Baba Eil Sepanjang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Kelahiran dan Keluarga[sunting | sunting sumber]

Nama asal beliau ialah Ismail bin Omar atau lebih dikenali sebagai Baba Eil Sepanjang. Baba ialah panggilan bagi seorang Tuan Guru di Patani. Beliau dilahirkan di Kampung Dusun Sepanjang, daerah Penarik, Patani kira-kira 20 km dari Bandar Patani. Beliau merupakan anak lelaki tunggal di antara 3 orang adik-beradik beliau.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kampung Dusun Sepanjang. Kemudian, beliau menyambung pendidikan di pondok berdekatan rumahnya (200 meter) ketika usia 14 tahun. Beliau dihantar belajar agama oleh keluarganya dengan al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Latif. Selain itu, beliau juga berguru dengan al-Marhum Tuan Guru Haji Abdul Rahman dengan mendalami pelbagai ilmu antaranya Tafsir, Hadis, Feqah, Nahu dan lain-lain. Manakala tiba musim cuti semester, Baba Eil pergi belajar di pondok lain pula bagi mengisi masa lapang.

Ketika umur beliau mencapai 21 tahun, beliau berpindah ke Pondok Haji Abdul Qader Sekam (Baba Der Sekam) yang terkenal dengan ilmu tauhid untuk belajar di sana sehinggalah umur beliau 30 tahun. Ketika di sana, beliau bukan sekadar belajar malah beliau juga turut mengajar kepada para pelajar di pondok tersebut. Beliau juga mula menerima undangan mengajar masyarakat sekitar. Antara tempat yang beliau masih mengajar hingga ke hari ini ialah Masjid Yala (lebih 21 tahun) dan Masjid Patani (lebih 22 tahun).

Ketika umur beliau 29 tahun, beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Hajah Sabariah binti Tuan Guru Haji Abdul Aziz (Pengarang Kitab Misbahul Munir). Hasil perkahwinan tersebut, beliau dikurniakan 5 cahaya mata (2 lelaki dan 3 perempuan).Selepas itu, ketika berumur 31 tahun beliau telah pergi ke Mekah dan bermuqim di sana selama 7 bulan.

Membuka pondok[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1993, setelah kembali dari Mekah, barulah Baba Eil membuka pondok di Kampung Kubang Ikan, Bandar Narathiwat yang dikenali dengan nama Maahad Darul Muhajirin. Dalam tempoh tersebut, beliau juga selalu berulang-alik ke Kelantan untuk memenuhi jemputan mengajar. Akhirnya pada tahun 1998, pondok beliau telah berpindah ke kampung beliau sendiri di Kampung Dusun Sepanjang hinggalah ke hari ini.

Rutin harian beliau dipenuhi dengan mengajar agama kepada pelajar yang datang dari pelbagai pelosok, dalam dan luar negara seperti Kemboja, Malaysia dan Burma tanpa menerima sebarang bayaran. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 200 orang pelajar yang sedang menuntut di pondok beliau. Pengajian berlangsung sepanjang tahun melainkan pada waktu cuti iaitu 15 Sya’ban hingga 15 Syawal ( 2 bulan ), cuti Raya Haji ( seminggu ) dan bulan Rabiulawal ( 1 bulan ).

Selain itu, Baba Eil juga memberi khidmat masyarakat dengan mengajar pada setiap hari Sabtu di Masjid Patani dan setiap Ahad di Masjid Yala. Kuliah Baba Eil sering disiarkan di radio tempatan.

Kitab yang diajar oleh beliau[sunting | sunting sumber]

Antara kitab yang diajar oleh beliau ialah:

a. Tauhid

1. Nur az-Zolam Syarah Aqidah al-Awwam karya Syeikh Nawawi al-Bantani.

2. Tuhfah al-Murid Syarah Jauharah at-Tauhid karya Imam Ibrahim al-Bajuri.

3. Dur as-Samin fi Aqaid al-Mu’min karya Syeikh Daud al-Fathani.

4. Mizan az-Zarari karya beliau sendiri.

5. Bakurah al-Amani karya Pak Da Eil.

6. Misbah al-Munir fi Ma’rifah Allah al-Qadir karya Tuan Guru Abdul Aziz bin Ismail al-Fathani, bapa mertua Baba Ismail Sepanjang.

7. Mawaiz al-Iman karya beliau sendiri.

8. Fath al-Majid Syarh Durr al-Farid fi Aqaid Ahl at-Tauhid karya Syeikh Nawawi al-Bantani.

9. Hasyiah asy-Syarqawi ‘ala al-Hudhudi karya Imam Abdullah asy-Syarqawi.

10. Mawaqif al-Marjan karya beliau sendiri.

b. Tafsir

1. Futuhat al-Ilahiyyah Syarah Tafsir al-Jalalain karya Imam Sulaiman bin Umar al-Jamal

2. Tafsir Nur al-Ihsan karya Tuan Guru Muhammad Sa’id bin Umar Khatib.

c. Hadis

1. Hasyiah al-Ajhuriy 'ala Syarh al-Zurqani 'ala al-Baiquniyyah karya Syeikh ‘Atiyyah al-Ajhuriy as-Syafi'e al-Azhari.

2. Futuhat al-Rabbaniyyah Syarah al-Azkar an-Nawawiyyah karya Imam Ibnu ‘Allan as-Siddiqi.

3. Dalil al-Falihin fi Turuqqi Riyadh as-Salihin karya Imam Ibnu ‘Allan as-Siddiqi.

e. Fiqh dan Usul fiqh

1. Hasyiah al-Bajuri ‘ala Syarah Ibnu Qassim al-Ghazi ‘ala Matan Abi Syuja’ karya Imam Ibrahim al-Bajuri.

2. Hasyiah an-Nafahat ‘ala Syarh al-Waraqat.

3. Hasyiah asy-Syarqawi ‘ala at-Tahrir karya Imam Abdullah asy-Syarqawi.

f. Tasawwuf

1. Penawar bagi hati karya Syeikh Abdul Qadir al-Mandili.

2. Mukhtasar at-Tazkirah al-Qurtubi karya Imam Abdul Wahab asy-Sya’rani.

Mengarang kitab[sunting | sunting sumber]

Selain mengajar, Baba Eil memenuhi masa lapang dengan mentelaah dan mengarang kitab. Antara kitab karangan Baba Eil ialah:

1. Mizan az-Zarari

2. Hikam Jawi

3. Mawaiz al-Iman

4. Mawaqif al-Marjan

Selain itu, Baba Eil juga telah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Fatwa Persatuan Ulama Fathoni.