Majlis Daerah Kampar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Majlis Daerah Kinta Selatan atau singkatannya MDKS merupakan salah satu kerajaan tempatan yang terdapat di negeri Perak. Kedudukan MDKS adalah sangat strategik iaitu di tengah tengah laluan antara utara dan selatan dan bersempadankan kawasan Batu Gajah (Daerah Kinta Barat) dan Tapah (Daerah Batang Padang).

Kawasan[sunting | sunting sumber]

Majlis Daerah Kinta Selatan diwartakan sebagai sebuah kerajaan tempatan pada 1 Disember 1979 dengan berkuatkuasanya Warta Kerajaan PK.PU bertarikh 24 Mac 1981. Kawasan MDKS meliputi kawasan seluas 109.65 km persegi atau 10,965 hektar dan kawasan ini dibahagi kepada dua kawasan utama iaitu:

  • Kawasan Kawalan. Kawasan ini merupakan kawasan yang dikawal pembangunannya dan meliputi 82.28 km persegi.

Kependudukan[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan banci penduduk dan perumahan pada 1991, jumlah penduduk di Kampar, salah satu bandar di Kinta Selatan ialah 70,647 orang. Oleh data ini telah berusia lebih 10 tahun, maka maklumat berikut adalah tidak tepat. Bilangan penduduk kini telah bertambah berikut banyak projek perumahan dan perindustrian di kawasan Gopeng dan Kampar. Selain itu, universiti dan kolej kolej yang di Kinta Selatan di lihat antara penyebab bertambahnya penghuni Kinta Selatan.

Bancian Tahun 1991
Komposisi etnik Peratus
Cina
  
61.7%
Melayu
  
25.9%
India
  
11.3%
Lain-lain
  
0.82%
Bukan warganegara
  
0.33%

Aktiviti utama penduduk[sunting | sunting sumber]

Peneroka dan penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan penemuan bijih timah, oleh yang demikian apabila mengkaji sejarah Kampar tidak akan lari dari sejarah bijih timah itu sendiri. Lantaran itu tidak hairanlah ada pendapat yang mengatakan bahawa Kampar dibangunkan di atas bijih timah dan sehingga kini kegiatan melombong bijih timah masih lagi beroperasi walaupun ia mulai berkurangan akibat kejatuhan harga dalam pasaran.

Aktiviti awal perlombongan di jalankan secara mendulang di tebing-tebing Sungai Kranji dan Sungai Kampar serta di kawasan lembah yang berair. Kegiatan mendulang ini kebanyakannnya dilakukan oleh orang-orang Cina. Apabila orang Eropah memperkenalkan cara melombong dengan menggunakan pam palong dan kapal korek, pengeluaran bijih timah berlipat ganda hasilnya. Secara tidak langsung ia telah membuka banyak peluang pekerjaan kepada penduduk Kampar dan kawasan sekitarnya. Keadaan ini berterusan sehinggalah menjelang kemerosotan pasaran timah pada awal tahun 1993.

Hari ini, Kampar telah membangun sebagai pusat pentadbiran Daerah Kecil Kampar dan Gopeng serta menjadi sebuah pusat perniagaan dan kewangan yang menjadi tumpuan ramai. Banyak kawasan perindustrian seperti Taman Perindustrian Gopeng dan Bandar Baru Kampar telah dibangunkan dan ia memberi banyak peluang pekerjaan kepada penduduk-penduduk di sekitarnya. Kepesatan sektor perindustrian ini telah menarik minat para penduduk luar dan tempatan untuk berhijrah ke daerah ini.

Selain daripada menjadi pekerja industri, penduduk di Daerah Kampar ini juga menjalankan aktiviti pertanian iaitu mengusahakan dusun buah-buahan dan sayur-sayuran. Oleh kerana majoriti penduduk Kampar adalah masyarakat Cina, maka aktiviti perniagaan telah menjadi mata pencarian utama mereka.

Aktiviti penternakan juga giat dilakukan di Daerah Kampar ini khususnya penternakan ikan air tawar dan ikan hiasan. Ini adalah kerana di Daerah Kampar terdapat banyak bekas lombong bijih timah yang begitu sesuai untuk menjalankan aktiviti tersebut. Di samping penternakan ikan, penternakan lembu, kambing, burung unta dan itik juga ada di jalankan di kawasan ini.

Penempatan tradisional[sunting | sunting sumber]

Kebanyakan masyarakat Kampar pada hari ini tinggal di kawasan penempatan tradisional yang memang wujud sejak awal lagi. Penempatan-penempatan tradisional itu terdiri daripada 4 kategori utama iaitu :

  1. Kampung Baru contohnya Kopisan
  2. Perkampungan Orang Asli
  3. Kampung Tradisional contohnya Kg Lawan Kuda
  4. Kampung Tersusun contohnya Kg. Tersusun Gopeng

Kampung baru selalunya didiami oleh orang Cina dan India, manakala kampung tradisional dan kampung tersusun dihuni oleh kaum Melayu. Ini mungkin kesan daripada konsep pecah dan perintah semasa pendudukan Inggeris dahulu, atau kesan daripada cubaan komunis pada pertengahan abad ke 20.

Di samping tinggal di penempatan-penempatan tradisional, ramai juga penduduk di kawasan ini menetap di taman-taman dan bandar-bandar baru terutama sekali bagi penduduk yang baru berhijrah ke daerah ini. Di atas pembangunan yang pesat dan tersusun ini, maka pemaju-pemaju perumahan telah membuka banyak taman dan kawasan baru bagi menampung penduduknya yang kian bertambah. Baru baru diberitakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berminat untuk membangunkan kawasan perumahan di kawasan Gopeng.

Kawasan pelancongan[sunting | sunting sumber]

Secara amnya, kawasan pelancongan di Kinta Selatan terdiri daripada kawasan alam semulajadi contohnya kawasan air terjun. Ini disebabkan Kinta Selatan berhampiran dengan banjaran Titiwangsa, dan mempunyai banyak gunung gunung batu kapur.

Walaupun Kinta mempunyai banyak bekas lombong yang boleh dibangunkan sebagai pusat permainan air, setakat tiada pelabur luar yang ingin membangunkan kawasan tersebut. Kawasan kawasan pelancongan di Kinta Selatan adalah seperti berikut:

  • Air Terjun Batu Berangkai
  • Air Terjun Taman Sri Kampar
  • Air Terjun Sungai Salu
  • Gua Tempurung