Buku Jalanan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Buku Jalanan ialah satu acara yang berkonsepkan peminjaman bahan bacaan secara percuma dan aktiviti-aktiviti seni. Ianya diilhamkan daripada perpustakaan bergerak menggunakan basikal di Amerika Syarikat. Buku Jalanan bermula di atas rasa keinginan untuk berkongsi budaya membaca bersama masyarakat dengan harapan ianya akan dapat mewujudkan ruang aktiviti yang melibatkan masyarakat dengan fokus kepada bahan bacaan dan aktiviti seni.[1] Buku Jalanan yang pertama diwujudkan bertempat di Shah Alam[perlu rujukan] dan seiring dengan peredaran masa, sehingga kini terdapat kira-kira 14 cawangan Buku Jalanan telah ditubuhkan.

Objektif[sunting | sunting sumber]

  • Memberi kesedaran membaca kepada orang awam
  • Menggalakkan kesedaran membaca kepada orang awam
  • Menyediakan perkhidmatan perpustakaan bergerak secara percuma

Aktiviti[sunting | sunting sumber]

  • Peminjaman bahan bacaan secara percuma- Berbeza dari perpustakaan-perpustakaan yang sedia ada, pengunjung hanya perlu meninggalkan nama dan nombor yang perlu dihubungi jika ingin meminjam bahan bacaan. Pengunjung juga boleh membaca di sekeliling tasik dalam suasana yang santai dan tanpa birokrasi.
  • Conteng-conteng- Pengunjung boleh meluahkan ekpresi seni mereka di atas kertas lukisan dan kanvas yang disediakan secara percuma. Peralatan-peralatan untuk mewarna dan melukis turut disediakan.
  • Pasar Percuma- Bertepatan dengan namanya, di sini pengunjung bebas mengambil apa-apa sahaja barang yang diletakkan di Pasar Percuma, contohnya; pakaian, alat tulis dan lain-lain. Buku Jalanan juga mengalu-alukan sumbangan apa sahaja barangan yang tidak diperlukan tetapi masih berguna kepada pihak kami untuk diletakkan di sini.
  • Bedah/Diskusi Buku- Tetamu jemputan akan dipanggil untuk menjalankan aktiviti yang dipanggil sebagai Bedah Buku. Judul buku yang terpilih akan di interpretasi dari kaca mata tetamu jemputan dan pengunjung dapat mengetahui intipati buku tersebut dengan lebih mendalam.
  • Deklamasi Puisi/Sajak- Pengunjung dijemput untuk mendeklamasikan puisi secara terbuka di Buku Jalanan. Aktiviti ini adalah salah satu inisiatif Buku Jalanan untuk mengembangkan lagi budaya seni dalam kalangan masyarakat.

Cawangan[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Shah Alam[sunting | sunting sumber]

Di atas cetusan idea bersama Mohd Zikri Bin Abdul Rahman[perlu rujukan] dan Mohd Azrie Bin Ahmad[perlu rujukan] serta dibantu oleh Ihsan bin Hassan dan digerakkan bersama oleh rakan-rakan dari kolektif Mas Joko, Buku Jalanan Shah Alam telah tertubuh pada tanggal 1 Oktober 2011, sekaligus menjadi Buku Jalanan yang pertama diwujudkan di Malaysia.[perlu rujukan]

Buku Jalanan Padang Kota[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Padang Kota bermula pada 24 Februari 2012 selepas kejayaan Buku Jalanan Shah Alam oleh beberapa wakil daripada Kolektif Mas Joko. Memilih lokasi Padang Kota Lama sebagai simbol kebebasan dan kemakmuran Pulau Pinang.Ralat petik: 'Tag <ref> tidak sah; rujukan tanpa nama mestilah mempunyai kandungan

Pada awal penubuhannya, Buku Jalanan Padang Kota berlangsung pada hari Jumaat pada minggu pertama dan ketiga setiap bulan. Buku Jalanan Padang Kota kini berlangsung pada hari Sabtu atau Ahad, bergantung pada cuaca semasa.

Buku Jalanan Ipoh[sunting | sunting sumber]

Awal ditubuhkan pada 1 Mac 2012. Buku Jalanan Ipoh merupakan buku jalanan yang ketiga ditubuhkan selepas Buku Jalanan Shah Alam dan Buku Jalanan Padang Kota. Ianya digerakkan oleh kumpulan anak muda dan terajui oleh Abdul Haiyi Ilmam, Syazureen Azrai dan Faiz Sarwani.

Setiap Ahad, 2 minggu sekali, 5 – 7 petang di Padang Sultan Abdul Aziz (Padang Polo), Ipoh, Perak.

Buku Jalanan Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Taman Tasik Titiwangsa (selepas ini disebut Buku Jalanan TITI) dicetuskan bersama oleh Saudara Mohd Hafizuddin[perlu rujukan] dan Edry Faizal[perlu rujukan] selepas mereka hadir di Buku Jalanan Shah Alam. Merasakan di Kuala Lumpur tiada lagi acara seperti ini. Maka mereka berdua bersama teman lain yang rata-ratanya berkenalan dari laman Twitter mula berkongsi idea dan pendapat. Maka 3 Jun 2012 adalah tarikh pertama buku jalanan berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa.

Buku Jalanan TITI berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa, Ahad. 2 minggu sekali.

Buku Jalanan Kota Kinabalu[sunting | sunting sumber]

Diilhamkan dari Buku Jalanan Shah Alam, kedua-dua penggerak iaitu Sharifah Nursyahidah Syed Annuar[perlu rujukan] dan Anwaruddin Tajuddin[perlu rujukan] bersama-sama melancarkan acara buku jalanan yang pertama pada 29 April 2012. Buku Jalanan Kota Kinabalu ini turut mendapat sokongan padu rakan-rakan dari Borneo Youth Revolution, #OccupyKotaKinabalu dan banyak lagi.

Buku Jalanan Kota Bharu[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Kota Bahru tercetus dari cetusan idea bersama oleh Ahmad Faqih Pauzi[perlu rujukan] dan Muizzudin Afif Mazlan[perlu rujukan] yang sebelum ini aktif bersama Buku Jalanan Titiwangsa. Dijayakan bersama beberapa rakan lain yang berada di sekitar Kelantan antaranya ialah Izzuddin Bin M. Sukrey. Ia juga turut dibantu oleh bebeerapa pelajar USM, UITM Kota Bharu dan juga guru pelatih IPG Kampus Kota Bharu. Mereka sama-sama menghamparkan buku-buku dan mengajak pengunjung untuk duduk dan baca, satu budaya biblioholisme semasa. Penulis muda yang sedang meningkat naik juga terlibat seperti Tuah Sujana yang turut mempromosikan buku Cinta Senafas Angsa serta dibantu jurugambar berkaliber seerti Azrul Fahmi. Saudara Shafiq Azli, penyair jalanan turut setia membacakan sajak sambil para pembaca enak menghadam setiap kata-kata. Buku Jalanan Kota Bharu telah tertubuh pada tanggal 30 November 2012 yang bertempat di Taman Perbandaran Tengku Anis, sekaligus menjadi Buku Jalanan yang pertama diwujudkan di Kelantan.

Buku Jalanan Cardiff[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Cardiff tercetus dari cetusan idea bersama sekumpulan pemuda Cardiff, yang sebelum ini aktif bersama Buku Jalanan lain. Dijayakan bersama beberapa rakan lain yang berada di sekitar Cardiff, Buku Jalanan Cardiff telah tertubuh pada tanggal 10 November 2012 (10.11.12) sekaligus menjadi Buku Jalanan yang pertama diwujudkan di luar Malaysia dan pertama di United Kingdom. Buku jalanan Cardiff adalah sebuah perpustakaan terbuka dan percuma untuk warga Cardiff. Tiada pendaftaran mahupun sebarang birokrasi diperlukan untuk meminjam buku di Buku Jalanan Cardiff. Buku-buku di Buku Jalanan Cardiff adalah milik individu-individu tertentu dan peminjaman boleh dilakukan dengan menghubungi sendiri pemilik buku tersebut di butiran yang tertera di bawah gambar buku.

Buku Jalanan Dungun[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Dungun telah berlangsung buat pertama kali pada 23 November 2012 di atas semangat sekumpulan anak muda dan motivasi serta inspirasi dari buku jalanan-buku jalanan yang telah wujud sebelum ini.

Buku Jalanan Kuching[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Kuching pertama dianjurkan pada tarikh 1 Mei 2012 di Waterfront Kuching dari pukul 2 petang hingga 6 petang. Buku Jalanan Kuching digerakkan oleh sahabat-sahabat dari #OccupyKuching dengan misi utama kami ialah untuk membudayakan sifat ingin membaca, pembukaan minda terhadap bahan bacaan, dan penggunaan tempat awam secara semaksimumnya.

Buku Jalanan Pasir Gudang[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Pasir Gudang tercetus dari cetusan idea bersama sekumpulan anak muda yang cintakan seni dan buku. Buku Jalanan Pasir Gudang dianjurkan di Taman Tasik Bukit Layang-layang yang terkenal dengan acara Festival Layang-layang Sedunia di Pasir Gudang. Buku Jalanan Pasir Gudang pertama kali dianjurkan pada 13 Oktober 2012. Kebiasaannya acara ini bermula pada pukul 5.00 petang dan berakhir pada pukul 7.00 malam serta dianjurkan pada hujung minggu.

Buku Jalanan Jitra[sunting | sunting sumber]

Bertempat di Tasik Darul Aman, Jitra, Kedah. Lokasi yang sememangnya menjadi tumpuan rekreasi masyarakat di sekitar Jitra. Selain menawarkan pelbagai genre buku untuk dibaca dan dipinjam, pelbagai aktiviti lain turut dianjurkan. Contohnya puisi, busking, bedah buku, flashmob simbolik Gaza, kutipan dana Gaza bersama Aqsa Syarif dan pelbagai lagi aktiviti yang dirancangkan di masa hadapan. Acara bermula seawal jam 5 petang dan berakhir selewat-lewatnya menjelang Magrib. Pengajuran Buku Jalanan Jitra dibuat dua minggu sekali, sila rujuk fanpage facebook untuk maklumat tambahan.

Buku Jalanan Bintulu[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Bintulu mulai dibuka pada 16 jun 2013 dan dianjurkan di lokasi riadah terpilih sekitar Bintulu iaitu di Waterfront Bintulu dan Pantai Temasya Tanjung Batu Bintulu, juga merupakan Buku Jalanan yang ke dua di negeri Sarawak selepas Buku Jalanan Kuching. Idea tercetus dari Marus Kamaruddin dan Siti Sarah yang sebelum ini hanya mengikuti perkembangan rakan dari cabang Buku Jalanan yang lain dan mendapat sokongan dari saudara Mohd Zikri Bin Abdul Rahman selaku pengasas Buku Jalanan. Selain itu Buku Jalanan Bintulu juga dibantu oleh sekumpulan pemuzik jalanan iaitu Bintulu Buskers yang juga menjadi krew gerakan Buku Jalanan Bintulu. Acara bermula sekitar jam 4.00 petang hingga 6.00 petang setiap hujung minggu yang melibatkan aktiviti kemasyarakatan seperti yang dianjurkan oleh rakan dari Buku Jalanan yang lain.

Buku Jalanan Petaling Jaya[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Petaling Jaya mula dibuka pada 16 Februari 2013 bertempat di Perkarangan Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Tempat yang menjadi tumpuan bagi seluruh warga penduduk sama ada bagi golongan dewasa dan kanak-kanak di sekitar Petaling Jaya, Selangor untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti beriadah dan sebagainya. Buku Jalanan Petaling Jaya adalah cawangan buku jalanan yang ketiga di Selangor selepas Buku Jalanan di Shah Alam dan di Universiti Islam Antarabangsa(UIA) di Gombak. Buku Jalanan Petaling Jaya mula digerakkan oleh Sakinah Zulkifli dan Nur Fariza Zahrin serta dibantu oleh Nurul Auni Zulkhairi. Selain mengadakan pameran koleksi pelbagai buku dan khidmat peminjaman buku-buku kepada pengunjung yang berminat, Buku Jalanan Petaling Jaya juga telah menganjurkan pelbagai aktiviti bagi menarik perhatian orang ramai yang berkunjung di Taman Jaya. Antara aktiviti lain yang dianjurkan adalah seperti aktiviti melukis dan mewarna, kelas bahasa isyarat, aktiviti 'bedah buku' serta aktiviti 'mencari harta karun' yang disertai oleh para pengunjung di Taman Jaya. Buku Jalan Petaling Jaya membuka pameran buku mereka pada hari sabtu bermula dari jam 5.00 hingga 7.00 petang setiap dua minggu sekali.

Buku Jalanan Seoul[sunting | sunting sumber]

Buku Jalanan Seoul adalah cawangan buku jalanan yang kedua diwujudkan selepas Buku Jalanan Cardiff di Wales, United Kingdom. Mula beroperasi pada awal bulan Mac 2013, lokasi buku jalanan ini bertempat di Daegongwongwangjang-ro, Gwacheon-si di pinggir bandaraya Seoul, Korea Selatan. Diusahakan oleh beberapa orang warga dan pelajar-pelajar Malaysia yang menetap di Seoul. Seperti juga di buku-buku jalanan di Malaysia, Buku Jalanan Seoul juga membuka ruang pameran mereka pada setiap hari sabtu. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan seperti siri bedah buku, persembahan dari kumpulan buskers dan sebagainya.

Buku Jalanan Tokyo[sunting | sunting sumber]

Mula beroperasi pada hujung bulan Mac 2013 merupakan cawangan buku jalanan di luar negara yang ketiga selepas Cardiff dan Seoul. Buku Jalanan Tokyo telah digerakkan oleh beberapa individu dari Malaysia yang merupakan pelajar Malaysia yang menetap di bandaraya Tokyo. Mereka adalah saudara Mohd. Azilan Azri dan Raja Mohd. Shaiful Salem dan mendapat kerjasama dari kalangan pelajar-pelajar Jepun di Universiti Waseda, mereka adalah Kenichiro Hazawa dan Matsumo Orihashi. Buku Jalanan Tokyo mengadakan pameran buku-buku dari Malaysia dan juga Jepun. Lokasi pameran mereka bertempat di Yoyogi Park, di Shibuya, Tokyo. Buku Jalanan Tokyo mengadakan pameran koleksi buku dan khidmat peminjaman secara percuma kepada orang ramai khususnya kepada penduduk di sekitar Shibuya, Tokyo pada setiap hari Ahad kecuali pada musim sejuk dari bulan November hingga Februari.

Buku Jalanan Ireland (Dublin)[sunting | sunting sumber]

Idea diusulkan sejak September 2012, tetapi hanya mula digerakkan pada Oktober 2013 oleh dua orang pelajar Malaysia di Royal College of Surgeons in Ireland iaitu Run Aziluz dan Suri Akmar. Projek pertama Buku Jalanan Ireland yang telah diberi nama "Kenapa Saya Suka Rumah Saya", terbahagi kepada dua bahagian iaitu projek video dan projek zine. Projek video ini telah mendapat sambutan daripada rakan-rakan dari Malaysia dan India. Buku Jalanan Ireland telah diperkenalkan secara rasmi kepada para pelajar Malaysia di Dublin ketika program PPIMI Book Drive - usahasama Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland dan Buku Jalanan Ireland. Dalam program ini yang berlangsung sekaligus dengan Bazar Siswa, para pengunjung dialu-alukan untuk menderma buku, selain diberi sedikit pendedahan tentang Buku Jalanan. Program outdoor pertama bakal dijalankan dalam bulan April 2014, bertempat di St. Stephen's Green Park, berhadapan dengan Royal College of Surgeons in Ireland dan Grafton Street.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Buku Jalanan. Free Malaysia Today. Capaian 7 Dis 2012

Pautan luar[sunting | sunting sumber]