Wikipedia:Calon rencana pilihan/April 2018

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Imej komet Hyakutake yang diambil pada 25 Mac 1996

Komet Hyakutake atau gelaran rasminya, C/1996 B2 adalah sebuah komet yang telah ditemui pada 31 Januari 1996, yang melewati Bumi dengan sangat dekat pada bulan Mac tahun tersebut. Ia merupakan salah satu komet yang paling hampir dengan Bumi dalam 200 tahun yang lalu. Hyakutake menjadi sangat terang di langit malam dan hasilnya ia dapat dilihat oleh ramai orang di seluruh dunia. Komet tersebut mencuri tumpuan buat sementara daripada komet Hale–Bopp, yang menghampiri sistem suria dalam pada waktu itu, walaupun Hyakutake berada dalam keadaan yang paling cerah untuk beberapa hari sahaja.

Pemerhatian saintifik bagi komet Hyakutake membawa kepada beberapa penemuan; perkara yang paling mengejutkan bagi ahli sains komet ialah penemuan pancaran sinar-X daripada komet. Pancaran ini dipercayai disebabkan oleh zarah-zarah angin suria yang bertindak balas dengan atom-atom neutral di dalam koma komet. Kapal angkasa Ulysses juga tidak disangka-sangka melintasi ekor Hyakutake pada jarak lebih daripada 500 juta kilometer daripada nukleus komet, menunjukkan bahawa Hyakutake mempunyai ekor terpanjang yang diketahui bagi sesebuah komet.

Komet Hyakutake adalah sebuah komet bertempoh panjang. Sebelum laluan terbarunya yang merentasi sistem suria, tempoh orbitnya adalah kira-kira 15 ribu tahun, tetapi pengaruh graviti planet-planet gergasi telah meningkatkan tempoh itu kepada 72 ribu tahun. (Rencana penuh...)

Rencana pilihan sebelum ini: