Klac emparan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Klac emparan pada gergaji rantai. Rantai gergaji disambungkan pada gegancu pada bahagian mangkuk luar klac.

Klac emparan ialah sejenis klac automatik yang menggunakan daya emparan bagi menghubungkan dua aci yang bersambungan. Ia sering digunakan pada motosikal kapcai, skuter, mesin rumput, go-kart, pocket bike dan gergaji rantai.

Fungsi utama klac emparan ialah untuk mengelakkan enjin daripada mati semasa kenderaan berhenti ataupun semasa hendak mula bergerak dari gear rendah, serta memutuskan hubungan kuasa ke sistem transmisi untuk membolehkan enjin dihidupkan. Di samping klac emparan, motosikal kapcai turut mempunyai klac berbilang plat yang dikendalikan oleh tuas gear untuk penukaran gear yang lancar.

Klac emparan terdiri daripada beberapa buah pemberat berspring dengan plat geseran yang disambungkan ke enjin, serta mangkuk luaran yang disambungkan kepada sistem transmisi serta sistem pacuan luaran. Pada kelajuan melahu, daya emparan yang dihasilkan tidak mencukupi untuk mengatasi daya spring, maka klac tidak bersambung dengan pacuan luaran. Semasa kelajuan enjin semakin meningkat, daya emparan yang dihasilkan pada pemberat juga semakin meningkat sehingga mampu mengatasi daya spring dan seterusnya melekap pada mangkuk luaran, membolehkan kuasa dari enjin disambungkan keluar. Apabila kelajuan enjin dikurangkan, daya emparan pada pemberat juga akan berkurangan, dan apabila kelajuan enjin turun ke kelajuan melahu, daya emparan menjadi semakin lemah sehingga membolehkan spring menarik kembali pemberat ke kedudukan asal, memutuskan hubungan kuasa.

Thomas Fogarty dinamakan sebagai pencipta klac emparan pada tahun 1940an, hanya tiga bulan selepas seorang warga Kanada bernama Andrew Wilson melukis reka bentuk pertama yang dikenal pasti.[1] Dikatakan juga kereta pernah dipasang klac emparan seawal tahun 1936.[2]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Workman, Bill (2000-07-21). "Days of Wine and Renown: Surgeon, inventor and vintner called epitome of American ingenuity". San Francisco Chronicle. Dicapai pada 2008-12-24.
  2. ^ siddeley.com