Pergi ke kandungan

Dressage

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pesaing dressage peringkat tinggi yang melakukan trot merentang

Dressage (istilah bahasa Perancis yang sering diterjemahkan kepada "latihan") merupakan sejenis sukan ekuestrian kompetitif yang ditakrifkan oleh Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa sebagai "ekspresi tertinggi latihan kuda", yang mana "kuda dengan penunggangnya diharapkan untuk melakukan serantaian lagak yang dirancang dari hafazan."[1] Pertandingan-pertandinga dianjurkan di semua peringkat dari amatur hingga Sukan Ekuestrian Sedunia. Tujuan asasnya adalah memajukan kebolehan dan kesanggupan olahraga seseekor kuda melalui kaedah-kaedah latihan progresif terselaras, dengan dengan itu memaksimumkan potensinya sebagai kuda tunggangan. Di kemuncak perkembangan gimnastik seseekor kuda dressage, kuda itu akan lancar bergerak balas kepada bantuan yang minimal daripada penunggang yang mahir. Si penunggang akan bersenang dan kelihatan tidak bersusah-payah sementara si kuda dengan sanggupnya melakukan lagak yang dikehendaki. Dressage juga dikenali sebagai "balet kuda." Biarpun jurus ini berakar-umbi di Eropah pada zaman purba, namun dressage mula-mula diiktiraf sebagai usaha ekuestrian yang penting pada zmaan Renaissance. Para pengunggang kuda handalan Eropah pada ketika itu telah mencipta suatu sistem latihan berturutan yang tidak banyak berubah semenjak itu.

Dalam pertandingan dressage moden, keberkesanan latihan di pelbagai peringkat ditunjukkan dengan melakukan "ujian", iaitu seturutan lagak yang ditetapkan untuk dilakukan di dalam sebuah gelanggang yang piawai. Para pengadil menilai setiap lagak berasaskan piawaian objektif yang bersesuaian dengan tahap ujian serta memberikan markah kosong hingga sepuluh untuk setiap lagak – kosong untuk "tidak terlaksana" dan 10 untuk "cemerlang".

Kuda dressage

[sunting | sunting sumber]
Seekor kuda Andalusia melakukan passage

Semua kuda tunggangan memanfaatkan penggunaan prinsip-prinsip dan teknik-teknik latihan dressage. Baka-baka kuda yang paling sering ditemui di Sukan Olimpik dan lain-lain pertandingan FEI adalah dalam kategori berdarah suam.

Dalam persembahan dressage klasik bukan kompetitif yang melibatkan lagak-lagak "angkat kaki", yang paling kerap terdapat adalah baka-baka kuda "Baroque", terutamanya Lipizzaner.

Arenanya terdapat dua saiz, iaitu kecil dan piawai. Di setiap arenah terdapat kon-kon berhuruf yang ditetapkan pada kedudukan-kedudukan di sekitar arena untuk ujian dressage untuk menentukan di mana lagak tertentu dikehendaki.

Arena kecil besarnya 20 m kali 40 m (66x131 kaki), digunakan untuk eventing tahap asas dalam fasa dressage, dan juga untuk ujian-ujian USDF Introductory dan USEF Training Level. Huruf-hurufnya di keliling tepi luaran arena, mengikut arah jam mulai dari tempat kemasukan, adalah A-K-E-H-C-M-B-F. Turutan ini boleh dihafaz secara mnemonik, misalnya ayat "All King Edward's Horses Can Make Big Fences." Huruf juga menandakan kedudukan di tengah arena: di sepanjang garisan tengah ialah D-X-G, dengan X di pusat. Semenjak bergabungnya ujian-ujian Equine Canada (EC) dan United States Dressage Federation (USDF) pada tahun 2003, arena kecil tidak lagi digunakan untuk pertunjukan bertaraf di Amerika utara.

Arena dressage piawai, 20 m kali 60 m

Arena piawai besarnya 20 m kali 60 m (66x197 kaki), digunakan untuk ujian-ujian dalam dressage (USEF First Level ke atas) dan eventing. Huruf-huruf arena dressage piawai adalah (mengikut arah jam dari tempat permulaan) A-K-V-E-S-H-C-M-R-B-P-F. Huruf-huruf di lambung panjang arena, paling dekat dengan sudut, adalah 6 m (19.7 kali) ke dalam dari sudut, dan 12 m (39.4 kaki) jaraknya dengan satu sama lain. Huruf-huruf di tengah-tengah arena adalah D-L-X-I-G, dengan X sebagai pusatnya.

Ujian dimulakan dengan kuda turun padang di A. Sentiada ada pengadil yang berdiri di C, tetapi untuk pertandingan bertaraf tinggi, boleh terdapat sehingga tujuh orang pengadil yang berlainan tempat di sekeliling arena — di C, E, B, K, F, M, dan H — yang membolehkan mereka untuk melihat kuda di setiap lagak dari kesemua sudut. Ini mencegah kesilapan tertentu daripada terlepas pandang, yang mungkin sukar untuk dilihat oleh pengadil dari hanya satu tempat di arena. Contohnya, kelurusan perjalanan kuda di sepanjang penjuru boleh dinilai oleh pengadil-pengadil di M dan H.

Arena dressage juga mempunyai garisan pusat (dari A ke C, melalui X di tengah-tengah), di samping dua garisan suku (di tengah-tengah celah di antara garisan pusat dan lambung panjang arena).

Pertandingan

[sunting | sunting sumber]

Pertandingan dressage terdiri daripada serantaian ujian individu yang beransur-ansur bertambah susah. Peserta dressage boleh bermula di pertandingan setempat kecil-kecilan tanpa taraf sebagai ujian tahap Introductory (pendahuluan) di mana para penunggang perlu mahir dalam free walk, jalan, trot, dan dua pusingan working canter dalam ujian C pendahuluan. Ujian-ujian tahap Training (latihan) dan First (pertama) mengehendaki lenggok berjalan serta trot dan kanter merentang di samping leg yield dan free walk, demi kuda yang anjal dan gemalai. Di pertandingan bertaraf, kuda dan penunggang memaju melalui tingkat-tingkat bersenggat tentuan lembaga ekuestrian negara, yang mana setiap ujian berikutnya bertambah sukar. Pasangan kuda dengan penunggang yang paling cemerlang menjalani ujian-ujian bertaraf tinggi yang ditentukan oleh Persekutuan Sukan Ekuestrian Antarabangsa (FEI). Pertandingan moden yang paling luhur adalah Grand Prix, iaitu tahap yang dipertandingkan di temasya antarabangsa berprestij seperti Sukan Olimpik.

Dressage di peringkat antarabangsa yang berlandaskan peraturan FEI terdiri daripada tahap-tahap berikut: Prix St. Georges, Intermediate I, Intermediate II dan Grand Prix. Selain itu, terdapat sekitar empat ke enam tahap rendah yang diselia di negara masing-masing. Tahap-tahap rendah mengehendaki lenggok-lenggok asas, pusingan besar-besar, dan collection yang lebih mudah daripada peringkat antarabangsa. Lagak sisian tidak diperlukan di tahap-tahap permulaan, malah lagak-lagak seperti leg yield, shoulder-in, atau haunches-in diperkenalkan secara beransur-ansur mengikut kemajuan kuda.

Selain pertandingan, juga terdapat tradisi dressage klasik, iaitu dressage sebagai kesenian. Tradisi pencipta dressage dipelihara oleh Sekolah Menunggang Sepanyol di Vienna, Austria, Sekolah Seni Berkuda Portugis di Lisbon, Portugis dan Cadre Noir di Saumur, Perancis. Latihan-latihan ini juga diterapkan dalam sukan laga lembu Portugis dan Sepanyol.

Ujian dressage merupakan turutan rasmi yang terdiri daripada beberapa lagak dressage yang dipertandingkan. Dalam persaingan sesama pasangan kuda-penunggang, hanya sepasang yang turun gelanggang pada satu-satu masa, dan setiap pasangan dinilai berasaskan piawaian tertentu dan bukannya diberi markah berbanding dengan peserta lain.

Di peringkat tertinggi, ujian untuk pertandingan antarabangsa termasuk Olimpik diadakan atas restu FEI. Untuk peringkat lebih rendah, dan sebagai latihan dressage, setiap negara menganjurkan ujian tersendiri.

Setiap ujian terbahagi kepada beberapa bab berturut-turut yang mengandungi satu atau lebih lagak. Setiap bab diberi markah dari satu hingga sepuluh seperti berikut:

  • 10 Cemerlang
  • 9 Sangat bagus
  • 8 Bagus
  • 7 Agak bagus
  • 6 Memuaskan
  • 5 Sederhana
  • 4 Tidak mencukupi
  • 3 Agak teruk
  • 2 Teruk
  • 1 Sangat teruk
  • 0 Tidak terlaksana[2]

Setiap markah disertakan dengan "ulasan" yang menerangkan kekurangan atau kelebihan penunggang dan kuda dalam lagak mereka.

Selain markah untuk lagak, markah juga diberikan untuk sifat-sifat umum seperti lenggok jalan kuda, kepatuhan, dorongan dan prestasi penunggang. Sesetengah bab diberatkan lagi dengan penggunaan pekali, iaitu biasanya dua kali ganda untuk markah yang diberikan dalam bab berkenaan.[3] Lagak-lagak yang dikenakan pekali sering dianggap sebagai amat penting kepada kemajuan kuda dalam latihan, dan seharusnya dilaksanakan dengan cekap sebelum memaju ke taraf pertandingan yang seterusnya. Markah-markah untuk penggunaan lenggok jalan, kepatuhan, dorongan, dan prestasi penunggang tersebut ditentukan dengan pekali.

Peringkat antarabangsa

[sunting | sunting sumber]
Dressage di Sukan Olimpik 1980

Di peringkat antarabangsa, ujian-ujian dressage seliaan FEI ialah Prix St. Georges, Intermediare I, Intermediare II, dan Grand Prix. Ujian-ujian dressage yang diadakan di Sukan Olimpik adalah Grand Prix. Tahap ujian ini mengehendaki kemahiran dan daya tumpuan yang setinggi-tingginya pada kuda dan penunggangnya.

Antara acara-acara dressage Grand Prix adalah:

Piaffe
Trot yang tenang dan terangkat (namun langkah ke depan yang minimal dibenarkan tanpa penalti dalam pertandingan kerana demikianlah cara melakukan lagak ini secara semula jadi)
Passage
Trot yang teramat kendur, yang mana si kuda amat terangkat langkahnya dan tampak berjeda antara turunan-turunan kaki (ampaiannya hebat ketika melangkah).

Sewajarnya dalam piaffe dan passage, temponya seharusnya sama dengan trot.

Lenggok rentang
Biasanya dilakukan ketika trot dan kanter, kuda merentangkan langkah sejauh-jauhnya dengan kemaraan yang hebat. Kuda Grand Prix mempamerkan rentangan trot yang menakjubkan. Jalan rentang, walaupun tidak tampak mengagumkan, tidak kurang pentingnya kerana menunjukkan bahawa si kuda mudah melentur tegang dalam lagak-lagak yang lebih kendur.
Lenggok kendur (trot and canter)
Pemendekan langkah yang mana si kuda menurunkan bahagian punggung dan kaki belakangnya, serta menumpukan berat badannya kepada bahagian punggung. Tempo tidak berubah, cuma si kuda memendekkan dan mengangkat langkahnya.
Flying change berturutan
Juga dikenali sebagai "tempi" di peringkat ini, si kuda bertukar kaki mendulu (kanan ke kiri dan sebaliknya) apabila berkanter pada setiap selangkah (satu tempi atau "onesey"), dua langkah (two tempi), atau tiga langkah (three tempi).
Pirouette
Belokan 360 atau 180 darjah (bergantung pada peringkat) yang lazimnya dilakukan ketika kanter. Dalam ujian Freestyle atau muzik (kür), belokan sebanyak 720° dibenarkan untuk Grand Prix.
Half-pass
Lagak yang mana si kuda berjalan secara pepenjuru, melangkah ke sisi dan ke depan pada masa yang sama, sambil lentur sedikit ke arah pergerakan.


Pautan luar

[sunting | sunting sumber]


Templat:Equestrian Sports