Formulasi racun makhluk perosak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Pekerja sedang membancuh formulasi racun perosak ke dalam tangki semburan.

Formulasi racun makhluk perosak adalah proses formulasi yang dijalankan oleh sesuatu pengeluar racun perosak dengan mencampurkan sesuatu sebatian kimia dengan bahan-bahan lain seperti bahan pengemulsi, pelarut atau agen pembasah tertentu. Racun perosak tidak digunakan dalam bentuk bahan kimia tetapi sebaliknya sebatian kimia tersebut perlu diproseskan terlebih dahulu oleh pengilang sebelum boleh digunakan. Racun perosak boleh digunakan dengan hanya mengikut cara-cara yang diberikan pengeluar. Biasanya pengguna hanya perlu mencairkan racun tersebut atau boleh juga digunakan terus bergantung kepada jenis formulasi. Faedah-faedah lain yang boleh didapati daripada formulasi itu ialah:

  1. meningkatkan fitotoksik racun rumpai
  2. membolehkannya lama disimpan dan tidak cepat rosak akibat perubahan cuaca dan masa
  3. mudah diurus oleh pengguna.

Sesuatu racun perosak boleh didapati dalam beberapa bentuk formulasi yang berbeza iaitu sama ada dalam bentuk emulsi pekat, serbuk atau granul. Walaupun begitu, keadaan ini jarang terdapat dalam pasaran kerana kebanyakan racun perosak akan ada dalam satu bentuk sahaja. Sekiranya terdapat beberapa bentuk formulasi bagi satu jenis racun perosak, maka pengguna mempunyai peluang untuk memilih formulasi yang lebih berkesan bagi sesuatu perosak. Pemilihan boleh dibuat berasaskan keberkesanan dalam mengawal perosak dan kesesuaian alat penyembur. Selain daripada itu faktor-faktor lain seperti masalah hanyutan dan kesan kecedaraan ke atas bahagian-bahagian yang dikawal juga mempengaruihi pemilihan sesuatu bentuk formulasi.

Formulasi terlarut-campur air[sunting | sunting sumber]

Emulsi pekat[sunting | sunting sumber]

Bahan ini merupakan formulasi cecair yang perawis aktifnya boleh larut dalam pelarut yang tidak larut air. Oleh itu apabila dicampurkan dengan air, formulasi ini akan membentuk emulsi pekat. Bagi mengurangi pembentukan emulsi, maka pengemulsi dicampurkan ke dalam formulasi tersebut oleh pengilang. Penambahan bahan pencegah emulsi membolehkan larutan homogen terbentuk dengan saiz globul pelarut kurang daripada 10 μm ketika berada dalam air. Selain daripada penggunaan pengemulsi, percampuran pada kadar yang sesuai juga boleh mengurangi masalah pembentukan emulsi. Kestabilan emulsi dipengaruhi oleh pH air dan keadaan di mana formulasi itu disimpan. Suhu simpanan yang terlalu tinggi boleh mempengaruhi kestabilan formulasi berkenaan.

Biasanya formulasi emulsi pekat ini boleh didapati dalam dua jenis iaitu cecair berkepekatan rendah, mengandungi 1-10% perawis aktif dan cecair berkepekatan tinggi mengandungi perawis aktif 10-80% atau lebih. Cecair berkepekatan rendah boleh digunakan untuk mengawal serangga yang terbang atau merayap sementara cecair berkepakatan tinggi pula digunakan kepada buah-buahan atau sayur-sayuran, haiwan ternakan dan untuk mengawal perosak-perosak yang lain.

Formulasi cecair berkepekatan rendah boleh terus digunakan tanpa perlu dicairkan. Formulasi ini sangat sesuai untuk kegunaan dalam rumah kerana ia cepat kering serta tidak meninggalkan bekas atau warna pada pakaian atau barangan lain. Bagaimanapun, bentuk ini harganya mahal jika dilihat dari segi kuantiti perawis aktif yang terdapat di dalam bekas.

Formulasi yang berkepekatan tinggi jauh lebih murah jika dilihat dari segi kuantiti bahan yang terkandung di dalamnya. Ia memerlukan hanya sedikit goncangan sahaja dan sesuai untuk penyemburan isipadu rendah. Kelebihan lain juga pengguna tidak perlu mengangkut racun dalam kuantiti yang banyak ke tempat kerja.

Walau bagaimanapun, formulasi yang berkepekatan tinggi mempunyai beberapa kelemahan. Pengguna mudah membuat kesilapan ketika membancuh kerana kepekatannya yang agak tinggi, akibatnya kepekatan racun mungkin terlalu tinggi atau terlalu rendah daripada dos yang disyorkan. Kesilapan ini sangat mudah berlaku jika arahan tidak diikuti dengan teliti serta menggunakan alat pengukur yang tidak tepat. Ia juga sangat merbahaya kepada pengguna kerana boleh memasuki tubuh melalui kulit dan mempunyai sifat fitotoksik. Di samping itu, formulasi ini boleh menyebabkan kerosakan gasket pam kecuali jika digunakan getah neopren.

Serbuk basah[sunting | sunting sumber]

Serbuk basah merupakan formulasi kering yang mengandungi perawis aktif yang tinggi. Apabila formulasi ini dicampurkan dengan air ia akan membentuk ampaian. Bagi mengelakkan ampaian ini daripada terbentuk maka formulasi itu telah dicampurkan dengan bahan pembasah kerana tanpa bahan ini, formulasi itu mungkin sukar berpadu dengan air.

Racun perosak dalam bentuk ini sering digunakan untuk mengawal berbagai-bagai jenis perosak. Jika dibandingkan dengan formulasi emulsi pekat, ternyata formulasi ini secara relatifnya murah, senang disimpan dan mudah untuk diangkut. Ia lebih selamat kepada para pengguna. Di samping itu kerja-kerja penyediaan bahan semburan juga lebih mudah.

Bagaimanapun, formulasi serbuk basah mudah tersedut oleh pengguna ketika kerja-kerja mencampur dijalankan. Bagi mengatasi masalah ini pengguna perlu mengambil langkah-langkah keselamatan dengan cara menggunakan penutup hidung dan sebagainya. Satu lagi kelemahan formulasi ini ialah kecenderungannya membentuk endapan di dalam tangki penyembur. Oleh yang demikian tangki yang berisi racun perlu digoncangkan bagi mengelakkan endapan ini terjadi. Selain daripada itu, endapan terbentuk di dalam tangki sering menyebabkan alat penyembur tersumbat dan cepat rosak.

Serbuk larut air[sunting | sunting sumber]

Seperti juga dengan formulasi serbuk basah, formulasi ini merupakan formulasi kering. Bagaimanapun ia berbeza dengan serbuk basah kerana kemampuannya membentuk larutan apabila dicampur dengan air. Biasanya formulasi ini mengandungi perawis aktif racun perosak dalam lingkungan 50%. Formulasi ini mempunyai kebaikan dan keburukan sama seperti serbuk basah.

Formulasi lain[sunting | sunting sumber]

Kebolehaliran (Conductivity)[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa racun perosak yang hanya boleh dibuat dalam bentuk pepejal sahaja. Bahan ini dihancurkan dan kemudian dicampurkan dengan cecair bersama-sama bahan lain lalu membentu ampaian dan hanya boleh dijual dalam bentuk cecair pekat. Formulasi ini mudah digunakan, iaitu dengan hanya menuangkannnya ke dalam tangki penyembur.

Walaupun formulasi ini boleh mendap di dalam tangki tetapi ia tidak perlu digoncangkan selalu bagi mengelakkan endapan berlaku. Jika dibandingkan dengan larutan pekat, ia kurang merbahaya dan di samping itu tidak perlu dibawa dalam kuantiti yang banyak setiap kali hendak digunakan. Pengukuran yang cermat perlu dibuat ketika menjalankan kerja-kerja pencairan bagi memastikan kepekatannya tidak banyak beza daripada apa yang diperlukan.

Debu[sunting | sunting sumber]

Debu merupakan formulasi kering yang mengandungi kepekatan racun sangat rendah iaitu 1-10% dan dicampurkan dengan bahan lengai lalu dihancurkan suapaya menjadi halus seperti debu. Formulasi ini selalunya digunakan dalam bentuk kering tanpa perlu dicampurkan dengan air atau pelarut. Oleh itu ia sangat mudah digunakan terutama untuk suatu kawasan yang kecil. Debu mudah melekat pada daun yang terutama di waktu pagi.

Disebabkan saiz debu ini sangat kecil maka ia mudah diterbangkan oleh angin ke tempat lain di luar sasaran. Keadaan ini menyebabkan ia tidak begitu sesuai digunakan secara terbuka terutama di kawasan yang luas. Jika hari hujan, debu yang melekat di permukaan daun akan mudah dibasuh oleh air hujan. Ini boleh menyebabkan kerugian besar jika ia digunakan di kawasan yang luas.

Granul[sunting | sunting sumber]

Formulasi ini menyerupai debu tetapi dengan saiz yang lebih besar. Seperti juga debu, formulasi ini boleh digunakan terus tanpa memerlukan sebarang percampuran atau pencairan. Perawis aktif formulasi ini pada asalnya berada dalam bentuk cecair tetapi telah digaul dengan butiran dan menyebabkan bahan aktif tadi melekat atau meresap masuk ke dalam butir tadi. Butir-butir tersebut merupakan pembawa racun perosak. Jumlah perawis aktif, yang terdapat dalam formulasi ini ialah antara 2 hingga 45%.

Granul biasanya digunakan kepada tanah untuk mengawal perosak yang terdapat di atas atau di bawah permukaan tanah. Akar pokok boleh menyerap racun dari dalam tanah dan disebarkan ke seluruh bahagian tumbuhan. Terdapat beberapa jenis racun serangga dan racun rumpai yang dibuat dalam bentuk ini.

Formulasi ini mempunyai beberapa kelebihan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, ia tidak perlu dicairkan lagi tetapi sebaliknya boleh digunakan terus kepada tanah. Penggunaan secara terus ini mengurangi kesilapan ketika membancuh. Granul boleh digunakan dari udara kerana ia sukar ditiup angin ke tempat lain.

Umpan[sunting | sunting sumber]

Umpan merupakan makanan atau bahan-bahan tertentu yang dicampurkan dengan racun. Bahan makanan ini menjadi daya penarik kepada perosak. Umpan boleh digunakan di tempat-tempat kediaman dan pejabat untuk mengawal tikus atau lalat. Di ladang, formulasi ini digunakan untuk mengawal siput, lintah bulan, tikus serta burung.

Formulasi ini sangat mudah digunakan iaitu dengan hanya meletakkannya di tempat-tempat yang sesuai. Kuantiti racun dalam umpan sangat rendah, oleh itu ianya tidak akan menimbulkan masalah terhadap alam sekitar. Bagaimanapun kecuaian meletakkan umpan boleh membahayakan kanak-kanak. Haiwan-haiwan ternakan juga mungkin menjadi mangsa jika umpan diletakkan di tempat terbuka.

Pewasap[sunting | sunting sumber]

Pewasap merupakan formulasi yang berada dalam bentuk gas atau cecair yang mudah meruap. Gas ini boleh terhidu atau diserap oleh kulit. Pewasapan sering digunakan untuk mengawal serangga perosak dalam stor simpanan bijirin dan mengawal nematod, serangga serta kulat patogen di dalam tanah. Selalunya kerja-kerja pewasapan dilakukan kepada tanah untuk kegunaan di rumah hijau. Di rumah-rumah kediaman pula, pewasapan juga boleh dilakukan terutamanya apabila formulasi lain tidak boleh sampai ke sasarannya.

Pewasapan dapat memberi kesan secara menyeluruh yang membolehkan berbagai-bagai perosak dapat dikawal. Dalam masa yang sama juga, dengan sekali guna sahaja ia boleh membunuh biji-biji rumpai, serangga, nematod, moluska dan agen penyakit di dalam tanah. Gas pewasap boleh memasuki celah-celah butir tanah dan rekahan bangunan, oleh itu tidak ada perosak yang boleh terlepas daripada menerima kesan.

Gas-gas yang digunakan dalam kerja-kerja pewasapan agak merbahaya kepada para pengguna. Oleh itu pengguna perlu mengambil langkah keselamatan di samping mengetahui teknik penggunaannya yang betul.

Aerosol[sunting | sunting sumber]

Aerosol merupakan racun perosak yang berada di bawah tekanan dan diisi dlaam bekas-bekas tertentu. Racun akan terbebas melalui lubang kecil apabila punatnya ditekan. Aerosol digunakan di rumah-rumah kediaman untuk mengawal lalat, semut, lipas dan nyamuk. Terdapat juga aerosol yang diisi dalam bekas yang besar untuk digunakan di ladang. Bekas ini boleh diisi semula apabila isiannya habis digunakan.

Aerosol mempunyai banyak faedah terutama untuk kegunaan di rumah-rumah kediaman. Ia mudah digunakan, murah dan mudah disimpan. Kandungan tidak rosak jika disimpan lama. Bagaimanapun kandungan perawis aktif aerosol agak rendah dan hanya sesuai untuk kegunaan di kawasan yang terhad. Bekas aerosol ini sangat merbahaya, oleh itu ia perlu disimpan dengan baik agar tidak diambil oleh kanak-kanak. Bekas kosong pula mudah meletup jika dibakar dan boleh menyebabkan kecederaan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Ismail, S. (1988). Racun Makhluk Perosak. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]