Nasruddin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Gambar miniatur Nasruddin dari abad ke-17, kini berada di Perpustakaan Muzium Istana Topkapı.

Nasruddin atau gelaran penuhnya Mullah Khojah Nasruddin (Turki: Nasreddin Hoca, Parsi: خوجه نصرالدین, Arab: نصرالدین جحا‎, rumi: Naṣraddīn Juḥā, Urdu: ملا نصرالدین‎) ialah seorang sufi dan ahli satira dari kerajaan Seljuk, yang dipercayai hidup sekitar abad ke-13 di Akshehir, berdekatan Konya, ibu kota Kesultanan Rûm Seljuk, kini di Turki. Beliau dikenali ramai sebagai seorang ahli falsafah bijaksana yang terkenal dengan kisah-kisah dan anekdotnya yang lucu.[1] Beliau telah muncul dalam ribuan cerita, kadangkala jenaka dan pintar, kadangkala bijak, tetapi seringkali juga berunsur bahan jenaka. Setiap kisah Nasruddin biasanya mengandungi unsur humor berisi teladan.[2] Pesta Khojah Nasruddin dirayakan dari 5 hingga 10 Julai setiap tahun di bandar tempat tinggalnya.[3]

Asal-usul dan warisan[sunting | sunting sumber]

Pelbagai masyarakat menuntut Nasruddin sebagai ahli etnik mereka.[4][5] Beberapa sumber menyatakan tempat kelahirannya di Desa Hortu di Sivrihisar, Provinsi Eskişehir, kini Turki, pada abad ke-13. Beliau kemudian tinggal di Akşehir, dan seterusnya di Konya semasa pemerintahan Dinasti Seljuk. Beliau meninggal pada tahun 1275/6 atau 1285/6 M. Makam Nasruddin dipercayai terletak di Akşehir dan "Pesta Khojah Nasruddin Antarabangsa" diadakan setiap tahun di Akşehir pada 5–10 Julai.[6][7][8][9]

Menurut Prof. Mikail Bayram yang menjalankan kajian terperinci mengenai Khojah Nasruddin, nama lengkapnya ialah Nasir ud-din Mahmud al-Khoyi, digelar Ahi Evran (kerana menjadi pemimpin pertubuhan ahi). Beliau lahir di bandar Khoy di Azerbaijan, menuntut ilmu di Khorasan di mana beliau menjadi anak murid kepada seorang mufassir Quran yang terkenal iaitu Fakhruddin al-Razi di Herat. Beliau dihantar ke Anatolia oleh sang Khalif di Baghdad untuk mengaturkan pertahanan dan perlawanan terhadap serangan dari Mongol. Beliau berkhidmat sebagai seorang qadi di Kayseri. Inilah sebabnya mengapa dalam cerita beliau bertindak sebagai hakim, bukan hanya dari segi keagamaan sahaja. Selama pergolakan dari serangan Mongol, beliau menjadi lawan politik Jalaluddin Rumi, tokoh agung lain pada masa itu yang juga tinggal di Konya. Atas sebab inilah beliau terkenal dengan anekdot-anekdot juha dalam karya Masnavi. Nasruddin menjadi wazir (bendahara) kepada Sultan Kaykaus II di Konya.[10] Oleh kerana beliau pernah tinggal di pelbagai tempat dan setia melawan serangan Mongol serta memiliki perwatakan yang penuh jenaka, beliau disambut baik oleh pelbagai bangsa dan budaya dari Turki hingga Arab, dari Rusia sehingga China, yang rata-ratanya merupakan bangsa-bangsa yang menjadi mangsa serangan Mongol.

Cerita[sunting | sunting sumber]

Kisah-kisah Nasruddin terkenal di seluruh Timur Tengah dan menyentuh pelbagai budaya di seluruh dunia. Sebahagian kesar kisah-kisah itu diceritakan sebagai jenaka atau anekdot lucu. Semua kisahnya diceritakan berulang kali di kalangan saudagar dan kafilah di Asia dan dapat didengar di rumah dan di radio. Kisah Nasruddin dapat difahami di pelbagai peringkat; selalu ada jenaka, teladan, dan sedikit sentuhan rohani yang menimbulkan kesedaran. [11]

Berdakwah[sunting | sunting sumber]

Suatu ketika Nasruddin diundang untuk menyampaikan dakwah. Semasa berada di atas mimbar, beliau bertanya, "Adakah anda tahu apa yang akan saya katakan?" Seluruh jemaah menjawab serempak, "Tidak tahu." Nasruddin pun berkata, "Saya tidak berhasrat untuk berdakwah kepada sesiapa yang tidak tahu apa yang akan saya dakwahkan," kemudian turun dari mimbar dan pergi.

Maka jemaah pun berasa malu lalu kemudian memanggil beliau kembali pada hari Jumaat berikutnya untuk kembali berdakwah. Kali ini, Nasruddin sekali lagi mengajukan soalan yang sama, maka jemaah menjawab, "Tahu." Nasruddin berhenti, lalu berkata, "Oleh kerana anda sudah tahu apa yang akan saya katakan, saya tidak akan membuang masa anda lagi." Nasruddin turun dari mimbar meninggalkan mereka.

Kali ini, jemaah benar-benar bingung dan memanggil beliau kembali Jumaat depan. Sekali lagi Nasruddin menanyakan soalan yang sama, para jemaah sekerat menjawab tahu, sekerat lagi menjawab tidak tahu. Nasruddin berseru, "Bagus sekali! Sekarang, bagi yang sudah tahu, sila menceritakan kepada yang belum tahu!" Lantas beliau turun dari mimbar dan beredar.

Siapa yang kamu percaya?[sunting | sunting sumber]

Seorang jiran mengetuk pagar rumah Nasruddin, sehingga bertemu dengan beliau di luar. "Bolehkah, Mullah," tanya si jiran, "kalau saya meminjam keldai Mullah hari ini? Saya perlu menghantar beberapa barang ke bandar berdekatan." Sebenarnya Nasruddin berasa keberatan untuk meminjamkan keldainya, maka beliau menjawab, "Maaf, keldai sudah dipinjamkan kepada orang lain."

Tiba-tiba kedengaran ringkikan keldai dari belakang rumah. Si jiran berkata, "Suara keldai Mullah keluar dari belakang sana." Nasruddin yang terkejut segera menjawab, "Siapa yang kamu percaya, keldai atau Mullah?"[12]

Rasanya sama sahaja[sunting | sunting sumber]

Nasruddin keluar dari kebun anggur sambil membawa dua bakul penuh anggur di atas keldainya, terus dikelilingi oleh sekumpulan kanak-kanak yang mahu mencecap anggur itu. Nasruddin mengambil setangkai anggur dan memberi masing-masing anak sebiji anggur. "Banyak sekali anggur tuan," mengadu kanak-kanak itu, "kenapa beri kami sedikit sahaja?" Nasruddin menjawab, "Apa bezanya makan anggur sebiji dengan sepenuh bakul? Rasanya sama sahaja." Lalu beliau meneruskan perjalanannya.[13]

Tabiat buruk[sunting | sunting sumber]

Suatu hari, semasa Nasruddin sedang minum kopi sambil duduk pada kerusi kegemarannya di sebuah kedai, seorang budak remaja datang dan memukul serbannya sampai jatuh. Seperti tidak berlaku apa-apa, beliau memungut dan memakai semula serbannya. Keesokan harinya, budak itu datang lagi semasa Nasruddin duduk di kerusi kegemaran yang sama dan kembali memukul serbannya sampai jatuh. Sekali lagi, Nasruddin menganggapnya seperti tidak berlaku apa-apa dan memakai semula serbannya. Semasa budak nakal itu melakukannya lagi pada hari yang lain, kawan-kawan Nasruddin menegurnya untuk menghukum budak itu. "Isy, bukan begitu caranya."

Keesokan harinya, seangkatan tentera luar menceroboh bandar sehingga Nasruddin tidak duduk di tempat kegemarannya seperti biasa. Di kerusinya itu duduknya panglima askar penceroboh. Datangnya juga budak nakal seperti biasa memukul serban yang disangka Nasruddin. Tanpa berfikir panjang, panglima segera memenggal kepala budak itu dengan sekali tebas.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ The outrageous Wisdom of Nasruddin, Mullah Nasruddin; accessed 19 February 2007.
  2. ^ Javadi, Hasan. "MOLLA NASREDDIN i. THE PERSON". Encyclopaedia Iranica. Dicapai pada 5 July 2011.
  3. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-08-17. Dicapai pada 2020-09-29.
  4. ^ İlhan Başgöz, Studies in Turkish folklore, in honor of Pertev N. Boratav, Indiana University, 1978, p. 215. ("Quelle est la nationalité de Nasreddin Hodja – est-il turc, avar, tatar, tadjik, persan ou ousbek? Plusieurs peuples d'Orient se disputent sa nationalité, parce qu'ils considerent qu'il leur appartient.") (Perancis)
  5. ^ John R. Perry, "Cultural currents in the Turco-Persian world", in New Perspectives on Safavid Iran: Majmu`ah-i Safaviyyah in Honour of Roger Savory, Taylor & Francis, ISBN 978-1-136-99194-3, p. 92.
  6. ^ "Nasreddin Hoca". Republic of Turkey Ministry of Culture and Tourism. Dicapai pada 28 December 2006.
  7. ^ Fiorentini, Gianpaolo (2004). "Nasreddin, una biografia possibile". Storie di Nasreddin. Torino: Libreria Editrice Psiche. ISBN 88-85142-71-0. Diarkibkan daripada yang asal pada 2018-12-26. Dicapai pada 28 December 2006.
  8. ^ Set of photos of the tomb by Faruk Tuncer on flickr.com, including a plaque marking the Centre of the Earth
  9. ^ Aksehir's International Nasreddin Hodja Festival and Aviation Festival – Turkish Daily News 27 Jun 2005
  10. ^ Ahi Evren-Mevlana Mücadelesi, Sosyal ve Siyasi Boyutlarıyla, Prof. Mikail Bayram
  11. ^ Idris Shah (1964), The Sufis, London: W. H. Allen ISBN 0-385-07966-4.
  12. ^ Banyak diceritakan ulang, misalnya di Shah, Idries (1964). The Sufis. Jonathan Cape. m/s. 78–79. ISBN SBN 0-863040-74-8 Check |isbn= value: invalid character (bantuan).
  13. ^ Salah satu versi cerita teradapat dalam Shah, Idries (1985). The subtleties of the inimitable Mulla Nasrudin (ed. Reprinted.). London: Octagon Press. m/s. 60. ISBN 0-86304-040-3.