Institut Integriti Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Institut Integriti Malaysia (IIM)
Intisari agensi
Dibentuk4 Mac 2004
Ibu pejabatPersiaran Tuanku Syed Sirajuddin, Bukit Tunku, 50480 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
Eksekutif Agensi
  • Tan Sri Mohd Zuki Ali, Pengerusi
  • Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi, Ketua Pegawai Eksekutif
Agensi induk
Jabatan Perdana Menteri Malaysia
Laman sesawang
http://www.integriti.my/

Institut Integriti Malaysia (IIM) ditubuhkan di bawah Akta Syarikat pada 4 Mac 2004 berfungsi sebagai Syarikat Berhad Menurut Jaminan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertujuan mengkoordinasi, memantau dan menilai pelaksanaan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang kini telah diganti dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada Januari 2019.

IIM bertanggungjawab membangunkan kompetensi dan kapasiti semua sektor awam dan swasta dalam aspek Governans, Integriti dan Antirasuah menerusi penawaran perkhidmatan konsultasi, instrumen dan program latihan.

Sejarah Penubuhan IIM[sunting | sunting sumber]

Pada 1 November 2003, Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan penubuhan Institut Etika Awam serta melaksanakan Pelan Kewibawaan Nasional ke arah menggalakkan urus tadbir yang berkesan, akauntabiliti serta kecekapan sektor awam dan swasta. Pengumuman ini dibuat pada sidang akhbar sejurus mempengerusikan mesyuarat kabinet pertama di Putrajaya setelah dilantik memegang jawatan Perdana Menteri. Susulan pengumuman tersebut, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah merasmikan penubuhan Institusi Etika yang dikenali sebagai Institut Integriti Malaysia (IIM) dan turut melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) pada 23 April 2004.

IIM ditubuhkan sebagai agensi penyelaras dan pemantau pelaksanaan PIN dengan objektif membangunkan sebuah negara Malaysia yang berintegriti, berdaya tahan dan menghayati nilai-nilai murni sejagat. Kerajaan juga telah mengisytiharkan 5 November 2005, sebagai Hari Integriti Nasional dalam usaha membudayakan integriti, memupuk nilai-nilai murni sejagat serta memperteguhkan tadbir urus di kalangan masyarakat.

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Ahli Lembaga Pengarah bertanggungjawab mentadbir dan menetapkan dasar Institut Integriti Malaysia (IIM). Ahli Lembaga Pengarah IIM terdiri daripada tujuh ahli dan dipengerusikan oleh Tan Sri Mohd Zuki Ali [1]. Manakala Kumpulan Pengurusan IIM diketuai oleh YBhg. Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif bermula tahun 2022 [2].

Pelan Integriti Nasional[sunting | sunting sumber]

Pelan Integriti Nasional (PIN) ialah sebuah pelan induk yang diperkenalkan bagi memberikan hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen atau sektor masyarakat dan negara. PIN juga memupuk, menyemai dan membaja sistem kehidupan masyarakat dan negara dalam usaha besar membina sebuah masyarakat yang bermoral dan beretika, sekaligus negara yang berintegriti.

Pelan Antirasuah Nasional (NACP)[sunting | sunting sumber]

Idea asal Pelan ini tercetus semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 di mana Pakatan Harapan memberikan penekanan kepada usaha untuk memastikan Malaysia dikenali kerana integriti dan bukannya rasuah. Usai PRU-14, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada 8 Jun 2018 telah memutuskan bahawa satu pelan antirasuah yang menyeluruh perlu dirangka dengan segera untuk menangani isu berkaitan rasuah di negara ini. Maka terhasillah Pelan Antirasuah Nasional (NACP) sebagai dokumen utama Kerajaan Malaysia yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah. Pelan ini akan menjadi pelan pertama seumpamanya yang merangkumkan isu tadbir urus, integriti dan antirasuah dalam suatu kerangka bersepadu.

Visi NACP adalah untuk mewujudkan negara bebas rasuah melalui penetapan tiga matlamat khusus iaitu Kebertanggungjawaban dan Kredibiliti Kehakiman, Pendakwaan dan Agensi Penguatkuasaan Undang-Undang; Penyampaian Perkhidmatan Awam yang cekap dan responsif; dan Integriti dalam Perniagaan.

NACP menggariskan wawasan jangka panjang tindakan antirasuah ke arah negara bebas rasuah menerusi 115 inisiatif untuk dilaksanakan. Melalui enam strateginya, NACP akan memastikan usaha pembanterasan rasuah diperkemas di kalangan aktor politik, entiti korporat, agensi penguatkuasaan dan pihak yang berkepentingan. Para pemegang taruh dijangka membangunkan OACP dalam manangani isu integriti, tadbir urus dan antirasuah di organisasi masing-masing [3].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-22. Dicapai pada 2021-02-10.
  2. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2021-01-22. Dicapai pada 2021-02-10.
  3. ^ https://giacc.jpm.gov.my/pelan-anti-rasuah-nasional-nacp/

Pautan luar[sunting | sunting sumber]