Kampung Bolkiah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pergi ke pandu arah Pergi ke carian

Kampung Bolkiah merupakan sebuah petempatan atas air dalam kawasan Kampong Ayer di Brunei. Secara rasminya Kampung Bolkiah merupakan dua bahagian pentadbiran kampung, terdiri dari Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B', dan setiapnya mempunyai ketua kampung sebagai pentadbir kampung.

Lokasi[sunting | sunting sumber]

Kampung Bolkiah terletak di kawasan di mana Sungai Butir bertemu dengan Sungai Brunei dalam Daerah Brunei dan Muara. Ianya merupakan salah satu petempatan Kampong Ayer, iaitu petempatan atas air dalam kawasan Sungai Brunei terutama berkelompok di bahagian sungai berdekatan dengan Pusat Bandar, Bandar Seri Begawan.

Kediaman penduduk Kampung Bolkiah berkelompok di kedua-dua tebing Sungai Butir: kediaman di tebing sebelah tanah utama ialah Kampung Bolkiah 'A' sementara Kampung Bolkiah 'B' merangkumi kediaman yang berkelompok di tebing sebelah Pulau Berambang. Kampung Bolkiah berjiran dengan petempatan Kampung Setia, satu lagi petempatan atas air Kampong Ayer; Kampung Bolkiah juga tidak jauh dari petempatan darat Kampung Pintu Malim, Kampung Kasat dan Putat, serta Kampung Menunggol di Pulau Berambang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kampung Bolkiah ditubuhkan pada tahun 1994 yang mana ianya dirasmikan oleh Sultan Hassanal Bolkiah pada 22 Ogos tahun tersebut.[1] Pembukaan Kampung Bolkiah adalah selari dengan siapnya pembinaan rumah-rumah di bawah skim perumahan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Skim ini antara lain memberi kemudahan tempat tinggal kepada mangsa-mangsa kebakaran rumah di Kampung Setia Pahlawan, Kampung Peramu, Kampung Saba, Kampung Petagian, Kampung Kota Batu dan Kampung Sungai Matan pada tahun sebelumnya.[1][2] Pada mulanya fasa pertama skim perumahan merangkumi kluster kediaman sebanyak 226 buah rumah yang akhirnya menjadi Kampung Bolkiah 'A' sekarang, sementara kluster rumah-rumah Kampung Bolkiah 'B' merupakan fasa kedua skim tersebut dengan pembinaan sebanyak 250 buah.[1][2]

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Kawasan petempatan Kampung Bolkiah ditadbir sebagai dua kampung iaitu bahagian pentadbiran peringkat ketiga dan di bawah sekali dalam negara selepas daerah dan mukim. Kampung-kampung tersebut ialah Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B' dan mereka adalah kampung-kampung di bawah Mukim Sungai Kebun dalam Daerah Brunei dan Muara.

Komuniti bagi setiap kawasan kampung dipimpin oleh seorang ketua kampung: pada tahun 2016, Ketua Kampung Bolkiah 'A' dijawat oleh Shahminan bin Matzin sementara Shamsuddin bin Maidin ialah Ketua Kampung Bolkiah 'B'.[3]

Infrastruktur[sunting | sunting sumber]

Pengangkutan[sunting | sunting sumber]

Walaupun Kampung Bolkiah merupakan petempatan atas air, ianya dapat diakses melalui kedua-dua air dan darat. Melalui air, Kampung Bolkiah dapat dihubungkan dengan petempatan air yang lain di Kampong Ayer serta kawasan darat Bandar Seri Begawan menerusi pengangkutan perahu tambang. Manakala Kampung Bolkiah dapat diakses dari darat melalui Jalan Kasat.

Seperti petempatan lain di Kampong Ayer, Kampung Bolkiah mempunyai rangkaian laluan pejalan kaki atas air yang menghubungkan setiap rumah kediaman. Terdapat juga sebuah jambatan yang menghubungkan kluster kediaman Kampung Bolkiah 'B' dengan Kampung Bolkiah 'A'.[2] Selain itu, Kampung Bolkiah mempunyai beberapa jeti bagi pengguna-pengguna perahu tambang untuk berhubung dengan petempatan Kampong Ayer yang lain serta kawasan darat di Pusat Bandar.

Terdapat juga tempat letak kereta yang disediakan di kawasan tebing darat berdekatan Kampung Bolkiah 'A' bagi kemudahan penduduk-penduduk yang mempunyai kereta.

Lain-lain[sunting | sunting sumber]

Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah[4] yang terletak di kawasan darat berdekatan Kampung Bolkiah merupakan sebuah masjid yang dapat menampung keperluan penduduk kedua-dua Kampung Bolkiah 'A' dan Kampung Bolkiah 'B' bagi melaksanakan aktiviti keagamaan komuniti, khususnya solat Jumaat.

Ditubuhkan pada tahun 1999, Sekolah Ugama Kampung Bolkiah menyediakan pendidikan rendah berkaitan agama Islam kepada murid-murid yang tinggal di kampung tersebut, yang mana sebelum ini murid-murid tersebut bersekolah di Sekolah Ugama Begawan Pehin Udana Khatib Haji Awang Umar di Kampung Setia, Sekolah Ugama Raja Isteri Pengiran Anak Saleha di Kampung Saba, Sekolah Ugama Al-Muhtadee Billah di Kampung Lurong Dalam dan Sekolah Ugama Pintu Malim di Kampung Pintu Malim.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Pengiran Md. Noor, Pengiran Fatimah; Zaini, Nurul Syakirah (13 Disember 2014). "Kampung Bolkiah jadi ristaan". Pelita Brunei. Dicapai pada 11 Februari 2018. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  2. ^ a b c d Md. Zain, Norliah (18 Disember 2015). "Kemakmuran Kampung Bolkiah 'B'". Pelita Brunei. Dicapai pada 11 Februari 2018. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  3. ^ "YSHHB semarakan Hari Raya Korban". brudirect.com. 16 September 2016. Dicapai pada 11 Februari 2018. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)
  4. ^ "Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah". www.kheu.gov.bn. Dicapai pada 11 Februari 2018. Cite has empty unknown parameter: |dead-url= (bantuan)