Spongiforma squarepantsii

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Spongiforma squarepantsii
Pengelasan saintifik
Alam: Fungi
Divisi: Basidiomycota
Kelas: Agaricomycetes
Order: Boletales
Famili: Boletaceae
Genus: Spongiforma
Spesies: S. squarepantsii
Nama binomial
Spongiforma squarepantsii
Desjardin, Peay & T.D. Bruns
Peta Sarawak, Malaysia, lokasi Taman Negara Bukit Lambir

Spongiforma squarepantsii ialah satu spesies kulat dalam famili Boletaceae, genus Spongiforma. Kulat yang ditemui di Malaysia ini diperikan sebagai baru kepada bidang sains pada tahun 2011. Nama saintifik kulat ini berasal dari nama watak kartun SpongeBob SquarePants.

Penemuan dan penamaan[sunting | sunting sumber]

Spesies ini julung kali dihuraikan secara saintifik di Internet pada Mei 2011 dalam jurnal Mycologia, berasaskan spesimen-spesimen yang dikumpul di Taman Negara Bukit Lambir, Sarawak, Malaysia, pada tahun 2010.[1]

Nama genus Spongiforma memaksudkan sifat kandul spora yang seakan bunga karang, sementara nama julukannya, squarepantsii menandakan keserupaannya dengan watak kartun tersebut. Selain itu, para pengarang juga mendapati bahawa permukaan bersporanya agak menyerupai "dasar laut yang dilitupi bunga karang tubul, seakan-akan tempat tinggal SpongeBob" apabila dilihat dengan mikroskop elektron pengimbas.[2]

Huraian[sunting | sunting sumber]

Kandul spora Spongiforma squarepantsii berwarna jinga cerah, dengan matra selebar 3–5 cm (1.2–2.0 in) dan setinggi 2–3 cm (0.8–1.2 in). Bentuknya lebih kurang berbentuk sfera atau telur, tanpa batang. Pada permukaannya ada rabung-rabung dan lekuk-lekuk yang dalam seakan-akan otak. Kulat ini liat dan seakan-akan span — jika air dipancut keluar, ia akan pulih kepada bentuk asal dengan sendiri. Permukaannya juga ada rongga-rongga (lokul) yang agak besar dan tidak tetap bentuknya, berlapik dengan tisu yang subur (menghasilkan spora). Kandul sporanya mempunyai bau yang kuat, baik seharum buah-buahan mahupun tengik. Tisu cendawan menjadi ungu apabila dikenakan setitis 3–10% kalium hidroksida.[2]

Sporanya yang berbentuk buah badam itu ukurannya 9.5–12.5 kali 6–7 μm dengan dinding yang setebal 0.5–1.2 μm. Dalam tisu kulat ini tiadanya sambungan pengapit.[2]

Habitat dan taburan[sunting | sunting sumber]

Spongiforma squarepantsii ditemui di tanah Taman Negara Bukit Lambir, negeri Sarawak, Malaysia.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. mushroom discovered in the forests of Borneo
  2. 2.0 2.1 2.2 2.3 Desjardin DE, Peay KB, Bruns TD. (May 10, 2011). "Spongiforma squarepantsii, a new species of gasteroid bolete from Borneo" (in press). Mycologia. doi:10.3852/10-433. PMID 21558499.