Anjing gunung Czech

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Czech Mountain Dog)
Anjing gunung Czech
Anjing gunung Czech jantan dan betina
Nama lainAnjing gunung Bohemia
Negara asalRepublik Czech
Trait
Jangka hayat 10–12 tahun
Anjing (Canis lupus familiaris)

Anjing gunung Czech[a] ialah satu baka yang berasal dari Republik Czech, yang mula dibiakbakakan pada tahun 1970-an. Sebagai asas kepada baka ini, anjing baka kacuk Slovakia dan baka silang daripada beberapa baka yang dibawa dari Kanada, yang dibiakbakakan untuk prestasi maksimum dalam penarikan kereta luncur salji dan baka lain, digunakan.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Anjing gunung Czech diwujudkan di bekas wilayah Czechoslovakia dengan menyilangkan čuvač Slovakia dengan anjing kereta luncur salji Kanada.[2] Pembiakbakaan silang dan pembiakbakaan bermula pada tahun 1970-an. Ia diiktiraf sebagai baka kebangsaan Czech pada tahun 1984. Niat utama penyilangan ialah anjing yang sesuai untuk keadaan gunung tempatan tetapi juga anjing yang sesuai untuk mushing. Perinduk pertama, yang terdiri daripada tujuh ekor anak anjing, lahir pada 12 Ogos 1977 di kenel Třeboň – Kopeček.[3][4] Baka ini mengalami "ledakan" terbesarnya pada tahun 1990-an, apabila ia mendapat permintaan tinggi. Kini, ia merupakan baka popular tetapi hampir tidak diketahui untuk orang awam Czech. Ia digunakan sebagai anjing peliharaan dan sebagai anjing runtuhan salji. Ia dilindungi oleh sebuah kelab baka, iaitu Kelab Anjing Gunung Czech.

Penampilan[sunting | sunting sumber]

Anjing gunung Czech berukuran setinggi 60–70 cm (24–28 in) pada paras kelasa, 56–66 cm (22–26 in) untuk betina. Ia berukuran seberat kira-kira 30–40 kg (66–88 lb) dan betinanya seberat 26–36 kg (57–79 lb).

Ia mempunyai hidung hitam dan mata bujur perang bersaiz sederhana yang memberinya ekspresi lembut dan menyenangkan. Ia mempunyai bibir kuat, yang di bawahnya gigi besar dengan gigitan gunting biasa atau gigitan penyepit tersembunyi. Telinga besar tergantung-gantung berbentuk segi tiga terletak tinggi-tinggi dan renggang-renggang. Lehernya sederhana panjang, kuat, berotot, dan tanpa lobus.

Rupa bentuk tubuh sedikit berbentuk segi empat tepat. Dadanya mencecah paras siku dan berukuran panjang dan berbentuk bujur. Abdomennya tertarik sedikit. Ekor berbulu lebatnya tepat-tepat segaris dengan belakangnya. Apabila anjing berehat, ekornya menghala ke bawah. Apabila anjing gembira atau teruja, ia mengangkat ekornya ke atas belakang dan terlihat seperti sabit. Belakangnya lurus dan kukuh. Ia bergerak dengan tungkai lurus, panjang, dan kuat dengan kaki bujur besar.

Anjing gunung Czech mempunyai kira-kira bulu putih padat, lurus, lebih keras, berbelak, dan sepanjang 10 cm dengan tompok-tompok perang atau hitam. Bulunya lebih pendek pada kepala dan di sisi hadapan tungkai dan, pada musim sejuk, bulunya tumbuh dengan lapis bulu bawah lebat. Kepalanya berwarna secara menyeluruh atau mempunyai tompok putih. Tompok-tompok pada tubuh teredear secara tidak teratur.

Perangai[sunting | sunting sumber]

Sebagai anjing sukan dan anjing pekerja serba guna, ia diniatkan untuk pergunungan. Ia menyenangkan, ramah, yakin, dan cergas. Ia tidak agresif. Ia agak mudah untuk dilatih. Ia menyukai kanak-kanak dan haiwan dan anjing lain. Ia sesuai untuk kegunaan sebagai penyelamat, gembala, pengawal, dll. Ia tidak dominan sangat. Ia suka bermain dan aktif. Ia berkelakuan menyendiri terhadap orang asing, tetapi selepas beberapa ketika ia menyukai orang asing. Ia juga merupakan anjing pengawas bagus dan mampu bertindak balas secara agresif terhadap sebarang tetamu yang tidak diundang untuk mempertahankan keluarganya.

Anjing gunung Czech hidup sehingga sekitar 11–12 tahun.

Penjagaan[sunting | sunting sumber]

Ia tidak memerlukan sebarang penjagaan khas, tetapi ia menuntut pendidikan dan pergerakan. Ia merupakan anjing cergas dan bertenaga. Maka, ia memerlukan tempat untuk melepaskan tenaga dan kecergasannya. Oleh itu, ia lebih sesuai untuk rumah dengan kebun dengan padok besar. Yang paling penting, ia suka bekerja dan berjalan-jalan lama-lama di alam semula jadi.

Ia memerlukan pelatihan dan pengasuhan. Ini mesti jelas dan mesti dipelajari sejak usia anak anjing. Ia mesti dibimbing dengan tangan tegas. Ia tidak menyukai layanan kasar. Hukuman fizikal adalah tidak sesuai.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jawi: انجيڠ ݢونوڠ چيک; Czech: český horský pes; bahasa Inggeris: Czech mountain dog

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Český horský pes Psi Plemeno / Druh". iFauna (dalam bahasa Czech). Dicapai pada 26 Mac 2024.
  2. ^ "Český horský pes". rozhlas.cz (dalam bahasa Czech). 4 Ogos 2009. Dicapai pada 26 Mac 2024.
  3. ^ "Český horský pes". ceskyhorskypes.cz (dalam bahasa Czech). Dicapai pada 26 Mac 2024.
  4. ^ Kučerová, Sabina (23 November 2016). "Český horský pes je nejmladší české plemeno. Jeho praotec je z Kanady". iDNES.cz (dalam bahasa Czech). Dicapai pada 26 Mac 2024.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]