Dalam versi latin pula, 'Lux et sapienta', moto sekolah bermaksud hikmah dan cahaya yang membawa mesej yang sama seperti 'Ilmu Menerangi Hidup'.

Organisasi sekolah[sunting | sunting sumber]

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Kurikulum[sunting | sunting sumber]

Panitia[sunting | sunting sumber]

Kelab dan persatuan[sunting | sunting sumber]

Ko-kurikulum[sunting | sunting sumber]

Sukan dan permainan[sunting | sunting sumber]

Rumah Sukan[sunting | sunting sumber]

Tumbuh-tumbuhan[sunting | sunting sumber]

Sungai Jelai yang mengalir di sebelah SK Kuala Kenong.

Kewujudan flora yang pelbagai dan menarik di dalam kawasan sekolah disebabkan faktor lokasi sekolah yang terletak di kawasan hutan dara yang masih belum diceroboh ketika pembinaannya. Spesies tumbuhan hutan dan bunga liar boleh didapati hidup bebas di kawasan sekolah. Terdapat juga pelbagai jenis pokok buah-buahan ditanam dan tumbuh sekitar kawasan sekolah termasuklah pokok durian, limau purut, limau nipis, kuinin, bachang, nangka, kedondong, kundang, kelapa, rambutan, mangga, duku dan langsat.

Pokok Kundang[sunting | sunting sumber]

Bersebelahan bangunan pentadbiran asal (kini surau), terdapat sebatang pokok kundang atau setar yang dikatakan telah wujud sejak sebelum penubuhan sekolah. Pokok itu dikatakan telah wujud sejak hutan di kawasan Tanjung Besar (dahulunya kawasan tapak sekolah dikenali dengan nama ini) diterangkan dan didirikan sekolah. Pokok ini telah menyaksikan generasi demi generasi yang silih berganti datang dan pergi. Pokok kundang ini masih terus membesar dan teguh berdiri serta menghasilkan buah ketika musim.

Revolusi Pertanian 2008[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2008, sejumlah besar anak benih pokok getah telah dibawa masuk dan ditanam mengelilingi sekolah. Pokok-pokok getah ini dijaga dengan baik dengan nasihat dan tunjuk ajar pakar-pakar pertanian setempat. Lima tahun kemudiannya, anak pokok ini telah membesar dengan baik dibawah jagaan penduduk tempatan dan boleh mula ditoreh serta membuahkan hasil.

Tanaman organik[sunting | sunting sumber]

Sistem tanaman organik telah dijalankan sejak zaman pentadbiran guru besar Ustaz Mohamad Sidik dan kini diteruskan oleh Puan Fatimah Nor. Pada mulanya, sekolah menumpukan tanaman cili padi dan terung sebelum kini telah berkembang kepada bendi, sawi dan cili kulai. Semua hasil tanaman sayur organik ini akan digunakan di dapur sekolah untuk dimasak sebagai makanan berkhasiat kepada pelajar-pelajar. Dalam lapangan tanaman, pelajar-pelajar dilatih untuk menanam dan menjaga sendiri pokok sayur yang ditetapkan.

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Kebangsaan Kuala Kenong
Kampung Kuala Kenong
27200 Kuala Lipis
Pahang, Malaysia
Telefon = 016-9614010
E-mel sekolah = kenongreview@gmail.com

Pautan luar[sunting | sunting sumber]