Cura Si Manjakini

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Cura Si Manjakini (Jawi: ڤدڠ چورا سي منجاکيني) ialah sebilah pedang yang disebut di dalam teks Sejarah Melayu, kepunyaan Maharaja Sang Sapurba iaitu nenek moyang legenda Raja-Raja Melayu. Selama ratusan tahun, pedang ini menjadi simbol kedaulatan dan kekuasaan dalam budaya Melayu. Ia diwariskan kepada Sang Nila Utama iaitu pengasas Kerajaan Singapura Lama, kemudiannya kepada Parameswara pemerintah pertama Kesultanan Melaka, dan seterusnya kepada Muzaffar Syah I, Sultan Perak pertama. Pedang tersebut kini merupakan sebahagian daripada alat kebesaran Kesultanan Perak.[1]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Nama "Cura Si Manjakini" dikatakan berasal daripada bahasa Sanskrit, churiga (si) Mandakini yang bermaksud "bilah dari Mandakini".[2] Teori lain mengaitkan namanya dengan "Curik Man Dakini" - curik ialah perkataan Tamil-Sanskrit yang bermaksud 'membelah', man berasal daripada perkataan Sanskrit mantera, manakala dakini bermaksud mambang kecil yang dikatakan memakan daging dan darah manusia.

Legenda[sunting | sunting sumber]

Tradisi dalam Sejarah Melayu menyatakan yang pengasas dinasti pemerintahan utama di Alam Melayu ialah seorang putera bernama Sang Sapurba daripada keturunan Iskandar Agung melalui salah seorang isteri baginda yang berbangsa India.[3] Sang Sapurba, yang kemudian dikenali sebagai Sri Nila Pahlawan muncul bersama saudara-saudaranya yang lebih muda, Sri Krishna Pandita dan Sri Nila Utama di atas Bukit Seguntang, Sumatera. Putera Raja ini kemudiannya turun ke lembah Palembang di mana baginda dikahwinkan dengan Wan Sendari, puteri kepada pemerintah tempatan Demang Lebar Daun, dan seterusnya ditabalkan menjadi Raja.[3] Tidak lama kemudian, Sang Sapurba dengan diiringi para pengikutnya dikatakan melintasi pedalaman Sumatera sehingga sampai ke Tanah Tinggi Minangkabau, di mana salah seorang pahlawannya yang bernama Permasku Mambang membunuh seekor ular raksasa yang digelar Saktimuna. Sang Sapurba kemudiannya diangkat menjadi Raja, mengasaskan susur galur pemerintah Minangkabau.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Bibliografi[sunting | sunting sumber]