Ayah Pin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Ayah Pin
Ayah Pin berdiri di hadapan teko dan pasu gergasi di perkampungan Kerajaan Langit sebelum perobohannya.
Kelahiran
Ariffin bin Mohamad

(1941-06-22)22 Jun 1941
Meninggal dunia22 April 2016(2016-04-22) (umur 74)
Kampung Batu 13, Hulu Besut, Besut, Terengganu, Malaysia
Sebab kematianSakit tua
WarganegaraMalaysia
Terkenal keranaSebagai pengasas Kerajaan Langit
PasanganChe Minah Ramli (meninggal dunia 2012)
Jaharah Awang
Rozilan Mokhtar
Nik Kamariah Nik Pah
Anak-anak21

Ariffin Mohammed (22 Jun 1941 – 22 April 2016; Jawi: عارفين بن محمد) atau lebih dikenali sebagai Ayah Pin (Jawi: ايه ڤين) merupakan seorang pengamal ajaran sesat. Beliau ialah pengasas kepada Kerajaan Langit dan disenaraikan dalam kumpulan agama sesat.[1]

Dilahirkan di Beris, Kelantan, Ayah Pin telah menyifatkan dirinya sebagai "Tuhan" kepada semua agama dan mendakwa telah menerima wahyu dari langit untuk mengembangkan ajarannya di muka bumi. Beliau hanya bersekolah sehingga darjah 2, namun beliau dianggap oleh kebanyakan pengikutnya sebagai Tuhan dan segala yang dilakukannya berasaskan wahyu yang diterimanya dari langit. Ayah Pin dilayan seperti raja dan segala kelengkapannya disediakan seolah-olah seperti di kayangan.[2]

Pada Disember 1997, Jabatan Agama Islam Terengganu mengisytiharkan ajaran Ayah Pin palsu, sesat dan menyeleweng. Beliau pernah dihukum penjara selama 11 bulan dalam tahun 2001. Pada 2002, selepas tamat hukuman penjara, Ayah Pin dan pengikutnya mula memperluaskan Kerajaan Langit. Ayah Pin berkahwin sebanyak 4 kali, mempunyai 4 isteri (isteri pertama meninggal dunia pada 2012) dan dikurniakan 21 anak hasil dari perkahwinan tersebut. Beliau meninggal dunia pada 22 April 2016 pada usia 74 tahun akibat sakit tua.[3]

Asal usul[sunting | sunting sumber]

Ajaran sesat ini berkampung di Kampung Batu 13, Hulu Besut Terengganu. Ayah Pin menyifatkan dirinya sebagai wakil "Tuhan" segala agama. Manakala pengikut-pengikutnya pula menganggap Ayah Pin sebagai Tuhan yang menerima wahyu dari langit dan segala yang dibuatnya adalah berasaskan wahyu tersebut.

Kejayaan dan pengaruh[sunting | sunting sumber]

Dengan kehebatan Ayah Pin memimpin ajaran sesat Kerajaan Langit itu, ramai orang-orang tempatan malah luar negara dari pelbagai ugama mempercayai dan mengagungkan Ayah Pin bak setinggi langit. Ayah Pin berjaya memperalatkan dan mempengaruhi pelbagai lapisan masyarakat, agama dan status penduduk di negara ini untuk menyertai ajaran yang disebarkannya. Ini termasuklah beberapa orang artis tempatan.[4]

Pembentukan Kerajaan Langit[sunting | sunting sumber]

Jika hendak diikutkan, Ayah Pin bukannya orang cerdik pandai, malah dia buta huruf dan tidak tahu membaca. Dengan pengikut-pengikutnya itu juga, Ayah Pin membangunkan kawasan Kerajaan Langit dengan teko, pasu dan beberapa lagi replika besar untuk melambangkan kuasa Tuhan yang diamanahkan kepada dirinya untuk melindungi dan memayungi umat manusia.[5][6]

Kejatuhan[sunting | sunting sumber]

Selepas hampir 10 tahun giat dengan ajarannya di Malaysia,[7] akhirnya ajaran yang memesongkan orang ramai itu telah dihidu oleh pihak berkuasa dan agama tempatan. Dan akhirnya pengikut-pengikut Ayah Pin pula ditahan dan disoal siasat serta didakwa di mahkamah.[8] Kawasan Kerajaan Langit juga telah dimusnahkan. Ayah Pin pula menyatakan dia tidak boleh dianggap sesat kerana dia sudah mengistihar keluar dari memeluk Islam semenjak 1998 lagi.[9]

Menghilangkan diri[sunting | sunting sumber]

Ayah Pin bersama 4 isterinya

Ayah Pin telah menghilangkan diri ketika pihak berkuasa membuat serbuan, beliau bersama-sama empat isterinya telah melarikan diri daripada perkampungan tersebut.[10] Paling menghairankan sehingga ke hari ini, jejak Ayah Pin belum ditemui tetapi dikatakan melarikan diri ke selatan Thailand. Ada yang mengatakan Ayah Pin ghaib bersama isteri-isterinya.[11] Ada pula yang berpendapat, ada pihak termasuk pengikut-pengikut ekstremnya cuba menyembunyikan Ayah Pin dari pengetahuan pihak berkuasa.[12][13]

Pertikaian Polis dengan JHEAT[sunting | sunting sumber]

Pada 12 November 2008, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan kesal kerana JHEAT menyatakan Ayah Pin tidak perlu ditangkap. Musa Hassan menjelaskan pertikaian itu dalam seminar memperkasakan pentadbiran keadilan di mahkamah syariah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Gombak. Padahal Ayah Pin didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana dikatakan bertindak menghina pihak berkuasa agama di rumahnya di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada 20 Julai 2005. Ayah Pin mengingkari fatwa bahawa ajaran yang diamalkannya sesat dan menyeleweng serta boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta boleh merosakkan akidah. Polis bimbang tanggapan ramai bahawa polis tidak memberi kerjasama dan penyelarasan dengan jabatan agama Islam.[14][15]

Tetapi pada 13 November 2008, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menjelaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan rasmi kepada pihak polis Terengganu supaya jangan menahan Ayah Pin yang dikesan pulang ke Terengganu, dari Selatan Thailand. Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasa JHEAT, Mohamad Nor Mohamad menegaskan tiada perbincangan diadakan dengan polis berhubung Ayah Pin.[16] Setakat ini status siasatan JHEAT terhadap Ayah Pin kini masih di peringkat mencari bukti. Walaupun ada cakera padat Ayah Pin tetapi tidak dapat dibuktikan bila ia berlaku dan apakah ciri-ciri ajaran-ajaran tersebut. [17]

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada Jumaat, 22 April 2016, Ayah Pin meninggal dunia di kediaman isteri keempatnya, Nik Kamariah Nik Pah di kawasan penempatan mereka di Kampung Batu 13, Hulu Besut pada jam 8:30 malam pada usia 74 tahun akibat sakit tua. Beliau juga turut menghidap penyakit angin ahmar dan beberapa penyakit lain sejak menghilangkan diri dari ditahan oleh pihak berkuasa pada 2005.

Jenazah beliau dikebumikan di kampung halamannya di kawasan penempatan berkenaan yang turut menempatkan beberapa kawasan kubur lain termasuk kubur isteri pertamanya, Che Minah Ramli yang meninggal dunia pada 2012. Allahyarham meninggalkan tiga balu dan 21 anak hasil perkahwinannya dengan empat isterinya sebelum ini.[18][19]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Ajaran sesat yang diwartakan".
  2. ^ Arrest warrant for Ayah Pin never issued, says official New Straits Times (25 April 2016). Dicapai pada 28 Jun 2018.
  3. ^ Ayah Pin meninggal dunia mStar Online (23 April 2016). Diperoleh pada 28 Jun 2016.
  4. ^ Ayah Pin Tidak Pernah Menerima Didikan Islam, Kata Kenalan
  5. ^ "Pie in the sky (Feature and interview)". The Sun, Malaysia. 8 July 2005. Dicapai pada 26 December 2007.
  6. ^ Levett, Connie (20 August 2005). "Bulldozers etch boundaries of religious freedom". The Age. Dicapai pada 26 December 2007.
  7. ^ "Lawyer to represent all 45 Sky Kingdom sect followers". New Straits Times. 1 September 2005. Dicapai pada 26 December 2007.
  8. ^ "58 followers of Ayah Pin arrested". The Sun, Malaysia. 21 July 2005. Dicapai pada 26 December 2007.
  9. ^ ARIFFIN BIN MUHAMMAD @ Ayah Pin Kerajaan Langit[pautan mati kekal]
  10. ^ "Masked group attacks Ayah Pin commune". The Sun, Malaysia. 18 July 2005. Dicapai pada 26 December 2007.
  11. ^ "Three Wives of Ayah Pin Detained". Bernama. 31 July 2005. Dicapai pada 26 December 2007.
  12. ^ Levett, Connie (20 August 2005). "Bulldozers etch boundaries of religious freedom". The Age. Dicapai pada 26 December 2007.
  13. ^ "Pemimpin baru 'Kerajaan Langit'" (dalam bahasa Malay). Harian Metro. Dicapai pada 26 December 2007.CS1 maint: unrecognized language (link)
  14. ^ Ayah Pin berada di T'ganu baru-baru ini, kata polis
  15. ^ Ayah Pin Baru-Baru Ini Berada Di Terengganu, Kata Polis
  16. ^ JHEAT nafi larang polis tahan Ayah Pin
  17. ^ KES - Ayah Pin
  18. ^ "Ayah Pin meninggal dunia malam tadi". Berita Harian. 23 April 2016. Dicapai pada 27 Jun 2023.
  19. ^ "Cult leader Ayah Pin dies". Daily Express. 24 April 2016. Dicapai pada 24 April 2016.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]