Baharuddin Kahar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Baharuddin bin Buyung Kahar atau lebih dikenali dalam dunia sastera di Malaysia dengan nama Baharuddin Kahar. Beliau merupakan seorang novelis terkenal pada era tahun 1970-an hingga lewat 1980-an.

Kehidupan Awal[sunting | sunting sumber]

Zaman Membesar[sunting | sunting sumber]

Beliau dilahirkan pada 24 Disember 1946, di Pekan Lama, Tanjung Rambutan, Perak.

Pendidikan awal Baharuddin bermula pada tahun 1953 di Sekolah Rendah Inggeris Catur Avenue, Ipoh, Perak hingga tamat darjah enam (1959). Kemudian pada tahun 1960 beliau melanjutkan pendidikan menengahnya di Sekolah Inggeris Anderson dan lulus M.C.E. pada tahun 1965. Setelah tamat tingkatan lima, Baharuddin cuba mencari pekerjaan. Pelbagai pekerjaan pernah dilakukannya, antaranya ialah buruh, peniaga, pemuzik dan sebagai pemberita daerah bagi akhbar Berita Harian pada tahun 1973. Pada tahun 1974, Baharuddin menjadi guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tsung Wah (swasta), Kuala Kangsar, Perak. Baharuddin mengajar di sekolah tersebut sehingga tahun 1984.

Tercetusnya Minat Menulis[sunting | sunting sumber]

PADA AWAL tahun 1970-an, Baharuddin Kahar menggemari muzik dan berhasrat mahu menjadi pemuzik yang berjaya. Setelah mencuba nasib di bidang ini, usahanya tidak berhasil. Baharuddin mencuba pula bidang penulisan dan ternyata lapangan ini memang miliknya. Bakatnya terserlah dalam bidang ini dan keterlibatannya itu tidak sia-sia. Cerpen, novel dan puisi yang dihasilkannya mampu mengangkat namanya sebagai penulis berkaliber, malahan karya-karyanya dapat disebariskan dengan karya penulis terkenal yang lain.


Keterlibatannya dalam dunia penulisan bermula daripada pembacaan novel Salina karya A. Samad Said. Ketika itu Baharuddin baru menjangkau usia 17 tahun, apabila seorang teman datang dan memberinya novel tersebut. Setelah selesai membaca, terbetik keinginannya untuk menulis. Semakin hari hasrat itu semakin subur dan akhirnya terhasillah beberapa buah cerpen dan esei ringan, pada sekitar tahun 1970-an. Cerpen pertamanya berjudul "Abah Nak Jumpa Abang" tersiar dalam Utusan Zaman, 18 April 1971. Cerpen ini menjadi pendorong buat Baharuddin terus menghasilkan cerpen-cerpen yang bermutu hingga berjaya meraih beberapa hadiah menerusi sayembara sastera. Misalnya, cerpen "Bahure" dan "Longnya Laku" berjaya memenangi Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1976 dan 1981. Bagi siri Hadiah Sastera Malaysia (HSM), cerpen-cerpennya yang berjaya meraih hadiah ialah "Capa Rengat" bagi HSM tahun 1976/1977; cerpen "Sempana Ganja Iras" menerima HSM 1982/1983 dan kumpulan cerpen, Terima Kasih Tuhanku pula terpilih memenangi HSM tahun 1984/1985.

Sepanjang tahun 1985, Baharuddin mengikuti kursus penerbitan di ILO, Turin, Itali dan di Hertlepool, England. Sekembalinya ke tanah air pada tahun 1986 dan dengan pengalaman yang diperoleh dari luar negara, Baharuddin membuka syarikat penerbitan yang diberi nama Syarikat Penerbitan SS di Ipoh, Perak. Syarikat yang dikendalikan cuma bertahan selama dua tahun sahaja dan mulai tahun 1988 Baharuddin sekali lagi meninggalkan tanah air bagi melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Sumatera Utara, Medan, Indonesia tetapi kerana sebab-sebab tertentu, beliau tidak berdaya menamatkan pengajiannya itu.


Selain menghasilkan cerpen, Baharuddin juga menulis puisi dan sehingga kini lebih kurang 40 buah puisi telah tersiar dalam pelbagai majalah dan akhbar, namun kehadiran Baharuddin dalam genre ini tidak begitu ketara dan kurang diperhatikan. Selain kedua-dua genre ini, Baharuddin menghasilkan novel dan bidang penulisan ini diterokainya pada tahun 1985. Hasilnya, novel pertamanya yang berjudul Senjakala (1986) terpilih sebagai buku teks sastera peringkat Sijil Pelajaran Malaysia.

Atas kegigihan dan bakat yang dimiliki, Baharuddin terpilih sebagai penerima “Zamalah Sastera” daripada akhbar Berita Harian pada tahun 1985. Sebagai penerima kedua anugerah ini selepas Sasterawan Negara Usman Awang, Baharuddin menyiapkan penulisan sebuah novel yang mengisahkan perjuangan buruh lombong. Novel Menerjang Gelombang ini diasaskan daripada pekerjaan ayahnya sendiri. Beliau yang sering mengikut ayahnya ke lombong, dapat memerhati dan cuba memahami kerja-kerja yang harus dikendalikan oleh seorang buruh di lombong. Semasa mengusahakan projek penulisan ini, Baharuddin diberi bayaran tunai untuk membuat penyelidikan dan sara hidup bulanan selama satu tahun.

Kejayaan Baharuddin dalam bidang penulisan bukan hanya kerana bakat yang dimilikinya, tetapi disokong kuat oleh penelitian, pengalaman dan pembacaan yang luas. Karya-karya Baharuddin sama ada cerpen, puisi novel, mahupun banyak mengangkat kehidupan insaniah dan kemanusiaan. Beliau juga gemar memberi perhatian utama kepada persoalan kehidupan masyarakat bawahan seperti orang tua dan orang yang kurang sempurna sifatnya. Bagi Baharuddin, golongan ini mempunyai prinsip sendiri demi maruah dan harga diri. Selalunya, dalam menghasilkan karya, perjuangan yang Baharuddin tonjolkan melalui tokoh utamanya bukan mengarah kepada kepentingan peribadi tetapi untuk kepentingan keluarga, masyarakat dan soal hak.

Kini, beliau lebih selesa sebagai penulis bebas dan dalam proses menyiapkan novel Cerita Adam. Beliau juga berniaga untuk menampung kehidupan.

Karya[sunting | sunting sumber]

Cerpen[sunting | sunting sumber]

  • Abah Nak Jumpa Abang. Utusan Zaman, 18 April 1971
  • Bahure. Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1976
  • Longnya Laku. Hadiah Cerpen ESSO-GAPENA 1981
  • Kampung Halaman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1982
  • Sempana Ganja Iras. Hadiah Sastera Malaysia, 1982/1983
  • Terima Kasih Tuhanku. Kuala Lumpur: Warusha,1984
  • Capa Rengat. Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005

Novel[sunting | sunting sumber]

  • Senjakala. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1986
  • Menerjang Gelombang, Kuala Lumpur: Berita Publishing, 1989

Drama Radio[sunting | sunting sumber]

  • Pengorbanan - Tersiar di radio Johor Baharu sempena Hari Raya Korban 1996

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]