Litar pintas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Dahan pokok yang mengakibatkan litar pintas semasa ribut

Litar pintas membenarkan arus elektrik mengalir sepanjang laluan yang lain daripada yang sepatutnya di dalam sesuatu litar elektrik. Lawan bagi litar pintas ialah litar terbuka, iaitu keadaan di mana rintangan di dalam litar elektrik adalah tidak terhingga. Adalah lazim bagi kita menjadi terkeliru dengan menggunakan istilah "litar pintas" bagi merujuk kepada mana-mana kerosakan elektrik tidak kira apa jua punca sebenarnya.

Definisi[sunting | sunting sumber]

Litar pintas adalah sambungan berintangan sangat rendah antara dua titik yang berbeza voltannya di dalam litar elektrik secara tidak sengaja. Ia mengakibatkan lebihan arus elektrik mengalir melaluinya yang hanya dihadkan oleh rintangan setara Thevenin bagi sebahagian baki rangkaian pendawaian serta berpotensi mengakibatkan kerosakan litar, lampau panas, kebakaran atau letupan. Walaupun sebahagian besar kes litar pintas berlaku akibat kegagalan litar, ada juga kes di mana kejadian litar pintas adalah disengajakan.

Di dalam analisis litar, istilah litar pintas digunakan bagi merujuk kepada sambungan berimpedans sifar di antara dua titik. Keadaan ini memaksa kedua-dua titik tersebut untuk berada pada voltan yang sama. Di dalam kes litar pintas unggul, ia bermaksud langsung tiada rintangan di dalam litar serta tiada jatuhan voltan sepanjang pintasan litar. Di dalam analisis litar ringkas, wayar elektrik itu sendiri adalah pemintas litar. Di dalam keadaan sebenar, kesan yang terhasil adalah sambungan dengan impedans menghampiri sifar, serta hampir tiada rintangan. Dalam kes tersebut, arus elektrik yang ditarik hanya dihadkan oleh baki litar elektrik tersebut.

Contoh[sunting | sunting sumber]

Litar pintas mudah boleh dihasilkan dengan menyambungkan secara terus terminal positif dan negatif bateri dengan hanya menggunakan seutas wayar sahaja, mengakibatkan bateri menghasilkan sejumlah besar tenaga dalam masa singkat.

Di dalam perkakasan elektrik, litar pintas secara tidak sengaja biasanya disebabkan oleh penebat wayar elektrik yang sudah terkoyak atau reput, ataupun apabila terdapat bahan pengalir di antara wayar-wayar tersebut, menyebabkan arus elektrik mengalir pada arah yang tidak sepatutnya.

Arus yang besar melalui bateri (juga dipanggil sel elektrokimia) boleh menyebabkan pengumpulan haba yang pantas, berpotensi untuk mengakibatkan letupan atau kebocoran elektrolit dan gas hidrogen, yang boleh membakar tisu kulit dan boleh jadi asid atau bes. Wayar lampau beban juga boleh mengalami lampau panas, adakalanya mengakibatkan kerosakan pada penebat wayar dan seterusnya kebakaran. Keadaan berarus tinggi juga boleh berlaku apabila beban motor elektrik di dalam keadaan pegun akibat tersekat.

Di dalam bekalan elektrik sesalur, litar pintas boleh berlaku antara dua fasa, antara wayar fasa dengan wayar neutral atau antara wayar fasa dengan wayar bumi. Litar pintas sebegini mengakibatkan arus elektrik yang sangat besar mengalir serta mengaktifkan alat perlindungan lebihan arus. Walau bagaimanapun, litar pintas juga boleh berlaku antara wayar neutral dengan wayar bumi ataupun antara wayar fasa yang sama. Litar pintas sebegini boleh jadi berbahaya kerana ia tidak mengakibatkan arus besar mengalir dengan serta-merta; oleh itu ia sukar dikesan.

Kerosakan[sunting | sunting sumber]

Kerosakan akibat litar pintas boleh dikurangkan atau dielakkan dengan memasang fius, pemutus litar, atau peranti perlindungan lebihan arus yang lain, yang memutuskan bekalan kuasa apabila lebihan arus dikesan. Alat perlindungan lampau beban mestilah dipilih menurut kepada arus litar pintas prospek maksimum di dalam litar. Misalnya, di rumah kediaman di Malaysia yang menggunakan sistem 240 volt, peralatan elektrik berkuasa elektrik seperti ketuhar dan pembersih hampagas biasanya menggunakan sekitar 8 hingga 13 ampere, maka peralatan tersebut dilindungi dengan memasang fius 13 ampere. Di dalam pendawaian sesebuah bangunan, tolok dawai adalah ditetapkan di dalam peraturan elektrikal pembinaan, maka tolok dawai yang betul mesti dipilih sesuai dengan tahap kegunaan elektrik bagi memastikan pengendalian elektrik yang selamat sekaligus melindungi pengguna daripada bahaya litar pintas.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]