Kontik Kamariah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Kontik Kamariah

Tan Sri Datin Sri Cempaka Kontik Kamariah (lahir 5 Ogos 1911) ialah pengasas serta pengerusi pertama bagi Koperasi Perumahan Pegawai-pegawai Melayu Selangor. Beliau merupakan seorang wanita Melayu yang terutama pada zamannya, khususnya dalam pertubuhan-pertubuhan koperasi. Kamariah juga mencapai beberapa kedudukan pertama dalam berbagai-bagai bidang, termasuk:

  • wanita Melayu pertama yang lulus peperiksaan Senior Cambridge
  • wanita Melayu pertama yang mengikuti kursus perguruan di Institusi Victoria
  • Penyelia Sekolah-sekolah Melayu Negeri Selangor yang pertama
  • wanita Melayu pertama yang menjadi Pengerusi Persatuan Kerjasama Jimat dan Pinjaman Selangor
  • wanita Melayu pertama yang menjadi Pengerusi Kesatuan Kerjasama Tanah Melayu.


Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Kampung Seputih, Kuala Lumpur kepada Allahyarham Ahmad Panglima Garang Ishak, bekas Penghulu Kuala Lumpur, Kamariah bermula pendidikannya di Sekolah Melayu Seputih, Kuala Lumpur pada tahun 1919 hingga tamat darjah lima pada tahun 1923. Beliau kemudian menuntut di peringkat menengah di Sekolah Perempuan Methodist sehingga lulus Senior Cambridge pada 1928. Beliau adalah wanita Melayu pertama yang lulus peperiksaan Senior Cambridge. Seterusnya, Kamariah mengikuti kursus perguruan di Pusat Latihan Perguruan Biasa Inggeris dan juga merupakan wanita Melayu pertama yang mengikuti kursus tersebut di Institusi Victoria pada tahun 1932.

Pada tahun 1929, Kamariah memulakan kerjayanya sebagai guru pelatih bahasa Inggeris di Sekolah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur. Tiga tahun kemudian pada tahun 1932, beliau menjadi Inspektor Sekolah Melayu Perempuan Kampung Baru. Kamariah menjadi Kapten bagi Pasukan Pandu Puteri Sekolah Kampung Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1939. Antara 1945 hingga 1948, beliau dilantik menjadi Penyelia Sekolah-sekolah Melayu Negeri Selangor yang pertama.

Kamariah berkahwin dengan Bahadun Haji Hassan (Allahyarham) yang merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan. Sebagai isteri duta antara tahun 1957 hingga 1968, beliau sentiasa menemani suaminya ke luar negara. Mereka dikurniakan dengan dua orang anak. Suaminya meninggal dunia pada 28 Julai 1980.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Kamariah melibatkan diri dalam kegiatan politik dalam perjuangan untuk menentang penjajah British. Beliau kemudian menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Selain itu, Kamariah amat aktif dalam berbagai-bagai pertubuhan koperasi. Pada tahun 1932, Kamariah terlibat dengan Persatuan Kerjasama Jimat dan Pinjaman Kakitangan Kerajaan Selangor, dan menjadi ahli jawatankuasa hingga tahun 1940. Pertubuhan lain yang disertai adalah Kesatuan Kerjasama Midland, Kesatuan Kerjasama Tanah Melayu, Insuran Kerjasama Tanah Melayu. Kamariah juga merupakan Ahli Lembaga Maktab Kerjasama. Antara tahun 1955 hingga 1957, beliau menjadi Pengerusi Persatuan Kerjasama Jimat dan Pinjaman Selangor serta Kesatuan Kerjasama Tanah Melayu dan merupakan wanita pertama memegang jawatan-jawatan tersebut.

Pada tahun 1954, Kamariah menubuhkan Koperasi Perumahan Pegawai-pegawai Melayu Selangor dan menjadi pengerusi Yang Dipertua Syarikat Bangunan Rumah tersebut sehingga 1964 dan sekali lagi pada tahun 1975 hingga awal 1980-an. Syarikat ini telah berjaya membeli sebidang tanah dan telah mendirikan 21 buah rumah dan kawasan perumahan ini diberi nama "Taman Kamariah" sempena nama beliau.

Pada tahun 1977, Kamariah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Rayuan Penapis Filem Negara, dan kemudian pada tahun 1979 menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Daerah Gombak. Selepas suami beliau meninggal dunia beliau telah mengusahakan syarikat pelancongan.

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]