Naning

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Untuk sejenis lebah madu, sila lihat: Naning (serangga).

Naning ialah suatu kawasan di MelakaMalaysia. Walau bagaimanapun, Naning merupakan salah satu negeri asal yang membentuk persekutuan Negeri Sembilan pada abad yang ke-16. Menurut Newbold (1839), Naning merupakan salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan Negeri Sembilan yang melibatkan sembilan buah negeri (rantau Minangkabau) yang diteroka masyarakat Minangkabau daripada Sumatera Barat. Naning mula diteroka oleh orang Minangkabau yang berhijrah dari Sumatera pada abad yang ke-14. Naning mengamalkan Adat Perpatih yang telah diasimilasikan dengan kehidupan dan gaya masyarakat tempatan terutamanya daripada masyarakat orang asli. Disamping itu, wilayah Naning diperintah oleh seorang Penghulu yang bergelar Yang Amat Mulia Orang Kaya Seri Raja Merah daripada keluarga Nan Bergajah Tunggal (kerabat Naning). Sistem pentakbiran di Naning bukanlah bersifat autokrasi tetapi lebih kepada sifat demokrasi iaitu sistem adat Nan Berjenjang Naik yang membawa maksud pembesar atau ketua dalam sesuatu komuniti (dalam Naning) tertakhluk kepada kuasa daripada orang bawahannya. Sistem politik Naning mempunyai corak pengurusannya sendiri apabila pemerintahan dilicinkan lagi dengan kewujudan Lembaga Adat Naning (LAN) yang mempunyai beberapa pecahan struktur.

Peneroka awal[sunting | sunting sumber]

Kumpulan keluarga yang mula-mula sampai dan meneroka Naning adalah seperti berikut[1]:-

  1. Kumpulan keluarga Nan Bogajah Tungga
  2. Kumpulan keluarga Semelenggang
  3. Kumpulan keluarga Tiga Batu
  4. Kumpulan keluarga Mungka
  5. Kumpulan keluarga Anak Melaka

Asal usul nama[sunting | sunting sumber]

Nama Naning dikatakan diambil bersempena satu sarang Naning (binatang penyengat yang bisa) bercorak kuning terus yang ditemui di atas pulau tiga buah sejanjar yang dikenali sebagai Pulau Galang Tiga Sejanjar yang terletak di sebuah paya di Taboh[2].

Naning jatuh ke tangan penjajah[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Perang Naning

Perang Naning-Inggeris 1831 merupakan diantara peperangan yang terkenal dalam sejarah Malaysia kerana perang ini merupakan sebuah titik permulaan kebangkitan semangat nasionalis dalam diri anak-anak Melayu menentang penjajahan Barat. Kehebatan Naning dalam menggempur kehadiran penjajah menjadikan namanya sehingga hari ini masih diingati dan sentiasa menjadi buah mulut anak bangsa. Secara faktanya, Naning merupakan negeri Melayu pertama yang membuat kebangkitan untuk memerangi kuasa Inggeris di Melaka setelah bertapak semenjak 1795 dan mendapat kemenangan atas peperangan yang dilancarkan. Namun demikian, Naning bukanlah kali pertama berperang dalam menentang kuasa penjajahan asing tetapi sudah menjadi kebiasaan orang Naning untuk mempertahankan negeri Melayu daripada dijajah. Berdasarkan tradisi lisan, banyak kisah-kisah perang yang dilalui orang Naning sepanjang perjalanan sejarahnya dan kebanyakan kisah ini tidak diketahui dan dikaji oleh sarjana terdahulu. Secara umumnya, pembukaan Naning pada pertengahan abad ke-14 menjalinkan pelbagai peristiwa penting dalam perkembangan sejarahnya. Politik Naning juga tidak lekang dengan episod berdarah iaitu kisah-kisah perperangan yang pernah terjadi semasa pemerintahan penghulu-penghulu Naning. Hal ini demikian kerana, orang Naning atau orang ulu terkenal dengan sikapnya yang berani sehinggakan nama Naning menjadi kegerunan dalam kalangan negeri jiran dan penjajah asing. Menurut cerita yang diperturunkan dalam masyarakat Naning, di awal pembukaan Naning iaitu zaman pemerintahan Datuk Perpatih Nan Sebatang sendiri telah berlakunya peperangan diantara Naning dengan musuh negeri. Dikhabarkan Naning pernah berperang dengan angkatan tentera daripada negeri Siam, Bugis, Portugis, Belanda dan Inggeris. Sehubungan itu, Naning merupakan antara negeri Melayu yang kerap berperang dengan kuasa-kuasa asing terutamanya kuasa penjajahan Barat.

Naning telah jatuh ke tangan Syarikat Hindia Timur Inggeris pada bulan Jun 1832 apabila Taboh telah ditawan dan pasukan di bawah pimpinan Undang Naning ke-9, Dato' Abdul Said bin Omar (dikenali juga sebagai Dol Said) telah berundur setelah berlaku beberapa pertempuran dengan pihak Inggeris selama lebih kurang 2 bulan.[3] Setelah itu, Naning pun dimasukkan di bawah pentadbiran wilayah Melaka pada tahun 1833. Perang Naning-Inggeris merupakan sebuah peristiwa peperangan yang paling terkenal di dalam sejarah Malaysia sebagai sebuah perintis kepada gerakan awal kebangkitan semangat nasionalis menentang penjajahan Inggeris. Kebangkitan ini dilihat menjadi tular sehinggakan berlakunya pemberontakan yang bertali arus di negeri-negeri Melayu yang lain seperti Perak, Pahang dan di bahagian kawasan Pantai Timur. Namun begitu, peperangan ini dilihat menjadi medan pertembungan intelektual dan pemikiran kumpulan sarjana Barat dengan kebudayaan orang tempatan. Pihak Inggeris menjadikan bidang keilmuan sebagai wadah bagi mempertahankan tindakan mereka untuk menguasai Naning dan memberikan pelbagai alasan untuk menghalalkan kaedah yang digunakan. Justeru, munculnya penulisan yang tidak bersifat berkecuali kerana rujukan yang digunakan kebanyakan sarjana terdahulu adalah daripada kertas laporan pihak Inggeris.

Penghulu Naning @ Dato' Naning[sunting | sunting sumber]

Jawatan Penghulu atau Undang Naning dikatakan mula diwujudkan setelah Melaka diambilalih oleh Belanda daripada Portugis pada tahun 1641 dan Naning dikira termasuk didalam pengaruh Belanda. Jawatan tersebut diwujudkan diatas cadangan pihak Belanda dan dipilih oleh penduduk Naning.[3][4]

Bil. Undang Pemerintahan
1. Dato' Megat Alam Melintang 1641[4] -
2. Dato' Megat Junjungan Limau -
3. Dato' Juara Megat 1703 -
4. Dato' Kokah Bernama Zohri -
5. Dato' Gahang Berbulu -
6. Dato' Selamat Idris -
7. Dato' Timbo -
8. Dato' Anjak 1786 - 1801
9. Dato' Abdul Said bin Omar @ Dol Said 1801 - 1849
10. Dato' Idas 1849 - 1870[5]
11. Dato' Mohd Salleh @ Aghap bin Rahim 1870 - 1900[5]
12. Dato' Ranting 1900[5] -
13. Dato' Hassan - 1916[5]
14. Dato' Omar Bin Hassan 1918 - 1923 [6]
15. Dato' Arshad 1923 - 1932[6]
16. Dato' Osman bin Kering 1932 - 1942 [6]
17. Dato' Cek Lah bin Mohd Sab - 1949[6]
18. Dato' Mohd Shah bin Mohd Said al-haj 1951 - 2004[7]
19. Dato' Abdul Latif bin Hj. Hashim[8], [7] 2004 -2011 ** [9]
20. Dato' Mohd Salleh Bin Md. Som 2011 - 2013
21. Dato' Nordin Bin Abd Jalil 2013 - kini

** Undang Luak Naning ke-19, Datuk Abdul Latif Hashim mendakwa beliau tidak pernah digugurkan jawatannya oleh Lembaga Adat Naning dan mengancam akan mengambil tindakan mahkamah pada 2011. Bagaimanapun kes tersebut tidak diketahui nasibnya. [10]

Kawasan Naning[sunting | sunting sumber]

Apabila Tanah Melayu memperolehi kemerdekaan daripada Inggeris, Naning telah menjadi sebahagian daripada negeri Melaka. Naning dibahagiakan kepada 25 mukim seperti berikut:-

  1. Ramuan China Besar
  2. Ramuan Cina Kecil
  3. Sungai Baru Ulu
  4. Masjid Tanah
  5. Sungai Udang
  6. Berisu
  7. Ayer Paabas
  8. Lendu
  9. Sungai Buloh
  10. Melekek
  11. Taboh Naning
  12. Pegoh
  13. Kelemak
  14. Pulau Sebang
  15. Tanjung Rimau
  16. Padang Sebang
  17. Gadek
  18. Melaka Pindah
  19. Rembia
  20. Sungai Petai
  21. Kemmunig
  22. Tebong
  23. Empang Batu
  1. Batang Melaka
  2. Jus
  3. Nyalas

Kemelut Perebutan Posako Orang Kaya Seri Raja Merah atau Penghulu Naning[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2011, Dato' Abdul Latif Hashim (DN19) telah didapati bersalah kerana melanggar peraturan-peraturan adat oleh Ahli Lembaga Adat Naning (LAN) dan LAN telah bertindak menggugurkan posako beliau selepas Kerajaan Negeri Melaka bertindak menarik semua elaun serta kemudahan Penghulu Naning. Perbuatan Kerajaan Negeri Melaka yang bertindak menyita Balai Rasmi Naning di Bukit Seri Naning, Simpang Ampat menambahkan lagi kemarahan LAN dan penduduk setempat. Pengguguran Dato' Abdul Latif Hashim adalah sah disisi adat kerana berteraskan togak penghulu dek bulat lembago, bulat air togah dek gopong, bulat manusio togah dek bosilang, bapak segala adat berani, ibu segalo adat muafakat, bulat muafakat mako gugurlah adat.

Selepas pengguguran Dato' Abdul Latif Hashim sebagai Penghulu Naning maka pihak LAN telah bermusyawarah dan setuju memberikan posako Orang Kaya Seri Raja Merah kepada perut pertama suku Semelenggang Taboh iaitu mengangkat Dato' Mohd Salleh Bin Md Som (DN20) pada tahun 2012. Pada tempoh yang sama, terdapat perebutan posako daripada sebahagian pihak daripada suku Semelenggang Naning yang menyatakan mereka berhak untuk mendapatkan kembali posako Orang Kaya Seri Raja Merah kerana parit persumpahan telah pun bersobon (terkambus). Oleh itu, kumpulan suku Semelenggang Naning telah mengangkat Dato' Azis bin Maulod sebagai Penghulu Naning ke-20 tetapi pemilihan ini tidak direstui oleh LAN kerana Dato' Azis bukannya keturunan asli suku Semelenggang Naning namun hanya orang semondo (orang luar yang berkahwin dengan anak tempatan) sahaja. Perlantikan Dato' Azis menyebabkan Dato' Abu @ Hussein menentang keras tindakan ini kerana posako Orang Kaya Seri Raja Merah harus disandang oleh mereka yang berketurunan dan bersusur-galur daripada Penghulu-penghulu Naning terdahulu.

Selepas setahun memerintah, LAN sekali lagi menggugurkan posako Penghulu Naning daripada Dato' Mohd Salleh Bin Md Som setelah mendapati beliau bersalah dalam menyalahgunakan kuasa sebagai Penghulu Naning. Setelah bermusyarah, LAN telah memilih Dato' Nordin Abd Jalil daripada perut kedua suku Semelenggang Taboh sebagai penyandang posako Orang Kaya Seri Raja Merah. Pada 11 Oktober 2013, Dato' Nordin telah dikerjankan (ditabal) secara rasmi sebagai Penghulu Naning ke-21 di Masjid Taboh Naning, Simpang Ampat. Selepas beberapa lama menjawat jawatan Penghulu Naning, Dato' Abu @ Hussein telah menabalkan dirinya sebagai Penghulu Naning dengan memakai gelaran DYMM Orang Kaya Seri Maharaja Merak atas sokongan bekas setiausaha sulit DN19 Dato' Seri Adam Malek. Dato' Abu Hussein telah menabalkan dirinya sebagai Penghulu Naning di Pagar Ruyong. Pergolakan ini semakin keruh apabila Dato' Jamil Sidi daripada perut ketiga (bekas Dato' Paduka Seri Syahbandar DN19) telah mengaku sebagai Penghulu Naning ke-19** dan membentuk ahli lembaga adatnya sendiri.

Sehingga kini terdapat 6 orang telah mengaku sebagai Penghulu Naning @ Dato' Naning; 4 daripada mereka adalah daripada suku Semelenggang Taboh (2 orang perut pertama, seorang dari perut kedua, seorang daripada perut ketiga) dan 2 orang daripada suku Semelenggang Naning. Namun demikian, LAN mengiktiraf Dato' Nordin Abd Jalil sebagai Penghulu Naning yang sah kerana perlantikan beliau adalah mengikut prosedur adat. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Melaka tidak mengiktiraf mana-mana Dato' Naning dan akan meminda akta yang berkaitan dengannya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj (2000). Tambo Alam Naning. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). ISBN 9836247211. 
  • Haji Buyong Adil (1983). Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan : Abad 15 - 19. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). 
  • New Sunday Times : Ex-police constable is 19th Datuk Undang Naning. New Straits Times. November 26, 2006. 
  • Abdullah Zakaria bin Ghazali. Sejarah Ringkas Naning. Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. 

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj, Tambo Alam Naning, DBP, 2000, ms 146.
  2. ^ Mohd Shah bin Mohd Said al-Haj, Tambo Alam Naning, DBP, 2000, ms 148
  3. ^ Sejarah Ringkas Naning, ms 17
  4. ^ a b Perjuangan Orang Melayu Menentang Penjajahan : Abad 15-19, ms 77
  5. ^ a b c d Sejarah Ringkas Naning, ms 19
  6. ^ a b c d Sejarah Ringkas Naning, ms 20
  7. ^ a b New Sunday Times, 26 November 2006
  8. ^ Saya tidak jual anugerah - Datuk Undang Naning, Kosmo
  9. ^ Anugerah Undang Luak Naning tidak sah.
  10. ^ Abdul Latif dakwa masih sah Undang Luak Naning.