Selangor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
"Selangor Darul Ehsan" dilencongkan di sini.
Flag of Malaysia.svg
Negeri-negeri di Malaysia
نڬري٢ دمليسيا
سلاڠور دار الإحسان
Selangor Darul Ehsan
雪兰莪
Bendera Selangor Lambang Selangor
Bendera Lambang
Cogan kata: Dipelihara Allah
Lagu negeri: Duli Yang Maha Mulia
Lokasi Selangor
Ibu negeri Shah Alam
Bandar diraja Klang
Parti memerintah Pakatan Harapan (PKR)
 - Sultan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj
 - Menteri Besar Amirudin Shari
Sejarah  
 - Pembentukan

Kesultanan Selangor || 1743 

 - Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu 1895 
 - Penaklukan Jepun 1942 
 - Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 1948 
Keluasan
 - Jumlah 8,104 km2 (3,129 sq mi) km²
Populasi
 - banci 2017 5,680,000 [1]
 - Kepadatan 674/km²
IPM  (2010) 0.810 (sangat tinggi)
Kod panggilan kebangsaan 03
Poskod kebangsaan 40xxx hingga 48xxx
62xxx hingga 64xxx
Huruf pertama plat kenderaan B
Laman sesawang: www.selangor.gov.my

Negeri Selangor (juga dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan Cina: 雪兰莪; Pinyin: Xuělán'é; Jawi: سلاڠور) merupakan salah sebuah negeri daripada tiga belas negeri yang membentuk Malaysia. Ia terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia di pantai barat dan mengelilingi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.[2] Negeri ini juga bersempadan dengan Negeri Perak di utara, Pahang di timur, Negeri Sembilan di selatan dan Selat Melaka di sebelah barat.

Negeri ini mengamalkan sistem raja berperlembagaan sejak turun-temurun dan kini di bawah naungan Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Sejak 10 Mac 2008, Pakatan Rakyat (PR) telah mengambil alih negeri ini daripada pemerintahan Barisan Nasional (BN). Menteri Besar terkini adalah Amirudin Shari yang dilantik sejak 18 Jun 2018.

Ibu negeri Selangor ialah Shah Alam dan merupakan bandar raya pertama di negeri ini. Bandar diraja negeri ini ialah Klang. Bandar utama yang lain ialah Petaling Jaya, yang mendapat status sebagai bandar raya kedua di negeri ini pada 20 Jun 2006. Petaling Jaya merupakan sebuah bandar satelit untuk Kuala Lumpur yang ditubuhkan pada tahun 1952. Statusnya sebagai sebuah bandar pertama yang mempunyai perancangan dan kedudukan strategik antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang telah membuka banyak peluang pembangunan. Selangor merupakan satu daripada dua buah negeri yang mempunyai lebih daripada satu bandar raya, selain daripada Sarawak. Selangor juga mempunyai pembangunan yang pesat daripada pemodenan di kawasan Lembah Klang.

Selangor juga merupakan negeri yang paling kaya di Malaysia berdasarkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) per kapita. Negeri ini juga merupakan negeri yang paling maju di Malaysia. Hal ini kerana dengan adanya infrastruktur yang terbaik seperti lebuhraya dan pengangkutan awam yang menghubungkan bandar-bandar di Selangor dengan ibu negeri Malaysia, Kuala Lumpur, pusat pemerintahan kerajaan pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Cyberjaya. Selain itu, negeri ini juga dilihat mempunyai ciri kemajuan yang terbaik, dengan pembinaan pasaraya PKNS, Plaza Alam Sentral, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang merupakan masjid rasmi negeri Selangor, dirasmikan oleh DYMM Sultan Selangor Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Ibni Al-Marhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah kerana Baginda mahu melihat satu mercu tanda yang melambangkan Islam di negeri Selangor dapat direalisasikan dan berdiri megah di Shah Alam serta kempen 'Go Green' atau negeri tanpa plastik bagi menggalakkan rakyatnya membawa beg sendiri.

Bilangan penduduk di negeri ini juga merupakan yang paling ramai di Malaysia dengan taraf hidup yang sangat tinggi dan kadar kemiskinan di negeri ini adalah yang paling rendah di Malaysia. Selangor juga telah menyumbang lebih daripada 23% dalam sektor ekonomi di Malaysia, ini menjadikan ia sebagai negeri paling banyak memperoleh hasil di Malaysia.[perlu rujukan]

Etimologi[sunting | sunting sumber]

Asal-usul nama Selangor tidak jelas, walaupun beberapa sumber mendakwa bahawa namanya telah diambil daripada perkataan "selangau", iaitu sejenis lalat besar, disebabkan oleh bilangan lalat yang ada berhampiran dengan Sungai Selangor, di bahagian barat laut negeri ini.

Satu lagi teori mendakwa bahawa nama negeri ini diambil daripada frasa "Selang Ur" bermaksud "tanah selat" ("ur" membawa maksud "tanah" dalam bahasa Tamil). [3], [4]

Sumber yang lain memgatakan asal usul nama Selangor adalah berasal daripada nama Sungai Selangor.

Sumber yang lagi satu mengatakan nama Selangor diambil daripada sungai Selangor iaitu bermaksud penduduk kena menyebarangi Sungai Selangor. Seberang(Selang). Di sungai itu mempunyai pokok Nyiur (Pokok Kelapa). Maka terjadilah nama Selangor iaitu menyeberangi sungai yang ada pokok nyiur.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Sejarah Selangor

Pada abad ke-15, Selangor terletak di bawah pemerintahan Melaka. Selepas kejatuhan Melaka, ia menjadi rebutan di antara penjajah Portugis, Johor, Aceh dan Siam. Selepas Belanda menewaskan Portugis di Melaka, mereka membawa masuk askar upahan Bugis dari Sulawesi. Ini menyebabkan kaum Minangkabau yang lebih dulu (100 tahun awal) datang dari Sumatera terpaksa berpindah.

Pada kurun ke-19, kemajuan ekonomi akibat perlombongan bijih timah dan penanaman pokok getah menarik ramai pendatang China. Kaum Cina ini membentuk kongsi gelap dan berpakat dengan pembesar-pembesar Selangor merebut kekayaan ini. Suasana kucar-kacir ini memberi peluang kepada British untuk memaksa Sultan Selangor menerima seorang Residen British di Klang pada 1874 iaitu J.G Davidson. Taktik ini berkesan apabila British berjaya mengawal keadaan dan Selangor kembali makmur.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Geografi Selangor
Daerah-daerah di negeri Selangor Darul Ehsan

Selangor secara umumnya merupakan kawasan yang landai. Ia terletak antara Banjaran Titiwangsa dan Selat Melaka.

Daerah dan Mukim[sunting | sunting sumber]

Negeri Selangor terbahagi kepada 9 daerah iaitu :-

Pentadbiran[sunting | sunting sumber]

Negeri Selangor ditadbir dan dikelola oleh

  1. Majlis Perbandaran Selayang
  2. Majlis Perbandaran Ampang Jaya
  3. Majlis Daerah Hulu Selangor
  4. Majlis Perbandaran Kajang
  5. Majlis Perbandaran Klang
  6. Majlis Daerah Kuala Langat
  7. Majlis Daerah Kuala Selangor
  8. Majlis Bandaraya Shah Alam
  9. Majlis Bandaraya Petaling Jaya
  10. Majlis Perbandaran Subang Jaya
  11. Majlis Daerah Sabak Bernam
  12. Majlis Perbandaran Sepang

Daerah di Selangor[sunting | sunting sumber]

Negeri Selangor mempunyai 9 buah daerah berbeza dan setiap daerah di negeri ini mempunyai keistimewaan tersendiri. Di Selangor,Setiap daerah mempunyai mukim tersendiri. Mukim-mukim ini berubah mengikut populasi tertentu.Setiap mukim pula mempunyai bandar ataupun kampung.

●SABAK BERNAM

Sabak Bernam terletak di utara Selangor. Sabak Bernam merupakan kawasan pertanian terbesar di Selangor. Pertanian yang wujud di daerah itu ialah padi. Penanaman padi di Sabak Bernam merupakan penanaman yang moden dan efisien. Di daerah ini merupakan kawasan perkampungan orang melayu. Di Sekinchan, merupakan kawasan perikanan di Selangor. Banyak kilang-kilang dibina di daerah ini.

●KUALA SELANGOR

Kuala Selangor terletak di utara barat daya Selangor. Kuala Selangor merupakan bandar bersejarah di Selangor. Banyak kawasan-kawasan bersejarah di sini seperti Bukit Malawati. Selain itu,Kuala Selangor juga mempunyai pantai yang indah dan mempunyai kawasan pertanian kelapa sawit. Kuala Selangor penduduknya hanyalah penduduk luar bandar. Kegiatan perikanan juga berlaku di sini.

●KLANG

Klang terletak di utara barat Selangor. Klang merupakan Bandar Di-Raja Selangor. Klang di antara daerah yang terkenal di Selangor. Klang mempunyai pelabuhan terbesar dan utama di Malaysia. Klang merupakan kawasan dwipenduduk kerana di daerah itu mempunyai kawasan kampung dan bandar. Banyak kilang-kilang dibina di sini. Klang merupakan penyumbang ekonomi di Selangor. Pusat bandar Klang dan Bukit Raja merupakan kawasan bandar di sini.

●KUALA LANGAT

Kuala Langat terletak di selatan Selangor. Kuala Langat merupakan kawasan perlancongan Selangor. Banyak pantai yang indah di sini seperti Morib. Kuala Langat tempat kawasan luar bandar. Kuala Langat bersempadan dengan Putrajaya. Kuala Langat juga tempat pertanian di Selangor.

●SEPANG

Sepang terletak di timur selatan Selangor.Sepang mempunyai kawasan perlancongan dan perdagangan. Sepang mempunyai kawasan pertanian di Selangor. Di daerah ini mempunyai kawasan bandar dan luar bandar. Di sini mempunyai Litar Antarabangsa Sepang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

●HULU LANGAT

Hulu Langat terletak di tenggara Selangor. Hulu Langat merupakan kawasan hijau selangor dan berhubung dengan Banjaran Titiwangsa.Hulu Langat merupakan kawasan luar bandar dan kawasan bandar. Kawasan bandar terletak di pinggir daerah manakala kawasan luar bandar terletak di dalam daerah.Kajang dan Cheras merupakan kawasan bandar di sini.

●GOMBAK

Gombak terletak di timur Selangor.Gombak merupakan kawasan bandar dan luar bandar. Gombak mempunyai kawasan besar hutan hujan malaysia dan merupakan salah satu daerah di Selangor yang berhubung dengan Banjaran Titiwangsa. Daerah ini mengelilingi Kuala Lumpur. Di sini merupakan kawasan yang membangun terutama sekali di bahagian dalam Gombak. Di daerah ini mempunyai mukim Ampang yang terkenal. Sesetengah mukim di Gombak adalah gabungan bandar dan luar bandar. Tempat perlancongan di daerah ini ialah Zoo Negara, Batu Caves dan bermacam-macam lagi. Rawang, Hulu Kelang, Ampang merupakan kawasan bandar di sini.

●PETALING

Petaling terletak di barat Kuala Lumpur dan bersempadan dengannya. Daerah Petaling merupakan kawasan yang paling membangun di negeri Selangor. Banyak bandar-bandar dibina di daerah ini seperti Shah Alam,Subang Jaya dan Petaling Jaya.Di sini terdapat banyak pusat-pusat perindustrian dan kilang. Shah Alam,Petaling Jaya dan Puchong merupakan kawasan perindustrian ringan di Selangor.Penduduk di sini majoritinya penduduk bandar. Di daerah ini mempunyai Shah Alam Ibu Negeri Selangor. Kegiatan ekonomi amat pesat di sini.

●HULU SELANGOR

[5]Hulu Selangor terletak di utara timur Selangor.Daerah ini merupakan kawasan perhutanan dan berpenduduk sama seperti Gombak. Daerah ini berhubung dengan Banjaran Titiwangsa. Penduduk di sini hanyalah penduduk luar bandar.

Demografi Penduduk dan Agama[sunting | sunting sumber]

Selangor adalah negeri paling banyak penduduk di Malaysia; disumbangkan oleh bandar gabungan terbesar negara, Lembah Klang. Kedudukan geografi Selangor di tengah Semenanjung Malaysia menyumbang kepada pembangunan pesat negeri sebagai pusat ekonomi dan pengangkutan Malaysia. Pembangunan yang pesat ini menyumbang kepada penciptaan jutaan pekerjaan, menarik pekerja migran daripada negeri lain dan juga daripada negara-negara berdekatan seperti indonesia, Vietnam, Filipina, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan dan China. Dasawarsa ini, negeri Selangor telah menerima kemasukan banyak pendatang asing tanpa izin (PATI), lebih-lebih lagi dari Indonesia yang turut menyumbang kepada populasi Selangor.

Populasi Selangor telah meningkat dengan kadar yang pesat dalam beberapa dekad, disebabkan oleh pembangunan pesat Lembah Klang. Mengikut statistik daripada Jabatan Statistik Malaysia, jumlah penduduk di negeri Selangor adalah 6.39 juta orang pada tahun 2017[6], menjadikan negeri paling tinggi taburan penduduk di Malaysia dimana 19.9% penduduk Malaysia tinggal di dalam negeri Selangor [7]. Mengikut statistik yang sama, populasi Selangor meningkat pada kadar 1.4% pada tahun 2016 - 2017[8]. Pada tahun 2016, net migrasi Selangor telah diunjurkan kepada 19,400 orang, menjadikan negeri Selangor negeri pilihan migran antaranegeri[9]. Secara purata, Selangor mempunyai 674 penduduk setiap km², menjadikannya negeri ketiga terpadat di Malaysia, selepas Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang [8].

Kaum/ Etnik Populasi
2010[10] 2015[11]
Melayu 2,814,597 51.34% 3,069,100 52.24%
Bumiputera Lain 62,657 1.14% 77,500 1.32%
Jumlah Bumiputera 2,877,254 52.48% 3,146,600 53.57%
Cina 1,441,774 28.6% 1,499,400 25.52%
India 679,130 13.5% 712,000 12.12%
Lain-Lain 42,163 0.8% 41,400 0.70%
Jumlah Warganegara 5,040,321 92.20% 5,399,400 91.92%
Bukan Warganegara 421,820 7.80% 474,700 8.08%
Jumlah 5,482,141 100.00% 5,874,100 100.00%

Pada tahun 2016, kadar kelahiran penduduk Selangor adalah 16.6 orang lahir setiap 1,000 orang dan kadar kematian penduduk Selangor adalah 4.1 kematian setiap 1,000 orang. Kadar kelahiran telah menurun sejak tahun 2014 iaitu 18.0 (2014) kepada 16.6 (2016) setiap 1,000 orang. Kadar kematian pula telah dicatatkan meningkat sejak tahun 2013 iaitu 3.7 (2013) kepada 4.1 (201) setiap 1,000 orang. Jumlah kadar kesuburan di Selangor kekal dibawah tahap mampan pada 1.7 bayi pada tahun 2016. Kadar ini telah menurun 0.1 berbanding tahun lepas[6].

Populasi Selangor tertumpu di Lembah Klang dimana majoriti penduduk Selangor tinggal. Hampir 91.4 peratus penduduk tinggal di bandar [6]. Shah Alam adalah ibu negeri dan bandaraya kedua terbesar di Selangor selepas Petaling Jaya dengan jumlah penduduk sebanyak 541,306 penduduk [12]. Bandaraya Klang dengan jumlah penduduk sebanyak 276,729 orang pula dijadikan bandar diraja Selangor dimana Istana Alam Shah terletak [12].

Agama[sunting | sunting sumber]

Kepercayaan Masyarakat Selangor - Bancian 2010 [13]
Agama Peatusan
Islam
  
57.9%
Buddha
  
24.4%
Hinduisme
  
11.6%
Kristian
  
3.8%
Tidak Diketahui
  
1.0%
Agama Rakyat Cina
  
0.5%
Lain-Lain
  
0.4%
Ateis
  
0.4%

Mengikut bancian tahun 2010, peratusan jumlah penganut agama di negeri Selangor adalah 57.9% Islam, 24.4% Buddha, 11.6% Hindu, 3.8% Kristian, 1% kepercayaan tidak diketahui, 0.5% agama tradisional Cina, 0.4% agama lain dan 0.4% tidak beragama[14]. Semua penduduk Melayu adalah penganut agama Islam kerana Perkara 160 Perlembagaan Malaysia menentapkan orang Melayu mestilah beragama Islam.[15][16]

Kerajaan[sunting | sunting sumber]

Negeri Selangor mengamalkan sistem raja berperlembagaan. Sultan negeri ini merupakan Ketua Perlembagaan Negeri. Sejak tahun 2001, gelaran Sultan telah dipegang oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj. Dibawah perlembagaan negeri, kuasa perundangan dimiliki oleh Dewan Undangan Negeri. Dewan ini melantik ahli Dewan untuk membentuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO).

EXCO, yang diketuai oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid bin Ibrahim (dan kemudian Mohamed Azmin Ali) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) sejak 10 Mac 2008, memegang kuasa eksekutif dan merupakan badan yang membuat dasar kerajaan negeri. Menteri Besar yang dilantik oleh Sultan adalah daripada parti politik yang memenangi kerusi yang terbanyak di dalam Dewan Undangan.

Agensi kerajaan negeri[sunting | sunting sumber]

  1. Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Selangor
  2. Pejabat Tanah dan Galian Selangor
  3. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor
  4. Perbendaharaan Negeri Selangor
  5. Jabatan Agama Islam Selangor
  6. Jabatan Mufti Negeri Selangor
  7. Jabatan Kehakiman Syariah Selangor
  8. Jabatan Perhutanan Selangor
  9. Jabatan Pertanian Selangor
  10. Jabatan Kerja Raya Selangor
  11. Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor
  12. Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor
  13. Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor
  1. Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor
  2. Lembaga Muzium Selangor
  3. Lembaga Urus Air Selangor
  4. Lembaga Zakat Selangor
  5. Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor
  6. Majlis Agama Islam Selangor
  7. Majlis Sukan Negeri Selangor
  8. Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
  9. Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor
  10. Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor
  11. Selcat

Ekonomi[sunting | sunting sumber]

Pada 27 Ogos 2005, kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan Selangor sebagai negeri berstatus maju yang pertama di Malaysia.[17][18] Negeri Selangor memiliki sebuah pasaran ekonomi yang maju dan terbuka dengan KDNK (keluaran dalam negara kasar) per kapita (PPP) yang tertinggi di Malaysia iaitu sekitar USD33,147 pada tahun 2008, setanding dengan nilai per kapita negara Eropah Barat dan Hong Kong. Bidang eksport, perindustrian, pertanian dan perkhidmatan merupakan aspek-aspek terpenting dalam ekonomi negeri Selangor.

Perindustrian dan perdagangan[sunting | sunting sumber]

Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan di Shah Alam.

Sektor perindustian merupakan penyumbang utama terhadap kerancakan ekonomi negeri iaitu menyumbang lebih 58% dalam KDNK negeri pada tahun 2008, malah ia merupakan nadi ekonomi Negara. Selangor mempunyai sektor pembuatan seperti elektronik, bahan kimia dan kenderaan automotif yang terbesar di Malaysia, seperti kereta Proton dan Perodua. Kereta import juga beroperasi di negeri ini seperti Toyota, Nissan, Volkswagen, Ford, Volvo, BMW dan banyak lagi. Banyak kilang-kilang dari luar negara yang bertapak di negeri ini antaranya Panasonic dari Jepun, Procter & Gamble dari Amerika Syarikat, Unilever dari Belanda, Nokia dari Sweden dan banyak lagi. Antara kawasan perindustrian yang terkenal ialah di Shah Alam, Subang Jaya, Klang, Kajang, Rawang, Selayang, Ampang Jaya dan Petaling Jaya.

Pelabuhan Klang yang merupakan faktor utama kemajuan perindustrian di Selangor, pelabuhan ini juga merupakan pelabuhan yang tersibuk dan terpenting di Malaysia. Negeri Selangor juga menjadi tarikan utama pelabur asing dari luar negara.

Pertanian[sunting | sunting sumber]

Selain terkenal dengan perindustrian dan pelabuhan, bidang pertanian juga semakin berkembang maju walaupun hanya menyumbang 3.1% kepada KDNK negeri. Antara kejayaan yang telah dikecapi adalah seperti Selangor Fruit Valley merupakan pengeluar buah-buahan tropika terbesar dunia seperti belimbing, betik dan pisang. Begitu juga dengan sawah padi di Kuala Selangor yang diurus secara estet dengan kaedah pengairan serta penanaman moden, berjaya mengeluarkan hasil purata sehektar tertinggi di negara ini iaitu lebih 7 tan sehektar. Aktiviti pertanian kelapa sawit dan getah juga dijalankan di negeri ini.

Perkhidmatan[sunting | sunting sumber]

Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang kedua terbesar terhadap KDNK negeri iaitu sebanyak 38%.

Makanan[sunting | sunting sumber]

Masakan tradisional Melayu di Selangor telah menerima pengaruh dari, Bugis, Jawa dan Minangkabau.

Rojak Klang, Lontong Klang dan Mee Bandung Klang dan Shah Alam. Hidangan lain yang terkenal termasuklah Mee Jawa, Sate Kajang, Nasi Ambeng, Laksa Selangor, Soto (Soto Nasi Himpit dan Mee Soto), Sambal Tahun, Ikan Bakar Bakso, Ketam Darul Ehsan, Ikan Masak Asam Pedas, Ayam Masak Kicap dan Sayur Masak Rebung. Mi segera Maggi juga adalah berasal dari Selangor.

Media[sunting | sunting sumber]

Televisyen[sunting | sunting sumber]

Media Prima

Saluran televisyen di Selangor terbahagi kepada tujuh stesen siaran percuma, satu rangkaian televisyen satelit dan dua perkhidmatan televisyen internet. Tiga daripada tujuh siaran percuma dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia, yang dimiliki oleh syarikat media kerajaan persekutuan yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, manakala empat stesen komersial yang lain dimiliki oleh Media Prima, sebuah syarikat media bersepadu yang beribu pejabat di Bandar Utama, Selangor. Perkhidmatan televisyen satelit yang dimiliki oleh Astro All Asia Networks dan ia boleh didapati di seluruh negara. Sebuah perkhidmatan televisyen internet dimiliki oleh kerajaan negeri Selangor.

Siaran percuma
Televisyen berkabel

Televisyen satelit

Televisyen internet

Radio[sunting | sunting sumber]

Stesen radio di Selangor boleh didapati di frekuensi FM dan dihantar dari Gunung Ulu Kali, Selangor.

Stesen radio komersial yang terdapat di Selangor termasuklah Era (103.3), Sinar FM (96.7), Melody FM (103.0), Hot FM (97.6), Suria FM (105.3), Best104 (104.1), Hitz.fm (92.9), Mix FM (94.5), Lite FM (105.7), Red FM (104.9), Fly FM (95.8), BFM (89.9), Capital FM (88.9), 988 (98.8), My FM (101.8), One FM (88.1), UFM 101.3, dan THR (99.3). Stesen radio komersial yang dikendalikan oleh beberapa buah syarikat media seperti AMP Radio Networks Sdn.Bhd, Star RFM Sdn.Bhd, Media Prima Berhad, Suara Johor Sdn.Bhd dan BFM Media.

Stesen radio komuniti tempatan termasuk UFM (93.6) yang dikendalikan oleh Universiti Teknologi MARA (hanya terdapat di Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya), dan Putra FM (90.7) dikendalikan oleh Universiti Putra Malaysia (hanya terdapat di Serdang dan Seri Kembangan) yang mensasarkan pelajar universiti.

Sembilan buah rangkaian radio yang sedia ada Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti Klasik Nasional (98.3), Muzik FM (95.3), Ai FM (106.7), Traxx FM (100.1), Minnal FM (96.3), Asyik FM (102.5), Selangor FM (100.9), KLFM (97.2) dan Pahang FM (107.5). Terdapat tiga stesen radio khusus juga, iaitu IKIM.fm (91.5) dikendalikan oleh IKIM, Salam FM (102.5) dikendalikan oleh JAKIM, dan Radio24 (93.9) dikendalikan oleh BERNAMA. Daerah di Selangor yang bersempadan dengan negeri lain juga turut menerima dua buah stesen radio dari Radio Televisyen Malaysia (RTM) seperti; Perak FM (89.6 MHz/95.6 MHz; sempadan Selangor-Perak) dan Negeri FM (92.6 MHz; sempadan Selangor-Negeri Sembilan).

Akhbar[sunting | sunting sumber]

Akhbar The Star

Akhbar-akhbar utama di Selangor adalah:

Konflik Selangor/Kuala Lumpur[sunting | sunting sumber]

Sesetengah kawasan negeri Selangor, contohnya Taman Melawati, Gombak Selangor mempunyai poskod ialah 53100 Kuala Lumpur tetapi Bandar Taman Melawati berada di bawah daerah Gombak, Selangor. Hal ini telah menyebabkan kekeliruan penduduk bandar itu. Bukan itu sahaja, ada juga kawasan yang sama namanya dengan bandar di Kuala Lumpur, contohnya Cheras, Selangor dan Cheras, Kuala Lumpur. Berikut ialah senarai bandar yang mengelirukan sempadannya.

  • Cheras Selangor – Cheras Kuala Lumpur
  • Damansara Selangor – Damansara Kuala Lumpur
  • Gombak Selangor – Gombak Kuala Lumpur
  • Selayang Selangor – Selayang Kuala Lumpur
  • Taman Keramat Selangor – Dato' Keramat Kuala Lumpur

Penduduk terkenal[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/census2010/Taburan_Penduduk_dan_Ciri-ciri_Asas_Demografi.pdf
  2. ^ Peta negeri Selangor
  3. ^ Latar Belakang Kuala Selangor
  4. ^ S E J A R A H N E G E R I S E L A N G O R
  5. ^ https://web.archive.org/web/20150205090002/http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/population/03ringkasan_kawasan_PBT_Jadual1.pdf
  6. ^ a b c https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cone&menu_id=eGUyTm9RcEVZSllmYW45dmpnZHh4dz09
  7. ^ https://selangorkini.my/en/2016/07/selangor-catat-peratusan-penduduk-tertinggi-negara/
  8. ^ a b https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/ctheme&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09&bul_id=MDMxdHZjWTk1SjFzTzNkRXYzcVZjdz09
  9. ^ https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=125&bul_id=RldLdXFnQUppeGM5Yk1HODlTMVl6UT09&menu_id=U3VPMldoYUxzVzFaYmNkWXZteGduZz09
  10. ^ "2010 Population and Housing Census of Malaysia" (PDF). Department of Statistics, Malaysia. m/s. 94. Diarkibkan daripada asal (PDF) pada 5 February 2013. 
  11. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; teks bagi rujukan 2015 population tidak disediakan
  12. ^ a b https://web.archive.org/web/20150205090002/http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/population/03ringkasan_kawasan_PBT_Jadual1.pdf
  13. ^ "2010 Population and Housing Census of Malaysia" (PDF). Department of Statistics, Malaysia. Diarkibkan daripada asal (PDF) pada 31 July 2018. Dicapai 17 June 2012.  p. 13
  14. ^ https://web.archive.org/web/20140522234002/http://www.statistics.gov.my/portal/download_Population/files/census2010/Taburan_Penduduk_dan_Ciri-ciri_Asas_Demografi.pdf
  15. ^ http://www.jac.gov.my/index.php?option=com_k2&view=item&id=18:consititution-of-malaysia&lang=ms
  16. ^ Perkara 160 Perlembagaan Malaysia
  17. ^ https://www.thestar.com.my/news/community/2005/08/19/briefing-on/
  18. ^ http://www.selangor.gov.my/index.php/pages/view/124

Pautan luar[sunting | sunting sumber]