Berkedim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Berkedim atau dalam loghat Negeri Sembilan disebut 'kodim' adalah satu apacara di mana seseorang diterima masuk menjadi ahli sesuatu suku dalam masyarakat Adat Perpatih. Seseorang itu boleh menjadi ahli sesuatu suku atas dua sebab: (1) Orang luar yang bukan daripada kalangan masyarakat Adat Perpatih tetapi ingin menjadi ahli sesuatu suku atas sebab-sebab perkahwinan. (2) Seseorang dalam masyarakat Adat Perpatih yang ingin menukar sukunya kepada suku lain atas sebab mahu berkahwin dengan seseorang dalam suku asalnya atau untuk kepentingan pembahagian harta pusaka. Berkedim ini mempunyai tiga taraf iaitu (i) Kedim adat dan pesaka (untuk membolehkan mewarisi harta pesaka atau membeli harta dalam suku yang disertainya) (ii) Kedim adat pada lembaga (untuk tujuan persaudaraan) (iii) Kedim Tarik (lazimnya untuk anak angkat yang dibawa menyertai suku ibu angkatnya). Taraf kedim ini akan ditentukan oleh muafakat ketua-ketua adat dalam suku berkenaan.

Upacara berkedim bermula dengan Buapak dan Dato' Lembaga mengistiharkan kepada anak-anak buah perut dan suku yang hadir. Ini diikuti dengan acara bercicah darah dan tepung tawar. Bercicah darah ialah semua yang terbabit dalam upacara itu memasukkan jari ke dalam bekas yang berisi darah. Darah yang digunakan ialah darah kambing, lembu atau kerbau yang disembelih sebelum upacara bermula. Semasa bercicah darah mereka yang terbabit akan melafazakan taat setia dan bersaudara dengan suku yang disertainya. Upacara berakhir dengan doa selamat.