Arief Karmahani

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Arief Karmahani dilahirkan di Baling, Kedah pada 24 Februari, dan kini beliau menetap di Kuala Lumpur. Beliau mula bergiat dalam bidang senilakon sejak di bangku sekolah lagi. Beliau mengikuti pelajaran asasnya di Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang, Baling, Kedah sebelum menyambungkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah mulai Tingkatan 1 pada tahun 1966 hinggalah menamatkan pengajian menengahnya di Tingkatan 6 Atas, pada tahun 1972.

Beliau bernikah dengan Rohani Awang dan dikurniakan tiga orang cahaya mata; dua lelaki dan seorang perempuan.

Arief memasuki Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia mulai 1973 hingga 1976. Ketika sedang menunggu peperiksaan akhirnya beliau sempat menjadi guru di beberapa buah sekolah swasta di sekitar Alor Setar, antaranya termasuklah Maktab Adabi Kedah, Kolej Bakti dan Akademi Utama. Pada tahun 1977 beliau kemudiannya bertugas sebagai guru sepenuh masa di Sekolah Menengah Keat Hwa, Alor Setar sebelum bertukar jawatan sebagai Penolong Penerbit di Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) pada bulan September tahun 1979.

Arief mula menjadi penerbit dan sekaligus pengarah kepada drama-drama terbitannya di RTM sejak 1981. Beliau telah menerbit dan mengarahkan lebih 50 buah drama televisyen ketika mengundurkan dirinya dari RTM kerana mengikuti Zain Mahmood mengendalikan Teletrade Sdn. Bhd. Ketika bersama Teletrade beliau telah mengarah drama popular "Telefon" yang memperkenalkan Aida Rahim dan Corak Dunia yang membawa kembali seniwati Saadiah ke dunia seni lakonan sejak tertutupnya Studio Jalan Ampas, di Singapura.

Tawaran Fuego Film Productions Sdn. Bhd. untuk mengarahkan filem Riang Tirana karya Osman Abadi telah menyebabkan beliau bertindak meninggalkan Teletrade Sdn. Bhd. Bersama Fuego, beliau telah mengarahkan sebuah lagi filem yang diberi judul Azizah The Legend selain dari mengarahkan beberapa buah drama dan telemovie termasuk drama 6 episod popular Tanah Manisah lakonan Yusoff Haslam, Noor Kumalasari, Khalid Salleh dan Dian P. Ramlee. Tanah Manisah merupakan projek drama bersiri pertama yang diterima oleh TV3 ketika itu.

Beliau mula menjadi Pengarah bebas (Freelance Director) selepas meninggalkan Fuego pada tahun 1993. Sejak itu hinggalah sekarang beliau telah mengarah lebih 200 buah drama dan telemovie dari berbagai genre yang diterbitkan hampir semua penerbit Malaysia yang aktif. Terkini, beliau kembali melibatkan diri dengan RTM sebagai Pengarah jemputan dalam menerbit dan mengarahkan drama bersiri Mahligai Gading dan sebuah telemovie berjudul Mufarakah karya A. Rahman Shaari yang dipersembahkan secara usahasama oleh RTM-DBP.

Filem arahan[sunting | sunting sumber]