Haji Awang Lambor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Abdullah bin Haji Omar)
Cendekiawan Islam
Ulama tersohor dari Kelantan
Nama: Abdullah bin Haji Omar
Gelaran: Haji Awang Lambor
Lahir: 1900
Wafat: 1963
Etnik: Melayu
Rantau: Semenanjung Tanah Melayu


Haji Abdullah bin Haji Omar atau lebih dikenali sebagai Haji Awang Lambor merupakan salah seorang guru pondok yang paling berpengaruh di Jajahan Tumpat pada pertengahan abad ke-20 Masihi. Beliau merupakan ulama yang seangkatan dengan Haji Mohd Saleh Pedada, Haji Yaakub Kelong, Haji Daud Getting dan Haji Pak Man Berangan. [1]

Haji Abdullah bin Haji Omar dilahirkan di Kg. Padang Merbau, Lambor, Wakaf Bharu, sekitar 1900. Bapanya Haji Omar bin Haji Abdul Rahman-lepasan pondok di Patani-ialah seorang Khatib di surau mukim Jal Kecik, juga adik kepada Haji Yusuf bin Haji Abdul Rahman, Imam Tua mukim Meranti di Jajahan Pasir Mas. Datuknya Haji abdul Rahman yang berasal dari Kota Bharu Reman, adalah iman perintis di surau Mukim Jal Kecik. Beliau sendiri bersepupu dengan Hajjah Zainab bt Haji Yusoff yang kemudiannya menjadi isteri kepada Tuan Guru Haji Mohd Zain Meranti, guru awalnya. Seorang sepupunya lagi ialah Haji Ahmad bin haji Yusoff , Imam Mukim meranti yang meninggal dunia pada 21 Ogos 1961. Juga bertalian dua pupu dengan Tuan Guru haji Abdullah bin Haji Ali, Kg. Jalah , Bunut Susu (meninggal 2 Ogos 1931). [2]

Manakala Pak Chu Haji Amat Saman bin Haji Abu, guru Al-Quran ternama di kawasan Lambor/ Kubang Batang sebelum bah Air Merah (1926) itu pula ialah abang iparnya. Kerana latarbelakang keluarga yang sedemikian maka tidak hairanlah jika beliau sudah mula terdedah kepada pengajian asas agama sejak kecil lagi.

Selepas menuntut beberapa ketika dengan Tok Kenali dan Tok Selehong, Beliau pergi menamat di Kota Makkah selama 9 tahun lagi. Barisan gurunya termasuk Syeikh Omar Hamdan, Tuan Mukhtar Bogor, Tok Senggoro, Tok Shafie Kedah, Pak Chik Wan Daud Patani, Haji Sulong Patani, Pak Da Ali Patani dan Syeikh Muhammad bin Syeikh Nik Dir Patani.

Pada 1934, pulang ke Kelantan lalu mendirikan Pondok Lambor yang telah melahirkan tokoh-tokoh seperti Haji Mat Nor Rushdi Haji Awang Gagah (pengasas Pondok Tasat di Legor, Thailand), Haji Wan Mat Wan Saleh (pendiri Pondok Paya Ular di Bunut Susu), Haji Mohd Nor Haji Abdullah (guru Pondok Teliar), Pak Su Che Wil Haji Abdul Rahman (Imam Tua mukim Delima), Pak Su Loman (Imam Bunut Susu), Haji Yaakub Awang, Kg Jelutong, Gunong, Bachok dan Haji Che Wil Abdul Latif, Kg Meranti Besar. [3]

Tuan Guru Haji Awang Lambor berpulang ke rahmatullah pada pukul 3 petang Sabtu 27 Zulkaedah 1382 bertepatan 20 April 1963 dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Pondok Lambor, Wakaf Bharu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Rencana asal oleh Ismail Che Daud
  1. ^ Pemikiran Islam di Malaysia: sejarah dan aliran. By Abdul Rahman Haji Abdullah
  2. ^ Haji Awang Lambor Legasi Ulama : Siri Tokoh Kelantan
  3. ^ "Pondok Lambor terpinggir. Utusan Malaysia. Oleh HAPIZAH AZIZ". Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-11-28. Dicapai pada 2018-11-28.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]



Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.