Wayang Kulit Siam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Wayang Kulit Siam (atau Wayang Kulit Kelantan) ialah sejenis kesenian wayang kulit yang berasal dari negeri Kelantan Darul Naim, Malaysia. Ia merupakan salah satu dari empat jenis persembahan wayang kulit yang terdapat di Malaysia. Wayang Kulit Siam telah dikenal pasti sebagai jenis persembahan wayang kulit yang tertua di Malaysia. Selain itu, jenis wayang kulit ini juga adalah yang paling terkenal dan terpenting di Malaysia sejak dari zaman dahulu hingga kini.

Suatu ketika dahulu, kesenian Wayang Kulit Siam pernah mendapat sambutan hangat di kalangan orang-orang Melayu sehingga pengaruhnya telah tersebar dari Kelantan ke negeri-negeri jiran seperti Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak. Selain itu, kesenian ini juga pernah bertapak kukuh di empat buah wilayah di kawasan Selatan Thailand iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan sebahagian Songkhla, yang dahulunya merupakan bekas wilayah Kesultanan Melayu Patani.

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Gelaran 'Siam' yang diberikan kepada kesenian wayang kulit ini adalah dipercayai merujuk kepada negara Siam (kini Thailand). Sejarah teknik pedalangan Wayang Kulit Siam dipercayai telah dibawa masuk ke Kelantan dari Kemboja melalui Thailand. Maka dari situlah, kesenian ini diberi nama Wayang Kulit Siam.

Selain itu, kesenian Wayang Kulit Siam juga dikenali sebagai Wayang Kulit Kelantan kerana sejarah asal-usul wayang kulit itu sendiri bermula di Kelantan. Masyarakat Melayu Patani di selatan Thailand pula menyebut kesenian ini sebagai 'Wayang Kelantan' atau 'Wayang Siam Kelantan' kerana kesenian ini telah dibawa masuk ke negeri Patani dari Kelantan. Di Pahang pula, kesenian ini lebih dikenali sebagai 'Wayang Pahang' yang dipersembahkan oleh orang-orang Melayu Kelantan yang berhijrah ke negeri tersebut.

Asal-usul Wayang Kulit Siam[sunting | sunting sumber]

Sejarah mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam masih kabur dan kurang jelas hingga ke hari ini. Terdapat banyak kajian yang telah dilakukan bagi mencari bukti mengenai asal-usul kesenian ini. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa teori yang telah diutarakan oleh para pengkaji mengenai asal-usul Wayang Kulit Siam. Teori-teori tersebut adalah seperti berikut:-

Wayang Kulit Siam berasal dari Thailand

Satu teori menyebut tentang Wayang Kulit Siam yang dikatakan berasal dari Thailand. Terdapat beberapa bukti yang menyokong teori ini. Di antaranya ialah nama wayang kulit itu sendiri iaitu 'Siam', ialah nama lama bagi negara Thailand. Selain itu, penggunaan bahasa Siam / Thai dalam persembahan Wayang Kulit Siam seperti pengucapan Mantera Maharisi oleh dalang juga menyokong teori tersebut.

Walau bagaimanapun, hasil kajian mendapati bahawa teknik pedalangan Wayang Kulit Siam sebenarnya berasal dari Kemboja dan telah dibawa masuk ke Kelantan melalui Siam (Thailand). Dengan ini, penggunaan nama 'Wayang Kulit Siam' itu sebenarnya menjelaskan tentang teknik pedalangan kesenian tersebut yang dibawa masuk dari Siam. Penggunaan bahasa Siam / Thai dalam persembahan Wayang Kulit Siam pula hanyalah sekadar pengaruh budaya yang biasa sahaja.

Wayang Kulit Siam berasal dari Patani

Teori lain menyebut Wayang Kulit Siam berasal dari Patani, bekas negeri kesultanan Melayu di selatan Thailand. Wayang Kulit Siam dikatakan telah berkembang dari Patani ke Kelantan ketika zaman di mana Kelantan masih berada di bawah pengaruh Kesultanan Patani. Selain itu, bentuk dan corak pakaian pada patung Seri Rama dikatakan ditiru daripada pakaian asal Raja-raja Melayu Patani pada zaman silam.

Namun begitu, para pengkaji mendapati bahawa kesenian Wayang Kulit Siam bukan berasal dari Patani, tetapi dari Kelantan. Kesenian ini dipercayai telah berkembang ke Patani ketika zaman dimana Kelantan berada di bawah pengaruh Kesultanan Patani. Dipercayai semua penggiat kesenian Wayang Kulit Siam yang hidup pada zaman tersebut telah mereka bentuk dan corak pakaian pada patung Seri Rama menyerupai pakaian asal Raja-raja Melayu Patani pada zaman silam.

Wayang Kulit Siam berasal dari Kelantan

Satu lagi teori mengatakan teknik pedalangan Wayang Kulit Siam dibawa masuk ke Kelantan dari Kemboja melalui Thailand.[perlu rujukan] Namun begitu, hasil kajian mendapati bahawa bentuk persembahan Wayang Kulit Siam yang wujud pada hari ini adalah berasal dari Kelantan. Oleh itu, sejarah Wayang Kulit Siam bolehlah dianggap bermula di Kelantan.[perlu rujukan]

Ini terbukti apabila sumber-sumber sejarah[perlu rujukan] menyebut Wayang Kulit Siam yang pernah berkembang di negeri Terengganu, Patani, Pahang, Perak dan Kedah adalah dibawa masuk dari Kelantan. Tambahan pula, orang-orang Melayu Patani menyebut[nyatakan menurut siapa?] kesenian ini sebagai 'Wayang Kelantan' atau 'Wayang Siam Kelantan' di negeri mereka. Selain itu, persembahan Wayang Kulit Siam juga sentiasa disampaikan dalam Bahasa Melayu Kelantan tidak kira di negeri mana sekalipun ianya dipersembahan. Teori ini adalah yang paling popular dan diterima banyak pihak memandangkan terdapat banyak bukti yang ditemui bagi menyokong teori ini.

Wayang Kulit Siam Kini[sunting | sunting sumber]

Pada hari ini, Wayang Kulit Siam hanya boleh ditemui di negeri asalnya iaitu Kelantan dan juga di Terengganu. Persembahan Wayang Kulit Siam dianggap sebagai salah satu seni kebudayaan yang terpenting di negeri Kelantan. Selain itu, kesenian ini juga boleh ditonton di beberapa buah universiti seperti Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), dimana Wayang Kulit Siam telah diajar secara teori dan praktikal kepada para pelajar yang mengambil bidang tertentu. Sementara itu, persembahan Wayang Kulit Siam di negeri Pahang, Kedah, Perak dan Patani telah pun berkubur.

Tokoh Wayang Kulit Siam[sunting | sunting sumber]

  • Oye Hock Seng - satu-satunya dalang Wayang Kulit Siam yang berketurunan Peranakan Cina Kelantan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

The Encyclopedia of Malaysia : Performing Arts (Volume 8) oleh Prof. Dr Ghulam-Sarwar Yousof.